Kenapa perlu ke spa, kalau boleh lakukan rawatan sendiri di rumah

Kenapa perlu ke spa, kalau boleh lakukan rawatan sendiri di rumah

Tidak perlu ke spa atau pusat rawatan kecantikan lain, anda boleh sahaja merawat kulit di rumah dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi dari dapur rumah anda.

Rawatan spa di rumah, lebih tenang dan mendamaikan. (Rawpixel pic)
PETALING JAYA:
Dalam usaha memerangai Covid-19, kita dinasihatkan untuk sentiasa berada di rumah.

Masa yang terluang boleh sahaja digunakan untuk mencantikan diri dengan pelbagai bahan semulajadi yang terdapat di dapur anda.

Sekarang anda tidak perlu ke spa. Buat sahaja rawatan kecantikan di rumah dengan menggunakan bahan-bahan murah dan yang digunakan setiap hari. Mari kita lihat apakah bahan-bahan tersebut.

1. Telur

Masker dari telur antara spa DIY yang mudah dilakukan. (Rawpixel pic)

Telur merupakan salah satu bahan semulajadi yang baik untuk kesihatan dan kulit anda.

Putih telur boleh mengetat dan menguatkan kulit. Ia juga dapat mengurangkan lebihan minyak serta memberikan kebaikan anti penuaan.

Buat sendiri masker putih telur.

Caranya: Asingkan putih telur dan sapukan pada wajah. Biarkan selama 10 hingga 20 minit. Kemudian bilas dengan air.

2. Oat

Selain sedap dimakan sebagai sarapan, oat juga berkesan menyerlah kulit menawan. (Rawpixel pic)

Bukan hanya sedap sebagai hidangan sarapan, oat juga memberi manfaat kepada kulit. Ia sesuai untuk semua jenis kulit malah, kandungan anti-radangnya juga baik untuk kulit sensitif. Ia melegakan kegatalan dan merawat keradangan.

Ambil lima sudu kecil oat dan tambahkan ke dalam sedikit air. Kacau sehingga menjadi pes yang halus. Sapukan ke wajah dan biar selama 20 minit. Kemudian bilas.

3. Kunyit

Kunyit mengandungi kandungan antioksidan yang membantu menyerlahkan keserian wajah. (Rawpixel pic)

Selain dibuat bahan masakan, kunyit ternyata bagus untuk kulit. Kandungan anti-radangnya membantu mengurangkan kemerahan dan penampilan parut, menyerikan kulit serta menentang pertumbuhan jerawat.

Masukkan kunyit, madu dan yogurt ke dalam mangkuk kecil, kacau. Setelah sebati, sapukan masker tersebut ke wajah. Biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air.

4. Gula perang

Gula perang boleh dibuat sebagai skrub bibir yang sangat menyihatkan. (Rawpixel pic)

Gula perang boleh dibuat sebagai skrub bibir yang sangat menyihatkan.

Masukkan dua sudu kecil gula perang dan satu sudu kecil minyak zaitun ke dalam mangkuk. Kacau sehingga sebati. Kemudian sapukan pes ini ke bibir selama satu minit. Bilas.

5. Uncang teh

Kini, anda boleh minum teh sambil mengurangkan sembab pada mata. (Rawpixel pic)

Jika anda mempunyai mata sembab, uncang teh boleh membantu. Teh hitam dan hijau mempunyai ‘flavonoid’ dan ‘tannin’ yang mempunyai kesan antioksidan dan juga anti-radang.

Tidak kira apa jenis teh yang anda gunakan, selepas membuat teh, jangan buang uncangnya. Perah perlahan-lahan agar kandungan air keluar dari uncang. Masukkan ke dalam peti sejuk dan biar selama beberapa minit agar ia sejuk.

Kemudian, pejamkankan mata dan letakkan uncang tersebut padanya. Biarkan 10 hingga 25 minit.

6. Kopi

Bukan sekadar enak diminum, kopi juga berkhasiat sebagai masker wajah dan badan. (Rawpixel pic)

Pagi anda memang tidak akan sempurna tanpa secawan kopi yang enak. Tetapi tekstur kopi yang kasar juga boleh menjadi skrub badan yang sangat menenangkan.

Ia mampu menanggalkan sel-sel kulit mati yang juga membantu merangsangkan peredaran darah sekaligus menjadikan badan dan wajah lebih muda.

Aromanya turut menyegarkan. Anda hanya perlu mencampurkan serbuk kopi, gula perang, sedikit minyak kelapa. Gaulkan. Kemudian, sapukan ke seluruh badan dan biarkan beberapa minit. Bilas dan anda pasti rasa segar selepas itu.

7. Madu

Madu tulin dengan kandungan anti-bakteria dan anti-radangnya baik untuk kesihatan dan kecantikan. (Rawpixel pic)

Madu juga mempunyai khasiat semulajadi yang baik untuk kesihatan dan kecantikan.

Madu tulin dengan kandungan anti-bakteria dan anti-radangnya berkesan untuk membantu merawat pertumbuhan jerawat dan memudarkan tanda-tanda jerawat.

Malah, madu juga boleh melembutkan bibir dengan skrub yang diperbuat daripada madu, gula dan minyak.

Harus diingat bahawa setiap kita mempunyai kulit yang berbeza. Sebelum mencuba apa juga bahan, lakukan ujian pada kulit lengan terlebih dahulu sekiranya anda mempunyai alahan terhadap bahan tersebut, walaupun ia adalah bahan semulajadi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.