‘Silva untold stories’ singkap alam dan warisan pedalaman Langkawi

‘Silva untold stories’ singkap alam dan warisan pedalaman Langkawi

Pemandu pelancongan Selvakumaran Rajamanikam berkongsi minat dan cintanya terhadap sejarah, budaya dan alam sekitar.

Minat tegar Selva terhadap alam semulajadi cukup mengagumkan. (Gambar Selva)

Selvakumaran Rajamanikam, atau lebih dikenali sebagai Selva Langkawi adalah pemandu pelancong di Langkawi dan Pulau Pinang sejak 22 tahun lalu.

Cintanya terhadap alam semula jadi terinspirasi dari ayahnya, yang merupakan penjaga Bukit Bendera dan juga pemandu dewan bandaraya.

“Ketika masih kecil, saya selalu mengikutnya,” kata lelaki berusia 58 tahun itu, yang juga terinspirasi dengan cara ibunya membuat ubat herba hasil tangan hijau ayahnya.

Setelah tamat sekolah menengah, anak sulung daripada 10 beradik meninggalkan kampung halamannya di Pulau Pinang dan berkelana, mengembara dan bekerja di pelbagai tempat di seluruh negara.

“Saya beralih ke bidang pembinaan dan ia agak berjaya, namun saya berdepan kerugian ketika negara mengalami kemelesetan ekonomi pada 1997,” kata Selva, yang kemudian memutuskan untuk ke Langkawi mencari kehidupan baru dan akhirnya jatuh cinta dengan pulau itu.

“Saya bermula dengan sebuah restoran kecil namun minat mendalam terhadap alam semula jadi mendorong saya untuk berkecimpung dalam bidang pemandu pelancong,” katanya kepada FMT.

Selva akhirnya memperoleh lesen dan lencana sebagai pemandu pelancong alam semula jadi pada tahun 1999, dan sejak itu, kepribadiannya yang cukup mengagumkan telah meninggalkan kesan mendalam buat mereka yang pernah mengikuti pengembaraan bersamanya.

Sebahagian daripada tetamunya sebelum ini masih berhubung dengannya. (Gambar Selva)

Bagi yang berkayak bersama Selva di sepanjang sungai Kilim, mereka akan dapat merasakan pengalaman meneroka hutan bakau dan melihat pelbagai haiwan darat dan laut di Taman Geoforest Kilim.

Lawatan ‘Selva’s Untold Stories’ pula adalah pengalaman menelusuri alam dan warisan yang menjelajahi kawasan pedalaman Langkawi.

Selain itu, Selva turut menganjurkan lawatan warisan di George Town, bandar yang cukup dekat di hatinya.

“Semua orang di Pulau Pinang hidup dalam harmoni; penerimaan di sini juga cukup berbeza berbanding negeri-negeri lain,” ceritanya bersemangat.

Sebagai seorang yang memperjuangkan pemuliharaan dan kelestarian, dia turut menjadikan aktiviti mengumpul sampah yang tidak terbiodegradasi sebagai satu kewajipan ketika membawa pelancong.

Memerang adalah antara haiwan yang dapat dilihat di alam liar di Langkawi. (Gambar Selva)

“Saya mungkin bukan seorang yang berpendidikan tinggi, tetapi saya sering mempelajari tentang alam semula jadi,” kata Selva, yang turut meminati sejarah kawasan ini.

“Kuil Prambanan dan Angkor Wat dihargai di negara mereka kerana masyarakatnya menghargai pengaruh budaya lain di negara-negara tersebut.

“Seperti mereka, kita juga perlu menghargai sejarah dan budaya kita yang kaya, hasil dari kedudukan kita di persimpangan Timur dan Barat,” jelasnya.

Selva menegaskan pentingnya mengajar anak-anak tentang sejarah wilayah ini di sekolah.

“Tetapi sebaliknya, sejarah sering terjerat dengan agenda politik,” katanya.

Selain suka berkayak, Selva suka ke perkampungan nelayan kerana mendapati komunitinya sangat ramah.

“Kadang-kadang, saya mengadakan kelas bahasa Inggeris untuk penduduk kampung supaya semua segmen masyarakat kita dapat memanfaatkan industri pelancongan,” katanya.

Semasa kecil, Selva jatuh cinta dengan hutan paya bakau selepas mengikut bapanya ke Batu Maung. (Gambar Selva)

Menurut Selva, Langkawi melalui banyak perubahan sejak bertahun-tahun lalu kerana pembangunan yang tidak lestari.

“Anda boleh membandingkan gambar dari udara yang dirakam 20 tahun lalu,” katanya, sambil menegaskan bahawa keadaan di Langkawi masih terkawal berbanding kawasan lain di Malaysia berkat statusnya sebagai Geopark Global UNESCO.

Atas dasar itu, Selva cukup tegas dalam melindungi dan memelihara alam semula jadi serta bangunan dan struktur bersejarah.

“Kita sudah kehilangan beberapa jeti yang indah di Kuah,” katanya kesal sambil menambah projek penambakan tanah yang tidak lestari akan mengganggu keseimbangan ekosistem.

Selva percaya setiap sesuatu yang wujud di alam ini mempunyai hubungan simbiotik, dan kemusnahan walau sekecil manapun akan memberikan kesan yang merugikan kepada semua hidupan, termasuk manusia.

“Sekiranya kita mahukan persekitaran yang sihat untuk generasi akan datang, kita harus belajar untuk hidup secara lestari,” tegasnya.

Selva dan tetamunya di Tanah Perkuburan Northam Road di George Town. (Gambar Selva)

Sepanjang perintah sekatan, dan dengan bantuan penderma, Selva sibuk memasak untuk kira-kira 400 orang kurang bernasib baik setiap bulan.

“Saya gembira kerana saya dapat melakukannya kerana saya tahu bagaimana rasanya menjadi gelandangan,” katanya, sambil menambah isterinya sentiasa menyokong di saat susah dan senang.

Dengan kelonggaran yang dibenarkan kerajaan baru-baru ini, dia tidak sabar untuk memulakan kembali program lawatannya.

“Saya sudah menerima beberapa tempahan dan tidak sabar menanti sempadan antarabangsa dibuka semula supaya mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dapat kembali menjana pendapatan.”

Ketika ditanya mengenai memori terindah sewaktu bertugas, katanya “Dapat menjadi pemandu pelancong setiap hari adalah hari yang paling bermakna bagi saya.”

Menanam anak pokok bakau di Kilim Geoforest Park. (Gambar Selva)

Selain menganjurkan gaya hidup yang lestari, Selva percaya pemandu pelancong memainkan peranan penting dalam menyatukan insan.

“Pemandu pelancongan tidak terlibat dalam politik – kami memberi tumpuan kepada kemanusiaan.

“Kami berusaha untuk mengajak orang ramai menghargai gambaran kewujudan yang lebih besar dengan menunjukkan kepada mereka hubungkait antara setiap perkara di bumi yang indah ini.”

Anda boleh menempah lawatan bersama Selva dengan melayari laman webnya atau dengan menghubunginya di talian 011- 16441453.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.