Seni damar Soh memukau pelanggan seluruh dunia

Seni damar Soh memukau pelanggan seluruh dunia

Soh meninggalkan kerjayanya yang dibina selama 10 tahun untuk memulakan perniagaan sendiri yang berjaya menarik perhatian pelanggan dari seluruh dunia termasuk jenama terkenal seperti Chanel.

Barangan kemas anda tidak akan hilang lagi dengan memiliki mangkuk perhiasan cantik dihasilkan oleh Artorias. (Gambar Artorias)
TANJUNG BUNGAH:
Dua tahun lalu, Joy Soh Sue Ling, 34, meninggalkan kerjaya yang dibina selama 10 tahun untuk meneruskan impiannya.

Keputusan itu ternyata tidak sia-sia apabila bakatnya lebih terserlah sebagai pengusaha cenderahati yang menghasilkan pelbagai hasil kraftangan menarik daripada damar.

Setiap barangan dihasilkan daripada jenama Artorias mendapat sentuhan unik dan ia pastinya membuatkan sesiapa saja begitu tertarik melihatnya.

Si kucing kesayangan, Kiki turut memakai tag nama yang dihasilkan oleh Soh. (Gambar Artorias)

Kilauan sempurna yang dilihat pada hasil kraftangan seperti mangkuk perhiasan, abjad pelbagai warna serta tag nama haiwan peliharaan berjaya menarik pelanggan dari seluruh dunia seperti Singapura, Jepun dan Australia selain Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jerman.

Kehalusan seninya begitu mengagumkan dan tidak hairanlah jika ia menarik perhatian jenama terkenal dunia seperti Chanel dan pereka tempatan, Nurita Harith.

Bagaimanapun, perjalanan Soh bukan mudah dan ia memerlukan satu keberanian besar untuk dia meninggalkan kerjayanya sebelum ini.

Selain kad nama untuk Chanel (kiri), Soh juga menghasilkan hadiah mempunyai tema untuk pengiring pengantin, majlis hari jadi serta majlis perkahwinan seperti hadiah bertemakan laut ini. (kanan). (Gambar Artorias)

Dia sempat menceritakan kisahnya kepada FMT baru-baru ini menerusi satu panggilan telefon.

“Saya berhenti kerja kerana membuat keputusan untuk mencuba sesuatu yang baru. Saya ingin memberi fokus sepenuhnya untuk memulakan Artorias.

“Ketika masih bekerja, saya berniaga secara kecil-kecilan tetapi ia agak memenatkan. Sekiranya saya ingin memulakan perniagaan cenderamata, semestinya saya akan memberi fokus 110 peratus,” katanya.

Dia tidak hanya bercakap kosong, tetapi membuktikan apa yang diucapkannya itu apabila mendedikasikan sepenuh masanya terhadap perniagaan itu.

Keadaannya kini lebih sibuk apabila mengendalikan semua proses perniagaan secara bersendirian termasuk melayan permintaan pelanggan yang mahukan rekaan istimewa hinggalah melakukan aspek pembungkusan.

Namun, semuanya berbaloi apabila perniagaan dibina dua tahun lalu semakin berkembang dengan menerima pelbagai tempahan dari seluruh dunia terutama sejak membuat hantaran pertama di Instagram pada 2019.

Dia turut mendapat tempahan untuk membuat nama daripada pelanggannya. (Gambar Artorias)

Percaya atau tidak, Soh sebelum ini juga pernah mengendalikan objek berkilau tetapi ia bukanlah berbentuk cecair seperti damar.

“Saya bekerja sebagai ahli gemologi dalam bidang barang kemas selama 10 tahun di mana saya mendapatkan batu permata dan mengendalikan aspek pemasaran,” katanya yang turut menjelaskan dia sebenarnya adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pengurusan.

Mengambil kira latar belakangnya itu, mungkin ada yang terfikir bagaimana dia boleh terjun ke bidang lain tetapi Soh hanya mengambil peluang yang sudah terhidang di depan mata.

“Tidak lama selepas berhenti kerja, saya mendapat tahu mengenai bahan damar ini di internet. Kemudian, seorang artis damar dari Dubai datang ke sini untuk mengadakan kelas.

“Bermula dari situ, saya mula mempelajari untuk menghasilkannya sendiri,” katanya yang tidak ragu-ragu untuk merebut peluang itu.

Daripada warna tema hingga jenis penggunaan bunga, seni yang dihasilkannya boleh ditempah secara eksklusif oleh pelanggan. (Gambar Artorias)

Dia mengambil masa tiga hingga lima hari untuk menyiapkan cenderamata kecil seperti rantai kunci, tag nama dan pelapik cawan namun, baru-baru ini Soh mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan satu cenderamata.

“Bahan damar ini susah dijangka kerana ia adalah sejenis cecair dan apabila mengeras, ia akan mengubah bentuk objek hingga menjadi lain.

“Namun, itu yang menjadikannya lebih unik kerana setiap cenderamata dihasilkan berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Anda hanya mengambil masa dua jam saja untuk mencintai seni damar ini sebaik keluar dari bengkelnya. (Gambar Artorias)

Selain berkongsi kegembiraan dengan pelanggan menerusi hasil seninya, Soh juga berkongsi ilmu dan minatnya itu bersama orang lain.

Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia mengadakan kelas bengkel selama dua jam yang memberi peluang peserta menunjukkan kreativiti masing-masing menerusi seni damar itu.

Antara hasil kraftangannya termasuk pelapik cawan yang dihiasi dengan sejambak bunga. (Gambar Artorias)

Selain itu, minatnya terhadap bunga hidup dan figura haiwan menyebabkan dia gemar menggunakannya dalam setiap cenderamata dihasilkan dan ia juga terselit maksud tertentu.

“Sejak kecil lagi, ibu bapa sentiasa mahu saya menghargai kehidupan, alam sekitar serta semua hidupan lain,” katanya.

Di sebalik sifatnya yang begitu cintakan haiwan dan alam semulajadi, semangat dan keinginan besar dimiliki insan ini juga wajar dipandang tinggi.

Keberaniannya meninggalkan pekerjaan tetap demi memulakan perniagaan dari bawah, boleh menjadi inspirasi buat semua dan ini adalah pesanannya kepada mereka yang bercita-cita menggapai impian masing-masing.

“Kekalkan semangat dan sentiasa fokus, patuhi jadual kerja serta nikmati kerja yang anda dilakukan di mana ia dapat dilihat menerusi hasil yang ditunjukkan,” katanya.

Untuk melihat pelbagai hasil seni Soh, anda boleh ke laman Instagram atau hubunginya menerusi emel, [email protected]

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.