
Petaling Jaya: Jika berkunjung ke rumah Pologanathan Manickam, anda pasti terpukau dengan susun atur lukisan yang ditempatkan dalam rumahnya seakan sebuah galeri seni.
Kelihatan beberapa lukisan dan potret individu terkenal seperti ahli politik dan peguam, Karpal Singh, manakala selebihnya pula karya dihasilkan daripada pengalamannya mengembara serta kenangan zaman kanak-kanak.
Studio seninya yang dihiasi dengan sebuah lukisan pemandangan yang berjaya disiapkan tujuh bulan lalu, turut dilengkapi dengan pelbagai alat melukis seperti berus, pelet serta beberapa barisan pastel minyak dan warna pastel.

Sambil menunjukkan lukisan Almarhum Sultan Azlan Shah, Pologanathan sempat meluahkan rasa kagum terhadap personalitinya.
“Sultan Azlan Shah adalah seorang raja yang berilmu. Secara peribadi saya pernah bertemunya ketika zaman sekolah di Robinsons apabila dia berada di situ melihat jam. Saya sentiasa mengaguminya,” katanya yang mendapat inspirasi untuk melukis potret selepas menerima berita kemangkatannya.
Pologanathan menjelaskan kepada FMT bahawa, dia mendapat galakan daripada bapanya sejak kecil lagi untuk mencintai seni visual dengan membelikan berus, warna air dan blok lukisan biarpun kehidupan mereka agak sempit ketika itu.

Ada satu ketika, dia terpaksa melupakan berus lukisan dan memberi fokus untuk mencari sumber rezeki keluarga.
“Ketika awal zaman universiti, saya pernah melukis lakaran potret untuk rakan, tetapi tidak boleh mencari masa untuk mula bekerja. Latar belakang saya adalah bidang rekaan, saya mereka kilang penapisan, pelantar minyak dan mempunyai kepakaran dalam kerja perpaipan,” katanya yang mula minat seni visual tidak lama selepas bersara.
Tanpa membuang masa, dia membeli semua barang diperlukan, bertemu dengan rakan pelukis di pameran seni dilawatinya serta mula melakukan eksperimen dengan kemahiran sendiri sambil berjinak-jinak dengan medium seperti pastel minyak, warna air, pensel warna dan warna poster.

“Saya mempunyai idola dan ingin mengikuti jejak langkahnya. Gambarnya ada dalam studio seni saya.
“Namanya ialah Raja Ravi Varma, seorang pelukis India yang dianggap antara artis terkemuka dalam sejarah seni India. Lukisan asalnya digantung di Mysore Palace di mana saya pernah lawatinya sebanyak dua kali,” katanya.
Usahanya tidak berhenti di situ apabila sanggup mengamalkan diet dan rutin yang ketat untuk menghasilkan lukisan berunsurkan ketuhanan dan ia mengambil masa lebih tiga bulan.
Pologanathan berjaya mengekalkan rutinnya sehingga lukisan tersebut disiapkan.

Lukisan Divine Mercy yang dihasilkannya kini digantung dalam sebuah gereja tertua di Melaka, Gereja St Peter.
“Sehingga kini, lukisan kegemaran saya ialah Tuhan Gajah India, Ganesha. Saya sebenarnya terjumpa patung itu ketika mengembara ke Karnataka di mana pembuat arca menghasilkannya daripada seketul batu.
“Malangnya ketika itu, saya tidak dibenarkan untuk mengambil gambar patung. Namun, walaupun sudah pulang ke Malaysia, imej patung itu masih bermain dalam fikiran. Jadi saya pergi ke perpustakaan di bangunan Suruhanjaya Tinggi India dan terus ternampak gambarnya sebaik membelek buku pertama,” katanya.

Pada November tahun lalu, selepas menyiapkan sebuah siri lukisan, Pologanathan merancang untuk mengadakan pameran lukisannya hingga sudah memasang bingkai dan menempah ruang galeri.
Bagaimanapun, perancangan itu tidak menjadi realiti apabila dia dikejutkan dengan kejadian isterinya yang jatuh terbaring di atas lantai pada 25 November lalu akibat serangan angin ahmar.
“Dia diserang angin ahmar dan lumpuh separuh badan. Pendarahan dalam otak menyebabkan dia mengalami masalah ingatan dan percakapan,” kata Pologanathan bergenang air mata.
Dia bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap bulan untuk meneruskan hidup selain menjaga isteri sepenuh masa termasuk menghantarnya ke hospital, sesi fisioterapi, memberi makan serta memandikannya.
“Saya cuba mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap ia diluluskan. Saya menjual beberapa lukisan dengan harga yang rendah untuk membeli ubat serta keperluan lain,” katanya.

Menurutnya, lukisan berkenaan baru saja disiapkan sehari sebelum isterinya terjatuh dan sejak kejadian menyedihkan itu, dia langsung tidak menyentuh berus lukisan.
Walaupun begitu, dia tidak mahu berputus asa serta menganggapnya sebagai cabaran hidup dan nekad meneruskan minat itu selagi berdaya.
“Saya ingin orang melihat dan memahami lukisan dihasilkan ini. Ia bukan sekadar warna tetapi boleh memberi ketenangan kepada sesiapa saja yang melihatnya,” katanya sambil tersenyum.
Untuk membeli karya seni Pologanathan, anda boleh menghubungi di talian 012-2057391.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]