
Tidak dinafikan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan terhadap negara apabila banyak perniagaan terpaksa ditutup, syarikat pula mengurangkan pekerja hingga ramai hilang pekerjaan dan ada juga yang hilang tempat tinggal.
Bagaimanapun, ketika menghadapi krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini, banyak pertubuhan dan individu tampil mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada keluarga terjejas.
Malah, banyak kumpulan WhatsApp diwujudkan di seluruh negara yang menawarkan makanan untuk jiran tetangga selain perkhidmatan serta jualan barangan demi mencari rezeki.
Ia amat menyentuh perasaan apabila melihat seluruh komuniti bergabung tenaga dan cuba melakukan apa termampu untuk membantu jiran yang memerlukan dan saling membantu dalam menempuhi waktu paling sukar ini.
Bagaimanapun, dari segi pendidikan, murid dan pelajar sekolah dilihat masih kurang menerima sokongan berkesan untuk memastikan mereka dapat terus mengikuti pelajaran.
Ini kerana, sebahagian besar peruntukan kerajaan disalurkan untuk tujuan usaha melawan Covid-19 dan menangani pelbagai isu rakyat yang lain.
Penutupan sekolah memaksa semua murid dan pelajar ini meneruskan pembelajaran di rumah tetapi tanpa perancangan rapi, ia pasti menimbulkan masalah kepada mereka.
Dengan pembatalan peperiksaan pada tahun lalu dan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kita tidak tahu bagaimana Covid-19 ini akan memberi kesan terhadap pendidikan generasi ini.
Tidak ada sesiapa pun harus menutup mata serta mengabaikan kesan jangka pendek dan panjang yang dialami akibat penutupan sekolah akibat PKP.
Dalam tempoh lebih setahun sejak pandemik melanda, murid dan pelajar kita hanya berupaya memperolehi hanya sebahagian kecil daripada ilmu yang sepatutnya.
Persoalan yang patut ditanya pada setiap ibu bapa ialah sama ada anak mereka sudah menguasai ilmu asas Sains dan Matematik yang diajar kepada murid Tahun 4 dan bagaimana pula mereka dapat memahaminya ketika naik ke Tahun 5?
Sekolah terus ditutup, manakala peperiksaan besar dan penilaian tahunan pula dibatalkan serta ditangguhkan dan ini akan menyebabkan murid mengalami kesan domino dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Untuk tempoh jangka panjang, kita melihat terdapat kemungkinan bahawa seluruh generasi dewasa sukar untuk bersaing dalam dunia luar.
Ia mungkin benar-benar berlaku terutama di kalangan mereka yang datang daripada keluarga miskin dan tidak mempunyai sumber untuk mencari jalan alternatif lain.
Mengambil kira masalah ini, penyedia penyelesaian logistik terulung di Asia Pasifik, FM Global Logistics memulakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membantu kanak-kanak kurang berkemampuan supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran sepanjang tempoh PKP.

Menerusi kerjasama dengan EDUKATE MALAYSIA dan Free Malaysia Today (FMT), syarikat itu melakukan inisiatif untuk melakukan tajaan langganan tahunan portal e-pembelajaran EDUKATE untuk 200 murid.
Program ini disasarkan kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 yang mempunyai latar belakang keluarga kurang berkemampuan.
Kehadiran FMT dalam kerjasama ini berperanan untuk menyediakan sebuah platform bagi menekankan kepentingan pendidikan secara berterusan kepada kanak-kanak ini.
Ketika EDUKATE menyuarakan hasrat mereka, FMT menyatakan kesediaan untuk berkongsi sumber mereka sebagai galakan kepada komuniti perniagaan bagi membawa penyelesaian kepada murid sekolah.
Platform pembelajaran secara atas talian, EDUKATE kini boleh dimanfaatkan oleh murid bermula dari Tahun 4 hingga Tahun 6.
Dengan pengisian pelbagai video, kandungan interaktif, kuiz dan e-buku, platform ini menyediakan kandungan pembelajaran untuk subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik berdasarkan silibus ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
“EDUKATE membolehkan murid belajar menerusi kaedah atas talian mengikut rentak mereka sendiri. Ini amat penting ketika PKP, memandangkan agak sukar untuk belajar tanpa kehadiran guru secara fizikal,” kata EDUKATE.
“Topik yang disediakan, disusun mengikut segmen dan ia memberi peluang kepada murid untuk benar-benar memahaminya tanpa berasa risau yang mereka akan ketinggalan.
“Sebab ini kami memilih EDUKATE sebagai pengisian untuk program CSR ini,” kata jurucakap FM Global Logistics.

FM Global Logistics dan EDUKATE juga bekerjasama rapat untuk memastikan semua akaun tajaan benar-benar memberi manfaat kepada kanak-kanak paling memerlukan.
Sehingga kini, terdapat lebih 150 murid termasuk 40 dari dua rumah perlindungan kanak-kanak menerima manfaat hasil pelaksanaan program CSR ini.
Kanak-kanak itu adalah dari SEMOA iaitu sebuah Pusat Pendidikan Orang Asli terletak di Raub, Pahang dan Shepherd Centre Foundation di Semenyih, Selangor.
Kedua-dua pihak juga berharap dapat memperluaskan tajaan bagi membolehkan lebih ramai murid menyertai program ini memandangkan sambutan diterima amat menggalakkan dengan lebih 1,000 permohonan.
“Ketika mula melaksanakan program ini, kita ingin menjuarai isu pendidikan kanak-kanak menerusi integrasi dengan teknologi. Ini adalah kaedah terbaik yang disesuaikan untuk pendidikan masa hadapan.
“Kami amat berterima kasih berpeluang untuk bekerjasama dengan FM Global Logistics dan Free Malaysia Today untuk membantu murid kurang berkemampuan menerusi program CSR ini.
“Kita berharap dapat melihat lebih banyak manfaat daripada program pembelajaran atas talian menerusi EDUKATE,” kata Murali Mano, Ketua Pegawai Eksekutif EDUKATE Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai EDUKATE, layari laman sesawang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]