
Petaling Jaya: Ketika Sundri Ramesh, 57, membuat keputusan untuk bersara awal dan menjadi pembuat kek sepenuh masa, tidak terlintas dalam fikiran bahawa kek bertemakan sari itu akan mendapat tempat di hati pelanggan.
Ibu dua anak yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan itu memberitahu FMT, dia sebenarnya jarang berada di dapur melakukan kerja membuat kek seperti mengayak tepung dan mengisar mentega untuk dijadikan aising.

Sebaliknya, Sundri bekerja sebagai pengurus sumber manusia di sebuah syarikat pengurusan acara terkenal.
“Saya hamil lima bulan dengan kandungan anak lelaki ketika itu dan sentiasa teringin untuk menikmati kek mentega tetapi penjual kegemaran sudah meninggalkan negara. Saya terfikir mengapa tidak saya membuatnya sendiri?” kata Sundri.
Ketika membahagikan tugas dan tanggung jawab sebagai ibu, dia sempat meluangkan masa menghadiri kelas membuat kek dan belajar menghiasnya sebelum menggunakan kemahiran baru itu untuk membuka Sundri Bakes n Bites.
“Saya mula mengambil tempahan katering tetapi hanya waktu hujung minggu saja. Ia sebenarnya dilakukan secara separuh masa namun orang mula bercakap mengenai kek saya sekali gus pelanggan pun bertambah.
“Malah, sehingga hari ini saya mempunyai pelanggan setia yang sentiasa membuat tempahan sejak 26 tahun lalu,” katanya.

Sundri tidak pernah merancang untuk melakukan perniagaan itu secara sepenuh masa memandangkan dia masih seronok bekerja dan tidak bersedia untuk berhenti.
Namun, apabila usia mencapai 50 tahun ketika anak lelaki mula meneruskan pengajian di kolej dan anak perempuan bersendirian di rumah, dia rasa bersalah dan ingin meluangkan lebih banyak masa bersama anak perempuan.
“Pada masa itu, barulah terlintas untuk menjadikannya sebagai kerja sepenuh masa. Saya memaklumkan majikan mengenai perancangan ini selain ingin melihat sejauh mana ia boleh membawa saya dalam tempoh 10 tahun.
“Saya juga mendapat sokongan daripada pelanggan yang menjadi pendorong untuk keluar dari zon selesa. Pada mulanya, majikan enggan melepaskan saya namun memberitahu jika perniagaan tidak menjadi dalam tempoh dua tahun, saya boleh kembali bekerja. Jadi saya berhenti pada 2015,” katanya.

“Saya dinasihatkan bahawa setiap pembuat kek membuat kek mentega dan saya perlu menghasilkan satu kelainan. Sebiji kek yang dikenali pelanggan dan nasihat itu kekal sehingga ke hari ini,” katanya.
Dia mendapat inspirasi pada awal 2017 menerusi sebuah majlis pertunangan.
Sundri melihat terdapat beberapa dulang hantaran terdiri daripada sari pelbagai warna, gelang, manisan sambil terfikir untuk mencuba menghasilkan kek sari.
Lebih-lebih lagi apabila tiada pembuat kek lain di Malaysia yang menghasilkan kek bertemakan sari.

Pada masa itu, ia bukan mudah baginya untuk meyakinkan pelanggan mengenai kek bertemakan sari sehingga seorang rakannya mencadangkan dia menghasilkannya sempena majlis pertunangan pada 2017.
“Saya berjaya dan semua tetamu melihatnya dengan rasa kagum dan teruja. Namun, kek bertemakan sari ini benar-benar berjaya adalah ketika saya menyertai kumpulan di Facebook dikenali sebagai Job for Caring Moms Malaysia dan sempat memuat naik gambar kek di situ,” katanya.
Gambar dimuat naiknya mendapat perhatian ramai dan dalam tempoh 24 jam saja hantarannya mendapat 1,800 tanda suka, dikongsi beratus kali dan mendapat banyak komen netizen yang kagum dengan hasil kerjanya sebelum digelar sebagai ‘wanita sari’.

Sundri menghasilkan kek sarinya secara kreatif dengan hiasan aising mentega pelbagai warna serta fondant mengikut permintaan setiap pelanggan.
Sebiji kek sari seperti ini biasanya dijual pada harga RM300 ke atas (dengan asas kek mentega tulen berat minimum 1.5kg)
“Saya mula mendapat permintaan supaya mengajar cara membuatnya. Ketika itu saya sedar pasaran untuk kek seperti ini begitu luas namun tidak ramai mampu membuatnya. Mengajar kemahiran ini kepada orang lain membolehkan kek ini boleh dinikmati pelanggan di negeri lain juga,” katanya.
Pembuat kek berjaya ini sudah melatih lebih 500 pelajar menerusi kelas fizikal dan atas talian dan kebanyakannya mampu menjana pendapatan sendiri menggunakan kemahiran diberikan itu.

“Saya mempunyai ramai pelajar yang hilang pekerjaan ketika pandemik dan kini menjana pendapatan dengan menjual kek. Ada juga pelajar yang sebelum ini berkecimpung dalam bidang solekan tetapi tidak berjaya. Dia menyertai kelas dalam keadaan sedih. Dia menggunakan pendapatan terakhirnya untuk membayar yuran kelas saya.
“Saya mula memberi galakan kepadanya untuk membuat kek dan memuat naik gambar di media sosial seperti juga pelajar lain. Baru-baru ini, dia dengan gembira memberitahu sudah menerima 10 tempahan,” katanya.
Sundri turut tumpang gembira melihat ramai pelajarnya mampu menghasilkan kek dan menjadi pembuat kek berjaya.
“Bagi saya, ia sudah dianggap memadai buat mereka apabila mendapat semula modal dikeluarkan untuk menghadiri kelas kek selain mampu menyara hidup sekeluarga menggunakan kemahiran dipelajari,” kata Sundri.
Berminat untuk mempelajari cara membuat kek bertemakan sari? Anda boleh menghubungi Sundri menerusi WhatsAppp di talian 019 2269044 atau boleh ke akaun Instagram dan Facebook untuk melihat pelbagai kek menarik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]