
Penonton yang menyaksikan temasya sukan Paralimpik rata-rata mengakui ‘terkesima’ dan terinspirasi dengan persembahan atlet pada hari pembukaan sukan berpretij tersebut di Tokyo, Jepun.
Kemenangan Dame Sarah Storey dari Great Britain dalam acara berbasikal C5, 3000m individu tular di media sosial selepas menyumbang emas pertama buat negara itu dan yang ke-15 buat dirinya.
Atlet berusia 43 tahun itu memecahkan rekodnya sendiri pada pusingan kelayakan, namun sama seperti atlet Paralimpik lain seperti Ibrahim Hamadtou dan perenang Gabriel Geraldo dos Santos Araujo prestasi mereka hanya membuatkan penonton dari seluruh dunia terus mengagumi mereka.
Tanpa kedua-dua lengan, dan hanya bergantung pada sehelai towel yang digigit untuk berlepas, Gabriel Geraldo meluncur laju dalam acara kuak lentang dan akhirnya meraih pingat perak.
Perkongsian di akaun Twitter @C4Paralympics yang memenangi lebih 1.8 juta tanda suka itu nyata buat penonton rata-rata terus melekat di depan televisyen.
“Ibrahim Hamadtou hilang kedua belah tangannya akibat kemalangan ketika berusia 10 tahun.
Untuk tujuan improvisasi, dia memegang raket pingpong dengan mulutnya,” cerita pemilik akaun Twitter @C4Paralympics.
“Oh, takkanlah saya nak melekat sepanjang minggu menonton #Paralympics TV. Saya ada kerja nak buat.
Dua minit kemudian: Ada seorang atlet Brazil tanpa tangan sedang bertanding dalam acara kuak lentang, dia guna gigi untuk berpaut pada tuala sebelum berlepas. Ini sangat luar biasa. (Dia menang perak!),” komen ikhlas @hwallop yang cukup terinspirasi dengan bakat atlet Paralimpik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]