Minyak masak terpakai boleh tambah pendapatan

Minyak masak terpakai boleh tambah pendapatan

Lazimnya minyak masak terpakai akan dikumpul dan ditapis melalui beberapa peringkat sebelum melalui proses kimia untuk dijadikan bahan api kenderaan atau biodiesel.

Masyarakat harus dididik agar tidak membuang minyak masak terpakai di sinki dapur dan longkang tetapi menjadikan ia untuk menjana pendapatan sekaligus dapat hidup dalam persekitaran yang selamat dan sihat (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jangan dibuang minyak masak terpakai kerana ia boleh menghasilkan pendapatan lumayan dan mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang perkara ini.

Selain boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan seperti biodiesel, ia juga boleh digunakan untuk membuat lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan.

Perkara ini dikongsi oleh pekerja kilang elektronik Mohd Rosdi Abu Bakar,48, yang menetap di Butterworth dan menjalankan perniagaan minyak masak terpakai secara sambilan sejak enam bulan lepas.

“Sebelum ini saya hanya lihat kawan yang buat jual minyak masak terpakai ini. Ada yang sudah 20 tahun lakukan perkara ini. Saya cuba tetapi separuh masa sahaja iaitu pada setiap hari Ahad. Pada hari itu saya akan ambil minyak masak terpakai ini dari pelanggan dan beli dengan mereka,” katanya.

Meskipun hanya dibuat secara sambilan iaitu sewaktu beliau cuti dari kerja, Mohd Rosdi tidak menyangka pendapatan yang diterima agak lumayan sehingga boleh mencapai sekitar RM3,000 setiap bulan.

Minyak masak terpakai yang dikumpulnya kira-kira setan sebulan dibeli oleh syarikat Airil Global Resources yang beroperasi di Kulim, Kedah.

Berkongsi tentang pembabitannya dalam perniagaan itu, Mohd Rosdi berkata beliau memperolehi pelanggan menerusi iklan untuk membeli minyak masak terpakai di laman Facebook.

“Ramai yang menghubungi dan bertanya memang boleh ke jual ke minyak masak terpakai ini. Tidak dinafikan ramai yang tidak tahu minyak masak yang sudah diguna ini boleh dijual semula dan ada kegunaannya.

“Saya pergi sendiri ke rumah pelanggan yang mahu menjual minyak masak mereka. Setakat ini, pelanggan saya adalah dari kalangan suri rumah, peniaga restoran, kedai makan dan peniaga pasar malam, ” katanya sambil menambah, pelanggannya adalah dari seluruh Pulau Pinang, Sungai Petani dan Padang Serai, Kedah.

Menurut Mohd Rosdi yang berasal dari Terengganu, harga bagi minyak masak terpakai yang diambil dari pelanggannya adalah antara RM1.50 untuk satu kilogram hingga 49 kilogram(kg), RM1.60 bagi 50kg ke atas dan RM1.80 untuk 100kg ke atas.

Optimis dengan penjualan minyak masak terpakai yang dapat membantu ekonomi keluarganya, bapa kepada lima orang cahaya mata itu berkata, sasarannya kini adalah untuk mendapatkan 100 pelanggan tetap yang terdiri daripada kalangan peniaga.

Sasaran tersebut akan membolehkan beliau meraih pendapatan sehingga RM9,000 sebulan dan jika tercapai, beliau berhasrat mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan berkenaan.

DIJADIKAN BIODIESEL

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak, faktor harga belian minyak masak terpakai yang agak murah menjadikan ia tidak menarik perhatian ramai selain kurang promosi serta pendedahan yang tidak meluas kepada golongan sasaran seperti suri rumah dan peniaga kedai makan.

Antara manfaat utama sering didengar berhubung kegunaan minyak masak terpakai ini adalah ia boleh dijadikan biodiesel.

Lazimnya minyak masak terpakai akan dikumpul dan ditapis melalui beberapa peringkat sebelum melalui proses kimia untuk dijadikan bahan api kenderaan atau biodiesel.

“Minyak masak terpakai bertapis akan melalui proses kimia yang dikenali dengan nama transesterifikasi yang dilaksanakan dengan bantuan pelbagai katalis (pemangkin) bersifat asid, alkali dan enzim dalam proses homogeneous atau heterogeneous (satu proses dalam fasa fizikal-kimia yang sama serta fasa fizikal-kimia yang berlainan).

“Proses penukaran minyak masak terpakai kepada biodiesel adalah proses yang rumit, memakan kos dan bahan api,” katanya.

PROGRAM TRASH TO CASH

Dalam memupuk kesedaran, peranan dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan minyak masak terpakai tidak dibuang di tempat tidak sepatutnya seperti sinki dapur dan longkang.

Tindakan ini akan hanya yang menyumbang kepada masalah sinki dapur tersumbat sekaligus turut menjadi punca kepada sistem pembetungan tersumbat.

Justeru sebuah syarikat yang membeli minyak masak terpakai iaitu syarikat NKH Bio Solution, milik bumiputera yang berpejabat di Bangi, Selangor, turut memainkan peranan dalam usaha menyedarkan masyarakat dengan menjalin kerjasama bersama beberapa Badan Pengurusan Bersama (JMB) di kediaman di negeri Selangor menerusi program Trash To Cash.

Menurut eksekutif Jualan syarikat itu Rozaimi Salleh, program Trash To Cash anjuran JMB Residensi Puchongmas membolehkan penduduk di situ menjual terus minyak masak terpakai mereka kepada syarikatnya secara langsung.

“Bagi program Trash To Cash, kami tetapkan satu tarikh sesuai dan akan datang mengambil minyak masak terpakai dari penduduk. Harga untuk sekilogram minyak masak terpakai adalah RM2.50 dan kita bayar terus kepada penduduk.

“Jadi penduduk dapat menjana pendapatan selain dapat melahirkan penduduk yang hidup dalam persekitaran selamat dan sihat,” katanya

Menurut Rozaimi, hasil kutipan minyak masak terpakai akan dijual kepada pihak kontraktor bertauliah.

Kesemua minyak berkenaan akan diproses untuk menjadi biodiesel serta dieksport ke negara Eropah, antaranya United Kingdom dan Perancis.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.