
Guru sekolah di Latvia menarik nafas lega apabila tidak lagi perlu mengadakan kelas secara jarak jauh apabila kerajaan membenarkan sesi kelas diadakan secara terbuka.
Kebenaran itu diberikan di beberapa kawasan pentadbiran majlis perbandaran yang mencatatkan bilangan kes jangkitan Covid-19 yang rendah iaitu di bawah 250 kes bagi setiap 100,000 orang.
Ia termasuk pinggir Valmiera di utara Latvia apabila sekumpulan 30 murid berusia 10 dan 11 tahun kelihatan sibuk mengikuti kelas teater mereka.
Selain itu, mereka turut mengikuti gabungan kelas sukan dan matematik apabila kanak-kanak terbabit diminta berlari di sepanjang trek sebelum mempelajari cara melakukan kiraan purata kelajuan masing-masing.
“Kami dapati pembelajaran di luar ini lebih produktif sebenarnya. Saya merancang untuk terus mengadakannya malah ketika pandemik berakhir juga,” kata guru teater, Andriga Lozda.
Manakala seorang lagi guru, Agija Karklina berkata, pengajaran secara jarak jauh amat memenatkan semua pihak termasuk ibu bapa.
“Kelas jarak jauh yang diadakan ketika pandemik ini sebenarnya memenatkan semua orang iaitu guru, murid dan ibu bapa sendiri.
“Saya terpaksa bekerja selama 14 jam sehari sejak September lalu dan kini berasa amat penat,” katanya.
Bagaimanapun, minggu ini, bilangan kes di Valmiera meningkat kepada 278 kes dan mereka mungkin terpaksa meneruskan kelas jarak jauh sehingga berlaku penurunan semula kes.
Hanya separuh daripada kawasan pentadbiran majlis perbandaran di Latvia termasuk Riga, Daugavpils dan beberapa bandar besar lain dibenarkan mengadakan kelas jarak jauh.
“Bermula Rabu depan, anak-anak saya boleh mengikuti sesi kelas di luar buat kali pertamanya pada tahun ini.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan ini kerana terlalu gembira dan tidak sabar menunggu hari berkenaan,” kata seorang pekerja teknologi maklumat (IT), Liega Bome.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]