Semangat BESAR si gadis kecil bernama Cailey

Semangat BESAR si gadis kecil bernama Cailey

Remaja 13 tahun mengalami penyakit simpanan glikogen (GSD) jenis 1a membuktikan dirinya juga berkebolehan apabila menjadi usahawan muda di platform PKS terbesar, Caring Moms.

Cailey sedang menyiapkan barangan kemasnya. (Gambar Jenny Ding)

Petaling Jaya: Melihat kepada ketinggiannya yang hanya mencecah 106 sentimeter (cm), pasti ramai menganggap gadis kecil ini adalah seorang murid sekolah rendah.

Raut wajahnya kelihatan keanak-anakan namun, Cailey sebenarnya berusia 13 tahun.

Ini kerana dia mengalami penyakit genetik jarang ditemui iaitu penyakit simpanan glikogen (GSD) jenis 1a yang mengganggu fungsi tubuh dalam menghasilkan tenaga daripada makanan.

Ibunya, Jenny Ding, 40, memberitahu FMT, hati anaknya tidak dapat menyimpan atau memecahkan gula secara normal dan ia menghalang Cailey untuk menikmati buah-buahan, ais krim dan susu.

Dia juga perlu memberi lebih perhatian kepada anaknya, terutama dalam menyediakan makanan setiap hari.

Cailey adalah ahli paling muda yang menjadi usahawan menerusi platform Caring Moms. (Gambar Jenny Ding)

Biarpun begitu, Cailey tetap membanggakan ibunya apabila menjadi usahawan muda menerusi Cailey’S Handmade Jewelllery dan menjalankan perniagaan dengan menggunakan platform terbesar industri kecil dan sederhana (PKS), Caring Moms.

Jenny bertanggungjawab membuka ruang terhadap bidang pembuatan barangan kemas kepada anaknya dua tahun lalu memandangkan keupayaan fizikal Cailey agak terbatas iaitu hanya kepada aktiviti renang disebabkan ketinggian dan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Katanya, kelas membuat barangan kemas itu sebenarnya dianjurkan oleh salah seorang ahli komuniti Caring Moms.

Cailey mempelajari bagaimana untuk menghasilkan barangan kemas daripada salah seorang ahli Caring Moms. (Gambar Jenny Ding)

“Ibu menghantar saya ke kelas membuat anting-anting dan daripada situ saya menyedari kebolehan untuk menghasilkannya sendiri.

“Saya ingin membuat anting-anting kerana boleh menghasilkannya sendiri tanpa bantuan ibu,” katanya.

Menurut Cailey, dia mampu menghasilkan sepasang anting-anting dalam tempoh 10 minit yang sesuai dipakai sebagai aksesori ke pejabat atau majlis parti.

Cailey berkata, dia amat berterima kasih kepada Pengasas Caring Moms, Shera Ann Bosco yang memberi dorongan kuat dan serta gerai jualan di bazar Deepavali Caring Moms pada 2019.

Jenny bersama anak perempuannya, Cailey. (Gambar Jenny Ding)

“Ramai ahli yang baik hati tampil membantu saya dengan memberikan manik dan aksesori ketika menyertai bazar pertama itu. Hasil jualan di situ membolehkan saya membeli lebih banyak manik dan mencari lebih banyak rekaan barangan kemas yang menarik,” ujarnya.

Jenny berkata, kejayaan mencapai hasil jualan memberangsangkan menjadi pendorong buat Cailey untuk menjadi penjual rasmi di platform berkenaan.

Setakat ini, Cailey adalah usahawan paling muda di platform Caring Moms.

Cailey dikelilingi dengan peralatan untuk membuat barangan kemas dan manik pelbagai warna. (Gambar Jenny Ding)

Jika tidak begitu sibuk menyiapkan hasil kraftangan seperti rantai dan anting-anting, Cailey lebih gemar menghabiskan masa membaca buku atau membantu ibunya membuat kek cawan.

Jenny meninggalkan kerjayanya sebagai akauntan sebelum ini demi menjaga anaknya dan dia kini mengusahakan perniagaan kek pula.

“Keadannya menghalang daripada mengambil makanan bergula dan apabila dia mula mengambil makanan pejal, saya berfikir mengapa tidak membuat kek untuknya,” kata Jenny.

Pada hari paling sibuk, Cailey akan membantu menyiapkan tempahan kek cawan daripada pelanggan.

Cailey membantu ibunya menghias kek cawan. (Gambar Jenny Ding)

“Kami sentiasa menghabiskan masa bersama,” kata Jenny.

“Semestinya saya mendapat semangat berniaga daripada ibu,” kata Cailey pula yang berharap dapat memiliki sebuah kedai barangan kemas satu hari nanti.

Salah satu daripada rekaan dijual oleh Cailey’s Handmade Jewellery. (Gambar Jenny Ding)

Ketika ini Cailey meneruskan persekolahan di rumah dan terpaksa menangguhkan tempahan pelanggan buat sementara untuk memberi tumpuan kepada pelajaran. Bagaimanapun, jika anda berminat untuk mendapatkan barangan kemasnya, bolehlah menghubungi Jenny di talian 012 3103740 untuk maklumat lanjut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.