Gadis albino dari China kini model terkemuka dunia

Gadis albino dari China kini model terkemuka dunia

Pernah ditinggalkan di rumah anak yatim ketika bayi, Xueli kini jadi perhatian jenama besar dan majalah fesyen terkenal, Vogue Italia.

Nama Xueli semakin dikenali dalam industri fesyen dunia. (Gambar Instagram Xueli/luxvisualstorytellers)

Hanya kerana dilahirkan sebagai albino, remaja ini pernah ditinggalkan di rumah anak yatim di China oleh keluarga kandungnya sendiri.

Namun, tindakan itu mungkin menjadi satu kerugian besar buat keluarganya apabila remaja tersebut, Xueli Abbing, 16, kini bergelar model terkemuka yang menjadi perhatian dunia.

Malah, keunikannya itu turut menghiasi dada majalah fesyen terkenal, Vogue Italia.

Selepas ditinggalkan keluarga, Xueli dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga warga Belanda yang kemudiannya berpindah ke negara asal mereka.

Dia menyertai bidang peragaan sejak berusia 11 tahun lagi dan gambarnya sering menghiasi majalah selain melakukan peragaan pentas untuk jenama besar seperti Kurt Geiger.

Peluang itu turut digunakan remaja terbabit untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap komuniti albino selain memberi inspirasi kepada orang ramai menghargai kecantikan semulajadi.

Xueli berkata, dia melihat terdapat satu perubahan yang nyata dalam industri fesyen ketika ini, berdasarkan pengalamannya bekerja dengan beberapa jurugambar dan jenama terkenal dunia.

“Dalam industri ini, kelainan yang dimiliki pada diri seseorang dianggap sebagai anugerah dan bukannya satu perkara malang. Ia sekali gus memberi satu landasan untuk saya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai albino.

“Masih terdapat ramai peragawan yang langsing dan tinggi tetapi kini mereka yang mempunyai kekurangan atau perbezaan fizikal lebih banyak ditampilkan dalam media. Ini adalah satu perkara baik dan harus menjadi normal,” katanya.

Menurut BBC, dia menyertai bidang peragawan secara tidak sengaja selepas ibunya berhubung dengan seorang pereka fesyen dari Hong Kong yang menghasilkan pakaian untuk anak lelakinya.

Xueli kemudiannya menyertai pertunjukan fesyen pereka itu menerusi kempen bertemakan ‘Kesempurnaan yang tidak sempurna’ sekaligus menjadi permulaan terhadap kerjayanya.

Agensi pengurusan model dari Britain yang mewakili Xueli, Zebedee Management berkata, mereka cuba menampilkan kepelbagaian menerusi kehadiran peragawan seperti remaja itu.

Sebelum ini, seorang peragawan albino dari Afrika Selatan yang berusia 32 tahun, Thando Hopa pernah mencipta sejarah apabila menjadi wajah penghias muka depan majalah Vogue pada 2019.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.