Pemuzik Malaysia terus bangkit ketika pandemik

Pemuzik Malaysia terus bangkit ketika pandemik

Muzza dan AcidicBunch menceritakan kesukaran yang dihadapi sejak dilanda pandemik.

Penulis lagu dan gitaris, Muzza pernah membuka persembahan bagi kumpulan terkenal seperti Scorpions, Wings, Wolfmother dan The Darkness. (Gambar Muzza)
TANJUNG BUNGAH:
Tidak dinafikan lagi, kemunculan gitaris berbakat Malaysia ini berjaya menggegarkan dunia muzik rock n roll tanah air.

Malangnya, kehadiran pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, membantutkan impian pemuzik dengan vokal mengagumkan itu, Muzza atau Muzaffar Shah Asrinan, 30 untuk terus melebarkan sayapnya.

Jika tidak kerana wabak ini, dia mungkin sudah menggegarkan arena muzik di Thailand, Jepun, Singapura, Australia malah mungkin di Perancis juga.

Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa akur apabila hanya mampu beraksi secara bersendirian di rumah.

Muzza dan isteri serta dua anak perempuan mereka, Mayza dan Zarra. (Gambar Muzza)

Bagi pemuzik sepenuh masa ini, keperitan kian terasa terutama untuk menyara kehidupan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketika ini, dia cuba bertahan untuk melalui keadaan sukar bersama isteri serta dua anak berusia tiga dan lapan tahun selain terpaksa mengubah cara persembahannya secara maya menerusi penstriman langsung di Facebook.

Dia juga bersyukur dengan kemurahan hati peminat yang kadangkala memberikan rezeki buat dirinya serta keluarga.

“Sebelum PKP tahun lalu, kali terakhir saya membuat persembahan ialah di Publika pada 22 Februari lalu dan baru saja mengeluarkan album kedua, Six String Rifle.

“Persembahan itu adalah satu kejayaan apabila seorang ejen menghubungi saya dan menawarkan peluang untuk melakukan jelajah ke seluruh dunia,” katanya sambil menjelaskan dia sepatutnya mengadakan persembahan di Thailand pada Mac dan mungkin di Perancis jika tidak disebabkan pandemik ini.

Namun, segalanya terpaksa dilupakan apabila dunia berdepan tekanan akibat Covid-19 hingga menyebabkan perintah berkurung dilakukan di seluruh pelusuk negara.

“Saya amat gembira ketika itu tetapi kini semuanya musnah. Saya masih tidak dapat mempercayainya apabila semua urusan jelajah itu sudah dibuat,” katanya dengan nada sedih.

Sebelum PKP tahun lalu, Muzza sempat menghiburkan peminat dan melancarkan album kedua, Six String Rifle di The Bee, Publika. (Gambar Muzza)

Walaupun sudah berpengalaman mengadakan persembahan di khalayak ramai selama 12 tahun ketika berusia 18 tahun, dia merasakan kali ini suasana penonton agak mencabar.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk melakukannya kerana sebelum ini biasa mengadakan persembahan di hadapan orang ramai secara langsung,” katanya yang menjelaskan persembahan strim langsung pertamanya di Facebook adalah pada 21 Mac, iaitu beberapa hari selepas PKP.

Sebelum ini, dia berpeluang menunjukkan bakat sambil diiringi sorakan penonton namun kali ini agak berbeza apabila Muzza hanya bertemankan sebuah kamera sambil berharap muziknya didengari pengguna media sosial.

“Ketika mula melakukan strim langsung, saya hanya mempunyai 10 penonton tetapi saya terus berusaha.

“Walaupun hanya tiga orang saja yang menonton, anda tetap perlu berikan yang terbaik kerana mereka ini mungkin menyebarkan kepada 30 orang lagi sebelum menjadi 300 orang penonton,” katanya.

Biarpun impiannya untuk menjelajah dunia musnah, namun situasi itu tetap memberi hikmah kepada dirinya.

Bermula dengan bilangan penonton yang begitu kecil, persembahan di Facebook kemudiannya terus menjadi perhatian ramai apabila 2,100 orang menyaksikan dia mengadakan persembahan di atas bumbung bangunan.

“Kaedah penstriman langsung meningkatkan jumlah peminat secara mendadak dan ia sangat mengagumkan.

“Saya kini mempunyai pendengar dari Brunei, Indonesia, sebahagian besar peminat dari Singapura, Australia serta peminat Amerika Syarikat yang berkata mereka menantikan kehadiran saya di sana,” katanya.

Bagaimanapun, Muzza berkata, semuanya tidak dapat dilakukan tanpa bantuan isteri, Haizura Meskat, 40, yang bukan hanya menjadi pengurusnya sejak hari pertama, tetapi juga penyokong terbesarnya.

“Dia mencari semua tempat untuk saya mengadakan persembahan dan kini dia menjadi orang yang meletakkan kamera dan lampu untuk persembahan strim.

“Dia adalah segala-galanya dan saya cuma duduk di situ melakukan persembahan nyanyian yang terbaik,” katanya.

Pada 9 Ogos tahun lalu, AcidicBunch mengadakan persembahan secara maya untuk peminatnya dan tidak lupa mematuhi prosedur operasi standard (SOP). (Gambar AcidicBunch)

Sekurang-kurangnya Muzza masih mampu mencari ikhtiar lain untuk berdiri, sedangkan pemuzik lain berdepan situasi yang lebih teruk berbanding dirinya.

Situasi itu dirasai oleh sebuah kumpulan muzik di Pulau Pinang apabila tidak dapat mengadakan sebarang persembahan di hadapan peminat.

AcidicBunch adalah salah satu daripada lebih 30 kumpulan muzik terkenal di negeri itu sejak 2010 lagi.

Vokalisnya, Noor Izwan Mohamed, 40, meluahkan rasa kecewanya kepada FMT apabila melihat rakan pemuziknya lain yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Saya mempunyai rakan baik yang menjadi pemain drum sepenuh masa dan keadaan agak sukar baginya sepanjang PKP ini memandangkan perlu menyara isteri dan tiga anak.

“Manakala ada seorang pemain bass yang mempunyai penyakit kronik dan tidak mampu untuk menanggung kos rawatan,” katanya.

https://youtu.be/kNoP601VDJ8

Noor Izwan dan beberapa anggota kumpulan itu tidak bergantung sepenuh masa kepada pekerjaan itu kecuali bagi pemain gitar, Aaron Lim, 40.

Lim mencari rezeki dengan mengajar kelas gitar pada waktu siang, manakala malamnya pula dia mengadakan persembahan.

Namun, dia kini terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan apabila bilangan pelajarnya semakin kurang sejak pandemik dan tidak dapat melakukan aktivitinya seperti biasa.

Covid-19 bukan hanya menjejaskan motivasi mereka tetapi juga memberi kesan teruk kepada kumpulan muzik yang mengadakan persembahan secara langsung dan bergantung kepada kehadiran peminat mereka.

Apa pun kepayahan yang dihadapi, minat mendalam terhadap dunia muzik sama sekali tidak akan memadamkan semangat dalam diri yang sudah menjadi nadi sejak sekian lama.

Untuk memberi sokongan kepada pemuzik ini, jangan lupa ikuti Muzza dan AcidicBunch di Facebook untuk menonton persembahan terbaru.

Jika ingin mengikuti persembahan rock, anda boleh menonton strim langsung Muzza di Facebook setiap malam Jumaat dan Ahad pada jam 9.30 malam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.