SUKA sasar bantu lebih ramai kanak-kanak dan remaja kurang bernasib baik

SUKA sasar bantu lebih ramai kanak-kanak dan remaja kurang bernasib baik

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berhasrat mengutip lebih banyak dana daripada pelbagai pihak bagi meneruskan usaha mereka.

Program Empowered 2 Teach kini membantu 10 pra-sekolah di seluruh Malaysia yang menerima 150 murid berusia antara empat hingga enam tahun. (Gambar SUKA)

“Saya ingin menjadi contoh bagi generasi muda Orang Asli,” kata Izam, seorang penerima manfaat pendidikan pra-sekolah di Kampung Sungai Bil, Perak oleh Persatuan Kebajikan Suara Kanak-kanak Malaysia (SUKA).

Atas keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Izam dan adiknya berusia empat tahun ini boleh menjalani persekolahan seperti kanak-kanak lain dan mereka adalah di antara anak-anak Orang Asli yang dibantu menerusi program Empowered 2 Teach.

Bagaimanapun, ia adalah satu perjuangan yang sukar untuk mereka dalam memastikan kanak-kanak itu menerima pendidikan sepatutnya.

Berdasarkan jurnal ‘Kepayahan Orang Asli Dalam Pendidikan’ yang dikeluarkan pada 2020, antara faktor utama kepada masalah buta huruf di kalangan anak-anak Orang Asli adalah berpunca daripada ketiadaan akses mendapatkan pendidikan di sekolah.

Malah, statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada 2007 melaporkan, terdapat 7,029 kanak-kanak itu di Semenanjung tidak pernah bersekolah.

Sebuah pra-sekolah dikendalikan oleh SUKA di Kampung Jader, Gua Musang, Kelantan. (Gambar SUKA)

Beberapa faktor lain seperti diskriminasi, pengasingan sosial dan kemiskinan tegar turut mendorong kepada masalah buta huruf di kalangan komuniti terbabit yang menyebabkan kekurangan sumber dan peluang.

Namun, Pengurus Kanan SUKA, Sarah Teo berkata, SUKA berazam untuk mengatasi semua halangan yang ada demi pendidikan anak-anak Orang Asli.

“Bagi kami, ia amat penting untuk kanak-kanak ini membesar dan berbangga dengan budaya serta warisan mereka. Diharapkan usaha kami dapat memelihara budaya dan warisan unik serta bahasa mereka untuk beberapa generasi akan datang,” katanya.

Berikutan itu, mereka menyediakan salah satu elemen penting dalam program terbabit untuk memelihara bahasa ibunda pelbagai suku kaum Orang Asli seperti Semai, Temiar dan Jakun.

Apa yang lebih utama dalam program itu ialah SUKA berhasrat menyediakan latihan, sokongan dan sumber untuk komuniti Orang Asli untuk memulakan kelas pra-sekolah di kawasan tempat tinggal mereka.

Kanak-kanak di pusat tahanan imigresen berdepan tekanan fizikal dan kesihatan mental termasuk masalah tumbesaran, kekurangan nutrisi serta masalah kesihatan secara keseluruhan. (Gambar SUKA)

Selain meningkatkan kualiti hidup anak-anak Orang Asli, SUKA turut menawarkan bantuan mereka kepada kanak-kanak pelarian serta mangsa pemerdagangan manusia seperti Raj yang berusia 15 tahun. (bukan nama sebenar)

“Bapa berpesan, jika kami meninggalkan rumah, lima minit kemudian mungkin ditemukan mati dibunuh seperti nenek. Semua rumah penduduk juga dibakar dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai,” kata Raj yang menceritakan kejadian kejam di negara asalnya.

Hasil usaha yang dilakukan SUKA, dia kini mempunyai akses terhadap penjagaan kesihatan asas serta pendidikan.

Dalam situasi sama, SUKA melaksanakan pengurusan kes dan penempatan komuniti dengan membuat penilaian keperluan kanak-kanak pelarian sebelum ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat pelarian.

SUKA turut membantu mangsa pemerdagangan manusia untuk pulih daripada masalah keresahan dan kemurungan. (Gambar SUKA)

SUKA juga melakukan pendekatan sama dalam membantu semua mangsa kes pemerdagangan manusia.

“Saya dipaksa untuk bangun pada jam 5 pagi setiap hari dan perlu membersihkan seluruh kawasan rumah. Jika ada yang terlepas pandang, Khatijah akan memukul saya,” kata Intan yang berusia 18 tahun. (bukan nama sebenar)

Intan pernah tinggal dengan datuknya di Sabah tetapi diperdaya oleh saudaranya ke Johor dengan alasan untuk mendapatkan pekerjaan bagi membantu kehidupan keluarga.

Dengan bantuan SUKA, mangsa seperti Intan akan diselamatkan dan diberi terapi di pusat perlindungan kendalian kerajaan.

Pembabitan mereka secara langsung berupaya membantu remaja seperti Intan untuk kembali berdikari dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Bagaimanapun, seperti NGO lain, SUKA juga terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sukar untuk meneruskan usaha mereka membantu kanak-kanak serta remaja seperti itu.

“Kita tidak dapat menggunakan pusat perlindungan ketika Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan sukar melakukan program terapi untuk membantu mereka terselamat daripada tekanan dan trauma. Buat masa ini, kita cuba melakukan program secara atas talian,” katanya.

Lazimnya, mereka menerima sumbangan dana daripada individu, program tajaan korporat serta pemberian geran.

“Mereka yang faham dengan tugas serta matlamat program kami, amat memberikan sokongan. Penderma serta penyokong daripada kalangan masyarakat menjadi dorongan untuk kami terus melindungi kepentingan kanak-kanak ini sejak satu dekad lalu,” kata Teo kepada FMT.

Lanjutan PKP terus membantutkan usaha SUKA manakala sumber kewangan penyumbang juga terjejas.

Buat masa ini, SUKA menyalurkan bantuan makanan dan keperluan untuk membantu kanak-kanak pelarian dan mereka juga akan meneruskan tajaan pendidikan untuk Orang Asli walaupun ketika pandemik Covid-19.

Jika anda ingin membantu SUKA, sila hubungi mereka di [email protected]. Anda juga boleh menyalurkan sumbangan secara terus di sini, atau menggunakan e- wallet Touch ‘n Go dengan mengimbas kod QR di bawah.

Layari laman sesawang mereka, atau laman Facebook untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai usaha yang dilakukan mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.