
Tidak dapat dibayangkan keperitan yang dilalui petugas kesihatan daerah Seremban, Negeri Sembilan apabila terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer sambil memikul keranda mayat Orang Asli yang meninggal dunia akibat Covid-19, baru-baru ini.
Lebih menguji kesabaran apabila mereka meredah laluan berbukit yang memakan masa hampir sejam itu dengan dilengkapi pakaian peralatan perlindungan diri (PPE), dalam kejadian di Kampung Jeram Kedah, Lenggeng.
Kejadian itu menjadi tular di media sosial selepas salah seorang daripada mereka, Mohd Adree Zuzalee Adnan, 37, berkongsi pengalamannya dengan memuat naik video dan gambar di akaun Facebooknya dengan nama ‘Aliff Dal Ro YA’
Petugas kesihatan lain termasuk Sheikh Ezamli Sheikh Dolah dan Mohd Shahran Musa dan mereka turut dibantu dengan lima individu lain daripada pihak pengurusan mayat Orang Asli.
Menceritakan situasi itu, Mohd Adree berkata, ia adalah pengalaman pertama buat dirinya dan rakan yang benar-benar diuji bagi memastikan urusan pengebumian terbabit berjalan lancar.
“Ia menyukarkan perjalanan kami, ditambah pula dengan keadaan cuaca yang panas terik. Kami juga perlu mengawal cara pernafasan untuk mengelakkan badan terlalu penat ketika mengusung keranda.
“Sesekali kami perlu berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan ke tempat pengebumian mayat,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, rata-rata netizen yang membaca hantaran itu turut merasai kepayahan mereka selain memberikan kata-kata semangat kepada pasukan petugas kesihatan yang tidak jemu menabur bakti untuk seluruh rakyat Malaysia.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP), dia berkata, setiap petugas harus mematuhi setiap arahan yang sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.
Mohd Adree berkata, sebaik selesai urusan pengebumian, mereka akan disanitasi dan perlu membersihkan diri sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Biarpun begitu, dia dan rakan tidak pernah menganggap tugas itu sebagai beban sejak menguruskan jenazah lebih setahun lalu, sebaliknya ia adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Kami bersedia sedia masa untuk dipanggil menguruskan jenazah Covid-19 dan disebabkan itu, kesihatan diri, kecergasan fizikal dan mental amat penting kerana kita tidak boleh jangka situasi yang akan dihadapi dalam pengurusan setiap jenazah,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]