
Sumbangan besar seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang dalam membantu golongan susah di Malaysia, turut diiktiraf dunia apabila bakal menerima Anugerah Points of Light daripada Ratu Elizabeth II.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh aktivis berusia 58 tahun menerusi hantarannya di Facebook pada Sabtu lalu yang memaklumkan dia menerima emel mengenai penganugerahan itu.
“Saya menerima emel memaklumkan saya akan menerima Anugerah Points of Light daripada Ratu Elizabeth II tidak lama lagi. Ia sememangnya satu penghargaan besar kepada kita semua dalam membantu golongan memerlukan.
“Saya berkongsi pengiktirafan ini dengan anda semua yang menyokong dan memberi galakan kepada kami untuk terus membantu orang di luar sana,” tulisnya.
Anugerah yang diberikan kepada individu dari seluruh negara Komanwel itu bertujuan memberi pengiktirafan terhadap sumbangan mereka yang membawa perubahan kepada seluruh komuniti.
Berdasarkan carian di laman web rasmi pointsoflight.gov.uk, sebelum ini terdapat tiga rakyat Malaysia pernah menerima anugerah sama kerana melakukan pelbagai sumbangan termasuk kepada alam sekitar.
Anugerah itu diperkenalkan sejak 2018 lagi dan susulan kejayaannya, Ratu Elizabeth II membuat keputusan untuk meneruskan penganugerahan berkenaan kepada sukarelawan yang berbakti kepada masyarakat.
Selain itu, Kuan menjelaskan, dia dijangka akan mengambil sijil penghargaan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain pada 12 Jun nanti.
“Sebenarnya penghargaan ini adalah untuk semua. Tanpa anda, kita tidak dapat membantu orang.
“Saya dengan rendah diri memaklumkan penghargaan itu bukan untuk saya sendiri, tetapi ia adalah hak anda semua dan hak rakyat Malaysia yang ‘gila menderma’, ‘gila membantu’ dan ‘gila’ memberi sokongan terhadap inisiatif kita,” tulisnya lagi.
Uncle Kentang semakin dikenali ramai apabila melakukan pelbagai inisiatif kebajikan seperti kemudahan teksi 10 sen, rumah sewa dan perkhidmatan van jenazah RM1.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]