
Ketika rakyat Malaysia semakin tertekan untuk meneruskan kehidupan, seorang aktivis masyarakat tidak pernah jemu menghulurkan bantuan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Baru-baru ini, aktivis dikenali ramai, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang berkongsi pengalamannya mengenai seorang penghantar makanan yang terdesak mencari wang bagi menampung kos bersalin isterinya.
Menerusi satu hantaran di Facebook, dia menerima panggilan daripada lelaki terbabit yang ingin mencagarkan rantai emas dan cincin perkahwinan kepadanya dan merayu untuk diberi wang.
Katanya, dia begitu tersentuh dengan keadaan penghantar makanan itu yang bersungguh-sungguh berjanji untuk membayar semula namun dia menolak.
“Dia menghubungi saya kerana isteri dijangka bersalin awal. Pagi ini, isterinya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan dia merayu kepada saya untuk diberikan wang dengan cara mencagarkan barang kemas itu.
“Dia berjanji untuk membayar semula selepas mendapat gaji nanti. Saya memberitahunya supaya tidak risau kerana Uncle Kentang akan menanggung bil bersalin,” tulisnya.
Menurut Uncle Kentang, kisah pasangan itu begitu menyedihkan dan dia tidak tergamak untuk mengambil barang emas berkenaan.
“Saya tidak sampai hati sungguh untuk ambil rantai dan cincin emas mereka.
“Di Malaysia, jika kita mampu bantu, kita bantu. Nabi juga berpesan, kamu tidak akan miskin kerana bersedekah. Saya yakin dan saya berkata kepadanya, belanjalah gambar bayi dan jaga diri baik-baik.
“Saya juga meminta dia beritahu isterinya supaya bertenang kerana bil hospital akan kami tanggung,” tulisnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]