
Malek atau nama sebenar Abdul Malek Awaluddin, 41 memutuskan untuk bermalam di tempat kerjanya sahaja. Dia bertugas di Falkulti Perubatan di sebuah Universiti terkenal di ibu negara.
Bagaimana pun, kira-kira jam dua pagi Malek dikejutkan oleh dua orang rakannya Azman dan Wahab yang memintanya menghantar mereka pulang kerana dalam kumpulan itu hanya Malek yang mempunyai motosikal.
Kerana tidak mahu mengecilkan hati kawan-kawan karibnya, Malek bersetuju.
“Kami terpaksa menunggang motosikal bertiga. Saya di depan, Azman di tengah sementara Wahab di belakang,” cerita Malek.
Bagaimanapun selepas beberapa meter motosikalnya bergerak, bulu romanya tiba-tiba meremang.
“Saya tercium satu bau yang cukup busuk. Ketika itu saya terpandang satu lembaga setinggi 10 kaki sedang bersaing dengan kami. Dia seperti terbang tetapi tidak tinggi, betul-betul di sebelah kami.
Rupanya tidak begitu jelas, walaupun kedudukannya dengan kami begitu hampir iaitu kira-kira lima meter sahaja,” jelas Malek.
Mengenai lembaga itu, Malek berkata, bentuk tubuhnya seakan-akan manusia tetapi jauh lebih tinggi selain agak kehitaman, seolah-olah diliputi asap.
“Mukanya saya tak nampak, yang kelihatan hanya rupa bentuknya sahaja. Tetapi saya yakin, lembaga itu bukan manusia.
“Baunya, memang sangat busuk dan pakaiannya amat lusuh,” ujar Malek lagi.
Katanya dia dapat melihat lembaga itu kerana kebetulan cahaya bulan pada malam itu agak terang.
Rakannya Wahab yang turut melihat lembaga itu menjerit meminta Malek melajukan motosikalnya.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana kebetulan ketika itu tayar motosikal pula kekurangan angin,” kata Malek.
Sementara itu, Razali yang membonceng di tengah terkedu, dia tidak boleh bercakap sepatah pun.
Selepas beberapa minit beriringan, lembaga itu menghampiri kawasan pagar yang memisahkan kawasan pusat pengajian itu dengan jalan raya utama.
“Yang peliknya, bila tiba di pagar lembaga itu tembus. ‘Dia’ berupaya melepasinya biarpun sepanjang pagar itu tidak berpintu.
“Kalau manusia sudah tentu tidak dapat berbuat demikian,” kata Malek lagi.
Ekoran kejadian itu kata Malek, dia mengalami gangguan sehingga sukar untuk melelapkan mata hampir setiap malam.
“Boleh dikatakan, setiap kali saya hendak tidur, rupa lembaga itu muncul terbayang-bayang di depan mata,” katanya.
Hampir dua minggu selepas kejadian itu barulah dia pulih seperti biasa.
Sementara itu rakannya Salleh berkata pusat pengajian dan hospital yang berhampiran dengannya sememangnya adalah kawasan yang agak ‘keras’.
Ini kerana kawasan itu satu ketika dahulu adalah bekas lombong sebelum ditebus guna dan dibangunkan untuk kawasan perumahan, universiti dan hospital.
Menurut cerita mereka yang mengetahui, lombong itu suatu ketika dahulu pernah menjadi tumpuan orang membunuh diri.
“Sememangnya saya sendiri pernah beberapa kali mengalami kejadian aneh sewaktu bertugas malam di sini,” ujar Salleh tetapi enggan bercerita lebih lanjut kerana takut ‘diganggu’ lagi.
Katanya, selain dia, pelajar, pengawal keselamatan dan beberapa buruh kontrak yang bekerja di situ juga pernah ‘diganggu’.
Cerita ini adalah berdasarkan dari kisah benar beberapa tahun yang lalu. Namun, nama dan lokasi kejadian dirahsia bagi tujuan keselamatan. Gambar adalah hiasan semata-mata.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]