
Kehidupan berubah, masing-masing mengamalkan gaya hidup berbeza sambil terpaksa mengalami kesan psikologi kuarantin di rumah, memakai pelitup muka apabila berada di luar dan sentiasa membersihkan tangan.
Kawalan pergerakan dan sekatan perjalanan telah menimbulkan kemurungan, kegelisahan, keganasan rumahtangga dan sehingga terdapat keadaan melampau seperti membunuh diri. Golongan warga tua, terutama pesara tidak terkecuali dengan fenomena ini.
Baru-baru ini FMT telah menghubungi golongan tersebut untuk mendapatkan gambaran pengalaman peribadi mereka menjalani keadaan ini dan bagaimana mereka mengatasinya.

Fathol Zaman bin Bukhari, 72, adalah komander bersara dari Rejimen Askar Wataniah yang telah berkhidmat selama 30 tahun.
Dia kemudian telah menubuhkan Ipoh Echo pada 2005, sebuah akhbar komuniti yang diedarkan kepada penduduk negeri Perak secara percuma.
Setelah bersara dari Ipoh Echo, Zaman bersiap sedia untuk menjalani hari-hari persaraannya dengan indah sehinggalah pandemik melanda dunia.
“Saya tidak sabar untuk melancong ke Indonesia, Jepun dan Australia tetapi Covid-19 telah menghancurkan segala rancangan saya. Bahkan, sekarang saya tidak dapat menziarah anak-anak yang berada di Kuala Lumpur atau saudara-mara di Pulau Pinang,” rungut Zaman.
Dia juga terpaksa melihat enam rakan baiknya meninggal dunia kerana Covid-19. Namun, sebagai seorang yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi, dia cuba melakukan yang terbaik untuk tetap positif melalui tempoh suram ini.
“Saya dan isteri mematuhi SOP, menghindari tempat sesak dan tetap aktif dengan bersenam setiap pagi. Saya menyibukkan diri dengan membaca dan menonton televisyen,” ujar Zaman.
Walaupun sudah berbulan tidak bertemu anak-anak, Zaman harus menyesuaikan diri dengan cara baru untuk terus berhubung dengan mereka.
“Sekarang sangat mudah, saya hanya perlu WhatsApp atau membuat panggilan video apabila merindui mereka walau ia tidak sebaik bertemu secara bersekemuka,” katanya.

Melalui keadaan yang sama, seorang guru fizik pesara berusia 77 tahun, Steven (bukan nama sebenar) sebelum ini mengajar di Belanda tetapi memilih untuk menikmati persaraannya di Malaysia.
Steven yang juga pencinta alam semulajadi, berpindah ke Malaysia kerana tertarik dengan penduduk, keindahan alam, iklim dan makanannya.
Sebelum PKP dilaksanakan, kebanyakan masanya dihabiskan dengan menjelajah dan mengunjungi air terjun di seluruh negeri. Namun, hari ini segalanya berubah dan dia turut mengalami kemurungan sama seperti kebanyakan orang.
“Tidak mudah menyesuaikan diri dengan sekatan aktiviti luar. Saya secara semulajadi seorang yang suka bersantai di luar rumah dan kurangnya hubungan sosial ini telah mempengaruhi kehidupan saya.
“Ada hari-hari saya terfikir, mengapa perlu bangun setiap pagi?” ujarnya.
Syukur dengan kasih sayang dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan, Steven kini menghabiskan waktunya dengan mendaki bukit di kawasan kejiranan dan berusaha meningkatkan kemahiran memasak.
“Saya tahu ia sukar sekarang tetapi saya tidak sabar untuk mengunjungi Belanda, Iceland dan China setelah keadaan kembali pulih.
“Saya tidak sabar untuk mendaki air terjun bersama rakan-rakan sambil menikmati makanan yang enak seperti waktu dulu,”

Bekas Komander Tentera Laut Diraja Malaysia, Ian Anderson juga melalui kesukaran untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan baru.
Sebagai seorang yang aktif secara fizikal, Anderson yang berusia 83 tahun mendedikasikan 15 tahun hidupnya setelah bersara dari perkhidmatan tentera laut kepada Ipoh World, sebuah organisasi yang bukan berasaskan keuntungan, pakar dalam menguruskan dokumen, gambar dan artifak Lembah Kinta.
Setelah bersara dari organisasi tersebut, Anderson kini menghabiskan masanya dengan berkebun.
Namun, dia turut menjaga kesihatan mentalnya dengan menggunakan kaedah lama iaitu disiplin – sesuatu yang diperolehi selama bertahun berkhidmat dalam angkatan tentera.
“Saya bersarapan pada jam 8 pagi sambil membalas emel dan mesej. Kemudian, saya berkebun pada pukul 10 pagi, makan pada 1 tengahari dan kembali menggunakan komputer pada pukul 2 petang.
“Bersama isteri, kami melakukan senamrobik pada jam 3.15 petang dan menikmati teh pada pukul 4 petang. Makan malam pada jam 8 malam dan kemudian menonton berita, filem atau dokumentari sehingga waktu tidur,” kata Anderson.
“Saya belajar disiplin dan ketepatan masa sewaktu berada di Angkatan Laut Diraja Malaysia dan tidak pernah melupakannya, terutama pada waktu sukar ini.”
Dengan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan, Anderson sangat berhati-hati dan selalu mengambil langkah berjaga-jaga walaupun telah menyelesaikan vaksinasi sepenuhnya.
“Sekiranya saya berada di luar dan berisiko tercemar, saya segera memasukkan semua pakaian ke dalam mesin basuh dan terus mandi,” katanya.
Namun begitu, Anderson masih merindui tiga pelancongan tahunannya dan sentiasa menantikan saat untuk bertemu semula rakan-rakan tanpa perlu bimbang akan virus ini lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]