Berjimat & Mula Menabung

Berjimat & Mula Menabung

Mulalah menabung kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan dan ia amat penting bagi tujuan kecemasan.

Amalan menabung amat penting untuk masa hadapan. (Gambar Rawpixel)

Dalam keadaan ekonomi sedang meruncing akibat pandemik Covid-19, berjimat adalah sangat disarankan untuk semua masyarakat. Mulalah menabung kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan dan ia amat penting bagi tujuan kecemasan.

Amalan menabung mungkin agak sukar untuk direalisasikan terutamanya kepada mereka yang boros. Namun, ia boleh diamalkan jika kita fokus dan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Berjimat cermat adalah kunci utama untuk merealisasikan amalan menabung. Mulakan norma baharu dalam kehidupan perbelanjaan seharian. Tips di bawah mungkin dapat membantu.

Pastikan penggunaan elektrik di rumah tidak digunakan secara membazir. (Gambar Rawpixel)

1. Jimatkan penggunaan elektrik

Pastikan anda tidak membazir menggunakan elektrik di rumah. Matikan kipas, televisyen, pendingin udara dan sebagainya jika anda keluar rumah. Ada sesetengah individu yang gemar membuka televisyen sedangkan tidak menontonnya semasa melakukan kerja rumah. Sikap seperti ini perlu dihentikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

2. Rancang perbelanjaan

Lakukan perancangan perbelanjaan dengan menyenaraikan barangan yang benar-benar diperlukan sahaja. Misalnya dalam tempoh seminggu, senaraikan apa yang anda perlukan sahaja. Cara ini dapat mengelakkan anda daripada mengunjungi pasar raya dengan kerap. Beli mengikut keperluan bukannya kehendak nafsu.

Berhenti merokok dapat menjamin kesihatan yang lebih baik. (Gambar Rawpixel)

3. Berhenti merokok

Bagi yang menjadikan rokok sebagai menu wajib setiap hari, cuba untuk berhenti merokok. Biarpun agak sukar, namun cuba lakukannya secara perlahan-lahan sehingga anda berjaya. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan wang anda malahan dapat menjamin kesihatan.

Bekalkan anak-anak dengan makanan yang dimasak dari rumah. (Gambar Rawpixel)

4. Bawa bekal

Bawa bekal atau bekalkan anak-anak dengan makanan yang dimasak dari rumah. Memasak dari rumah bukan sahaja menjimatkan tetapi juga menyihatkan. Anda juga bukan sahaja dapat menyediakan bekalan buat diri anda, malah buat anak-anak juga.

Berjogging dan melakukan senaman di kawasan rumah adalah aktiviti yang lebih menjimatkan. (Gambar Rawpixel)

5. Beriadah di rumah atau kawasan berdekatan

Bagi tujuan beriadah, anda tidak perlu mengunjungi pusat gimnasium dengan bayaran yang tinggi sebaliknya anda boleh beriadah di kawasan perumaha sendiri. Misalnya, lakukan aktiviti berjogging di sekitar taman

Cuci kenderaan sendiri di rumah. (Gambar Rawpixel)

6. Cuci kenderaan sendiri

Jika anda mengunjungi ‘car wash’, anda memerlukan sekurang-kurangnya RM10 untuk mencuci kenderaan. Oleh itu, jimatkan wang dengan mencuci sendiri kenderaan di rumah. Bukan hanya menjimatkan tetapi anda juga dapat mengeluarkan peluh.

Penggunaan kad kredit berlebihan akan meningkatkan beban hutang. (Gambar Rawpixel)

7. Kurangkan penggunaan kad kredit

Elakkan dari menggunakan kad kredit bagi tujuan membeli barangan keperluan terutamanya dalam perbelanjaan harian. Penggunaan kad kredit secara tidak terancang akan meningkatkan beban hutang anda secara tidak sedar.

8. Ubah tabiat makan di restoran mahal

Bagi yang gemar mengunjungi restoran eksklusif yang mahal, ubah tabiat tersebut. Tidak salah sekiranya anda bertukar lokasi dengan mengunjungi restoran atau gerai-gerai dengan harga yang murah.

Sediakan set karaoke di rumah. (Gambar Rawpixel)

9. Kurangkan aktiviti hiburan

Bagi yang gemar mengunjungi pusat-pusat hiburan atau karaoke pada hujung minggu, cuba hentikan tabiat tersebut. Bagi tujuan berhibur anda boleh menyediakan set karaoke di rumah kerana ia menjimatkan masa dan wang anda.

10. Buat potongan bulanan melalui gaji

Akhir sekali bagi memudahkan anda membuat tabungan, lakukan pemotongan melalui gaji bulanan. Ini lebih bersifat praktikal dan anda tidak perlu lagi memikirkan tabungan setiap bulan kerana ia telah dibuat secara automatik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.