Pelarian sedia hidangan untuk golongan memerlukan sempena Ramadan

Pelarian sedia hidangan untuk golongan memerlukan sempena Ramadan

Jules Rahman Ong yang mengasaskan Ali Rahman Afghan Kitchen mensasar untuk mengagihkan 500 makanan kepada golongan memerlukan di Kajang.

Sekumpulan pasukan bertungkus lumus menyediakan makanan di Ali Rahman Afghan Kitchen. (Gambar Jules Rahman Ong)

Petaling Jaya: Sekumpulan individu kelihatan sibuk di ruang tamu sebuah rumah di Kajang sambil memasukkan nasi yang baru dimasak bersama kubis goreng serta kek lapis Sarawak ke dalam bekas.

Sebaik semua 80 paket makanan siap dibungkus, mereka kemudiannya mengagihkannya kepada golongan memerlukan yang menetap di Kajang sebagai juadah berbuka puasa.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif sempena Ramadan untuk mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan di Kajang. (Gambar Jules Rahman Ong)

Walaupun masing-masing kelihatan penat, namun semua ini adalah sebahagian daripada inisiatif dilakukan Ali Rahman Afghan Kitchen iaitu sebuah perusahaan sosial yang bermatlamat membantu pelarian menjana pendapatan dengan menjual makanan dimasak sendiri.

Usaha tersebut digerakkan oleh seorang penulis sambilan, penerbit dan pembuat filem dokumentari bebas yang pernah memenangi anugerah, Jules Rahman Ong.

Dia memberitahu FMT, keinginannya untuk memulakan usaha itu bermula pada Jun tahun lalu selepas bertemu seorang pelarian muda yang tiba di Malaysia secara bersendirian.

“Saya memikirkan untuk membantu mereka supaya dapat hidup berdikari,” kata Jules sambil menjelaskan setiap kali pelarian itu teringat tempat asal, mereka akan memasak sesuatu untuk mengubat kerinduan itu.

Pengasas Ali Rahman Afghan Kitchen, Jules mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan. (Gambar by Jules Rahman Ong)

Katanya, dia tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan sukar dilalui para pelarian ketika pandemik Covid-19 melanda dan tertanya-tanya bagaimana mereka ingin meneruskan hidup ketika Ramadan.

“Kami di sini berharap dapat mengagihkan 500 bungkus makanan untuk berbuka puasa bagi meringankan beban mereka ketika Ramadan.

“Kami juga mensasarkan untuk mengumpul RM5,000 untuk menyediakan makanan dianggarkan RM10 untuk setiap orang termasuk tukang masak yang menyediakan makanan itu.

“Ramai yang terpaksa membanting tulang mencari rezeki namun terpaksa juga mengikat perut dan sebab itu kami ingin menyumbang menerusi masjid daif di Kajang iaitu tempat mereka berbuka puasa. Saya percaya kita juga mempunyai peranan untuk membantu mereka sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya.

Sehingga kini, Ali Rahman Afghan Kitchen sudah berjaya mengumpul sebanyak RM3,700 dan wang itu digunakan untuk menyediakan makanan untuk 370 orang.

Sumbangan itu adalah hasil keprihatinan rakan Jules di media sosial yang tampil memberi sokongan mereka.

Anak jati Sarawak, Sharon mengagihkan makanan daripada Sharon Sarawak Special kepada golongan B40. (Gambar Jules Rahman Ong)

Selain itu, Jules turut mendekati sebuah lagi keluarga Afghanistan untuk melakukan usaha terbabit dan memberi peluang kepada mereka membantu golongan memerlukan serta menjana sedikit pendapatan.

“Sehingga kini, kita berjaya menyediakan 200 makanan untuk diagihkan manakala sebuah keluarga Afghanistan ditugaskan untuk memasak 100 set makanan

Anda juga boleh membuat sumbangan dengan memesan makanan istimewa disediakan oleh mereka sendiri seperti Karahi Ayam, daging atau kambing.

Semua makanan yang dimasak menggunakan bahan segar. (Gambar Jules Rahman Ong)

Terdapat pelbagai juadah lain yang disediakan oleh pelarian itu seperti Afghan Pilaf Rice, Afghan Potato atau Green Onion Murtabak.

Jika ingin mencuba makanan tradisional Afghanistan bersama keluarga atau rakan, anda boleh memesan pakej disediakan yang dijual pada harga berpatutan.

Menurut Jules, hidangan Karahi Ayam dan Kambing serta Afghan Mantu Dumpling menjadi kegemaran pelanggannya.

Afghan Mantu Dumplings, makanan paling laris di Ali Rahman Afghan Kitchen. (Gambar Jules Rahman Ong)

Bagaimanapun, Jules tidak mahu pelarian terbabit hanya menumpukan kepada tugas di situ semata-mata memandangkan dia juga mempunyai perancangan lain untuk bekerjasama dengan pengasas Sarawak Laksa nanti.

Perancangan itu adalah bagi membuka sebuah kafe hookah yang menghidangkan shawarma dan laksa Sarawak tidak lama lagi.

Buat masa ini, dia berharap inisiatif Ramadan itu dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan dan Jules turut berterima kasih kepada keprihatinan rakyat Malaysia yang menyokongnya.

“Saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyediakan tempat tinggal sementara untuk mereka. Saya cuma berharap mereka dapat memulakan hidup kembali di negara ini dengan lebih selamat dan dilayan seperti rakyat biasa,” katanya.

Jika ingin mencuba makanan Afghanistan, anda boleh hubungi Jules di talian 012 5454961 atau lawat laman Facebook Ali Rahman Afghan Kitchen

Semua pelanggan digalakkan membuat tempahan sehari lebih awal bagi memberi masa secukupnya untuk tukang masak menyediakan makanan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.