
Impian menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) bukan satu perjalanan mudah namun ia tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seseorang itu mempunyai kesabaran serta tekad yang tinggi.
Pasangan muda berusia 26 tahun ini berjaya membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalang mereka untuk mencapai peringkat tertinggi dalam akademik biarpun memikul tanggungjawab sebagai suami isteri dan membesarkan anak.
Kisah mereka dikongsikan oleh Eksekutif Persatuan Kaunseling & Psikologi MARA Malaysia, Dr Zulkifli Hussain di akaun Facebooknya apabila Mohamad Aiman Jamsari dan isteri, Siti Nadjiha Mohd Rozali kini bergelar sebagai doktor falsafah.
Menurutnya, kedua-duanya adalah bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menunjukkan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik sejak peringkat sekolah lagi.
Katanya, pasangan itu berjaya meraih keputusan 6A+3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2010.
“Siapa kata perkahwinan penghalang anda sambung belajar? Pasangan ini telah buktikan. Mohamad Aiman Jamsari dilahirkan di Setiawangsa, Kuala Lumpur dan anak pertama daripada tiga beradik.
“Dia melanjutkan persekolahan tingkatan satu hingga tiga di MRSM Gerik, Perak manakala tingkatan empat hingga lima di MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka. Dia berjaya meraih keputusan 6A+ 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010,” tulisnya.
Zulkifli berkata, mereka yang memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kemudiannya ditawarkan tempat di sebuah universiti di New Zealand.
“Menggunakan keputusan percubaan SPM, mereka berjaya mendapat tempat di Kolej MARA Kuala Nerang sebelum Mohamad Aiman menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di UniKL MFI dan Nadjiha pula bidang Kejuruteraan Kimia di UniKL MICET untuk tahun pertama pada 2012.
“Manakala pada tahun kedua hingga keempat pula mereka menyambung pengajian ke luar negara iaitu The University of Auckland, New Zealand menerusi tajaan MARA,” tulisnya lagi.
Selepas pulang ke Malaysia, pasangan itu mendirikan rumah tangga dan pulang semula ke New Zealand untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD dengan tajaan kerajaan di sana.
Lebih membanggakan, kedua-duanya berjaya menghabiskan pengajian dalam tempoh tiga tahun dan Mohamad Aiman kini mengetuai pasukan kejuruteraan di Plant & Food Research.
Isterinya pula bertugas sebagai jurutera di Fonterra, New Zealand iaitu salah satu syarikat tenusu terbesar di dunia.
Zulkifli turut memberi tips kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD supaya ia dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang singkat.
“PhD boleh dihabiskan dalam tempoh yang singkat sekiranya benar-benar fokus. Selain itu, anda perlu usaha untuk berfikir dan melaksanakan perancangan sebaiknya.
“Pada masa sama, bina hubungan baik dengan penyelia dan adakan perbincangan sekurang-kurangnya sekali seminggu,” tulisnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]