Wanita lahir bayi kembar sembilan

Wanita lahir bayi kembar sembilan

Halima Cisse, 25, dari Timbuktu, Mali melahirkan lima bayi perempuan dan empat lelaki.

Seorang jururawat memantau perkembangan bayi Halima di klinik swasta Ain Borja. (Gambar AP)

Tuah buat seorang wanita apabila dia berjaya melahirkan bayi kembar sembilan sekali gus menjadikannya sebagai kes ketiga yang mempunyai kelahiran paling jarang berlaku di dunia.

Halima Cisse, 25, dari Timbuktu, Mali melahirkan kandungan pra matang terdiri daripada lima bayi perempuan serta empat lelaki di Maghribi pada Selasa lalu dan semua anaknya itu kini dilaporkan sihat.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS, semua bayi terbabit dilahirkan pada minggu ke-30 kehamilan dengan berat 1.2 kilogram.

Pada mulanya, doktor hanya mengesahkan Halima dijangka menerima kelahiran tujuh bayi susulan imbasan dilakukan di Mali dan Maghribi dan mereka dikejutkan dengan kehadiran dua lagi bayi menerusi pembedahan caesarean.

Sekiranya semua bayi tersebut hidup, Halima bakal memecah rekod dunia dipegang ‘Octomum’ Nadya Suleman pada 2009 selepas melahirkan bayi kembar lapan yang berjaya hidup.

Sebelum ini, Halima ditempatkan selama dua minggu di sebuah hospital di ibu kota Mali, Bamako sebelum diterbangkan ke Maghribi pada Mac lalu untuk jagaan pakar.

Satu video yang dikongsi oleh klinik swasta Ain Borja menunjukkan beberapa doktor dan jururawat berusaha untuk memastikan semua sembilan bayi itu dilahirkan dengan selamat dan hidup.

Salah seorang doktor, Dr Yazid Mourad berkata, mereka berusaha melewatkan kelahiran itu sehingga lima minggu supaya bayi terbabit mempunyai peluang lebih cerah untuk hidup.

Katanya, kelahiran pada minggu ke-30 itu dijangka memberi peluang hidup sekitar 80 peratus kepada bayi berkenaan selain diberi rawatan sepatutnya.

“Saya tidak dapat membayangkan sama ada bayi kembar sembilan ini akan hidup sekiranya dilahirkan pada minggu ke-25 kerana saiznya lebih kecil dan sebab itu kita perlu melewatkannya sedikit,” katanya.

Sementara itu, suami Halima, Adjudant Kader Arby memberitahu, dia tidak begitu bimbang dengan masa depan semua bayinya.

“Tuhan yang kurniakan semua bayi ini kepada kami. Hanya tuhan yang boleh menentukan nasib mereka. Saya tidak risau mengenai perkara itu.

“Semua pihak menghubungi saya. Pihak berkuasa Mali turut menelefon saya meluahkan rasa gembira mereka, malah presiden juga. Saya berterima kasih kepada mereka,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.