Bank makanan Amma bantu 248 keluarga dalam 6 hari

Bank makanan Amma bantu 248 keluarga dalam 6 hari

Bank makanan Amma, bertempat di kuil Sri Maha Maheswari Kaliamman di Puchong itu telah membantu sehingga 40 orang yang memerlukan makanan beratur setiap hari.

Yayasan Amriteswari Malaysia diilhamkan oleh Amma. (Gambar Amma Malaysia)

Puchong: “Ketika saya berdiri di pintu pagar sebelum mereka pulang, ada di antara mereka memegang tangan saya dan menangis sambil menyatakan betapa bersyukurnya mereka,” kata Sarojin Devi Damodaran, 52 tahun.

“Seorang ibu menangis ketika melihat gambar Amma di pintu masuk dan berkata, “Terima kasih Amma, kerana memberi makan kepada anak-anak saya.”

Sarojin mengetuai bank makanan Amma, bertempat di kuil Sri Maha Maheswari Kaliamman di Puchong yang mula beroperasi pada 3 Jun itu telah membantu sehingga 40 orang yang memerlukan makanan beratur setiap hari.

Dalam seminggu beroperasi, bank makanan Amma telah menyelamatkan seramai 248 keluarga dari kelaparan.

Orang ramai berbaris untuk mengambil makanan buat diri mereka dan keluarga. (Gambar Amma Malaysia)

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan dan keluarga berpendapatan rendah tidak dapat membeli barangan keperluan seperti beras atau susu tepung.

Yayasan Amriteswari Malaysia mendengar tangisan ini dan dengan cepat membuat rancangan untuk memulakan bank makanan Amma menggunakan dana yang disumbangkan oleh anggotanya.

Rancangannya adalah agar bank makanan itu beroperasi sehingga 14 jun, iaitu sehingga hari terakhir Sekatan Pergerakan Penuh.

Setiap hari, sebanyak RM1,400 sumbangan daripada ahli Yayasan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dibelanjakan untuk membeli makanan bagi mereka yang memerlukan.

Hari ini, kegembiraan jelas terpancar dari wajah mereka yang datang dari seluruh Puchong, Desa Mentari dan Kinrara berkumpul di kuil untuk mendapatkan makanan buat keluarga mereka.

Keperluan penting seperti beras, gula, bihun, susu tepung, tepung gandum, biskut, Milo, teh, minyak masak dan Maggi diisi semula setiap hari.

Bank makanan menyambut baik semua kaum untuk mendapatkan bantuan makanan. (Gambar Amma Malaysia)

“Seorang ibu Melayu turut singgah dan berfikir bank makanan itu hanya untuk kaum India, tetapi saya memberitahunya tidak, semua orang boleh menerimanya.

“Dia bekerja di sebuah kedai kasut di Puchong tetapi kedainya ditutup kerana PKP. Dia sekarang tidak bekerja dan harus menjaga anak-anaknya sendirian kerana suaminya meninggal dua tahun lalu,” Sarojin berkongsi cerita.

Kisah lain yang masih diingatnya adalah mengenai seorang ibu kepada empat orang anak yang suaminya telah terlibat dalam kemalangan serius tiga bulan yang lalu. Wanita itu, yang mempunyai anak berkeperluan khas, terpaksa mengetuk pintu rumah jirannya untuk meminta makanan.

Sarojin sememangnya sangat bersyukur apabila melihat wajah yang memasuki bank makanan tersebut melangkah dengan sedih tetapi pergi dengan gembira.

“Kami amat bersyukur dapat membantu dan sangat gembira melihat mereka begitu menghargainya,” ujarnya lagi.

Bank makanan yang terletak di kuil ini mudah diakses oleh komuniti. (Gambar Ammar Malaysia)

Dia mengucapkan terima kasih kepada anggota Yayasan dan orang ramai atas sumbangan mereka.

Bank makanan tersebut juga telah menarik perhatian ahli majlis eksekutif Selangor, Ng Sze Han, yang berkunjung pada 6 Jun lalu.

“Dia amat kagum dan berterima kasih kepada kami kerana membantu penduduk di sini dan menghidangkan 150 pek makanan yang sudah dimasak,” ujar Sarojin.

Sarojin menganggarkan bahawa bank makanan Amma akan membantu 400 keluarga pada waktu Sekaran Pergerakan Penuh yang akan berakhir pada 14 Jun ini.

Namun, sekiranya ia dilanjutkan, Sarojin berharap bank makanan dapat diteruskan dan sumbangan serta bantuan akan berlanjutan agar dapat terus memberi makanan kepada keluarga yang kelaparan.

Bank makanan Amma, yang terletak di kuil Sri Maha Maheswari Kaliamman di Jalan Bunga Raya di Puchong dibuka antara jam 4 petang hingga 7 malam hingga 14 Jun. Sekiranya anda ingin memberi sumbangan sila hubungi Sarojin di talian 012-2738004.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.