
Semasa remaja lain seusianya sibuk dengan gajet dan pelbagai aktiviti lain yang menyeronokkan, dia duduk di kaki lima menjual kerepek dan jualan lain demi mencari rezeki membantu keluarganya.
Tidak menghiraukan rasa malu, remaja bernama Aisyah terus bersemangat menyapa orang ramai yang lalu-lalang untuk membeli kerepeknya di sebuah kaki lima di Kota Kemuning, Shah Alam.
Namun, lebih istimewa lagi apabila di sebalik kesempitan hidup yang dihadapi, dia masih memikirkan nasib orang lain yang kurang berkemampuan.
Begitu tinggi budi pekerti dimiliki remaja bernama Aisyah ini apabila dihampiri FS Channel yang sering mendekati dan membantu peniaga kecil-kecilan sambil menghulurkan sumbangan daripada Yayasan Maghfirah.
Mereka turut membantu Aisyah dengan membeli sebahagian kerepek dijualnya sebelum memintanya mengedarkan kepada orang ramai.
Apa yang menyentuh hati netizen ialah sifat budi bahasa dan tutur katanya begitu sopan, malah sempat mendoakan kesejahteraan kepada setiap mereka yang menerima kerepeknya itu.
Dia yang pada mulanya ditawarkan untuk dibayar RM480 bagi kerepek dibeli oleh FS Channel, terkejut apabila menerima wang berjumlah RM500.
“Tadi abang kata RM480 saja,” soalnya.
Seorang lagi wakil kemudiannya membuat kejutan dengan sekali lagi menghulurkan wang berjumlah RM500 untuk membantu meringankan beban hidupnya.
Bagaimanapun, reaksinya yang dilihat ketika itu amat meruntun hati apabila dia berkali-kali cuba menolak dan lebih rela wang terbabit disumbangkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Dia sempat berkata kepada mereka bahawa wang itu terlalu banyak untuknya, menyebabkannya tidak mampu untuk menerimanya.
“Tidak payahlah abang, banyak sangat, saya tidak mampu la…Abang bagi dekat orang lain memerlukan.
“Saya berniaga ini pun ada juga rezeki untuk saya,” katanya sambil menitiskan air mata.
Video yang menjadi tular di media sosial itu sehingga kini mendapat 190,000 tontonan dan mendapat 564,000 tanda suka.
Orang ramai juga boleh turut sama membantu usaha amal seperti ini dengan menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Maghfirah menerusi akaun Bank Islam bernombor 12300010011304 dengan rujukan ‘BantuPeniaga’.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]