
Tidak jauh dari bandar Ipoh, terdapat sebuah rumah usang yang menjadi tempat berteduh sebuah keluarga kurang berkemampuan di Kampung Jelapang Baru.
Lebih menyedihkan apabila ketua keluarga itu, Rajan Veelasamy, 56, hilang punca pencarian sejak kerajaan melaksanakan perintah Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Dia yang bekerja sebagai kontraktor di tapak pembinaan diberhentikan selepas kerajaan membuat pengumuman itu bulan lalu.
Sebelum ini, dia memperolehi pendapatan sekitar RM600 sebulan namun keadaan kewangan mereka kini semakin tenat terutama untuk meneruskan hari-hari akan datang.
Sebahagian besar daripada pendapatan Rajan sebelum ini diperuntukkan untuk menjaga anak lelakinya berusia 31 yang lumpuh separuh badan selain menanggung kos pengajian anak perempuan.
Manakala isterinya, Jayandi, pernah mengalami kecederaan patah tangan selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kereta menyebabkan tangannya tidak lagi berfungsi seperti biasa.
Menceritakan mengenai anaknya, Rabu, pemuda itu mengalami kecederaan secara kekal selepas terbabit dalam satu kemalangan di Johor.
“Dia mengalami kecederaan teruk akibat terlanggar tiang lampu hingga koma selama 10 hari.
“Kini anak saya tidak mampu untuk berjalan atau bercakap. Dia tidak dapat menguruskan diri sendiri dan memerlukan bantuan ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, Rabu adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang membolehkannya menerima bantuan elaun bulanan sebanyak RM250 dan ia digunakan untuk menampung kos rawatan neuropati.
“Ada rakan memaklumkan mengenai sebuah klinik di Perlis yang memberi rawatan neuropati untuk pesakit angin ahmar serta pemulihan akibat kemalangan. Raju kini sudah boleh merasa pergerakan tangan dan kakinya,” katanya.

Sejak 6 Jun lalu, kawasan tempat tinggal keluarga itu dikenakan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sukar untuk bergerak kerana kawasan itu sudah dipagar.
Ia menimbulkan masalah kepada Rajan untuk mengeluarkan wang dari bank bagi membeli pelbagai barangan keperluan asas mereka.
“Saya tidak mempunyai wang di tangan, manakala makanan dan barangan keperluan juga semakin berkurangan,” katanya.
Ketika masih bekerja, Rajan menghantar kira-kira RM400 sebulan kepada anak perempuannya yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di sebuah institusi di Selangor.
Dia berharap anaknya yang turut mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mampu menghabiskan pengajian tidak lama lagi, sekali gus dapat membantunya untuk meringankan beban.

Selain masalah kewangan, Rajan juga bimbang dengan keadaan rumahnya yang semakin usang akibat dimakan anai-anai dan hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi.
“Saya bimbang ia runtuh menghempap kami nanti. Saya pernah mendapatkan bantuan daripada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi tetapi diminta menunggu namun sehingga kini tiada siapa datang melihat keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, Rajan tetap bernasib baik apabila masih mempunyai beberapa rakan yang baik dan bersimpati dengan keluarganya seperti Yee Hoong Yeng, 42.
Yee yang mengusahakan sebuah kedai mi sering tampil membantu Rajan sekeluarga ketika mereka berada dalam kesusahan.
“Saya diberitahu oleh Ai Xin Group mengenai situasi mereka dan sudah menghantar pelbagai barangan keperluan kepada Rajan pada setiap bulan,” katanya.
Selain Rajan, Yee juga turut menyalurkan sumbangan kepada empat keluarga lain dengan bantuan beberapa rakan dan pertubuhan seperti Yayasan Tzu Chi dan Ai Xin Group.
Rajan memaklumkan bahawa anggota polis membenarkan penduduk berada hingga di kawasan pagar untuk menerima sumbangan barangan keperluan harian.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]