
Sekumpulan pelarian Rohingya di Bangladesh kini mempelajari seni fotografi untuk merakamkan sendiri kisah perjalanan hidup mereka yang terpaksa berhimpit di kem pelarian.
Malah, ada juga yang menyimpan impian untuk berkecimpung dalam bidang kewartawanan foto secara profesional menerusi kemahiran baru yang dipelajari itu.
Mereka menghadiri latihan di Sekolah Filem Omar yang diasaskan pada Februari tahun lalu, bertujuan melatih generasi muda pelarian Rohingya untuk mencari peluang kerjaya dalam bidang kewartawanan foto.
Ia dikendalikan oleh Mohammed Faruque yang juga bekerja sebagai jurugambar untuk beberapa pertubuhan media antarabangsa di kem pelarian berkenaan.
Dia menubuhkan sekolah itu bersama adiknya, Omar yang juga seorang petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wartawan untuk beberapa agensi media sebelum meninggal dunia pada Mei tahun lalu.
Sekolah itu menggunakan nama Omar sebagai satu penghormatan untuk adik Mohammed Faruque.
“Kami ingin menyediakan latihan kepada belia Rohingya dalam bidang video dan fotografi.
“Kami juga ingin mendokumentasi kehidupan pelarian di sini. Apabila kembali ke Myanmar, ia boleh dipertontonkan kepada generasi akan datang mengenai bagaimana sebenarnya kehidupan pelarian di kem,” kata Mohammed Faruque.
Ketika ini, dia mempunyai seramai 12 pelajar berusia antara 20 hingga 25 tahun dan kelas diadakan secara percuma setiap minggu.
Mohammed Faruque berharap dapat menambah bilangan pelajar dan membeli lebih banyak kelengkapan kamera untuk memudahkan semua pelajarnya.
Sementara itu, seorang pelajar, Jamal Arakani, 22, berkata, dia mahu melengkapi diri dengan kemahiran itu bagi membolehkannya mencari pekerjaan sebagai jurugambar profesional.
“Saya ingin menjadi seorang jurugambar profesional jadi saya mengambil peluang untuk belajar di sini.
“Dengan cara ini, saya boleh menunjukkan kepada dunia bagaimana perjalanan hidup kami di kem pelarian ini,” katanya.
Terdapat hampir satu juta Rohingya di kem pelarian di Cox’s Bazar berhampiran sempadan Bangladesh-Myanmar sejak melarikan diri daripada tindakan kejam tentera Myanmar kira-kira empat tahun lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]