
Tiada istilah ‘tua’ untuk seorang nenek yang masih cergas menghabiskan 20 jam seminggu di gimnasium dengan melakukan senaman angkat berat hingga berjaya mencipta banyak rekod dunia.
Biarpun usianya sudah mencecah 71 tahun, Mary Duffy berjaya membuktikan segalanya tidak mustahil untuk seorang warga emas seperti dirinya terus kekal sihat seperti orang muda.
Mary mengakui, ramai yang mengejeknya kerana menganggap dia ‘terlalu tua’ untuk aktiviti itu tetapi dia kini pemegang rekod dunia dengan melakukan ‘deadlift’ seberat 113 kilogram (kg), bench press seberat 56kg serta back squat seberat 79 kg.
Dia mula ke gimnasium ketika muda tetapi tidak bersenam secara serius sehingga umurnya mencecah 59 tahun iaitu apabila ibunya meninggal dunia.
Menurutnya, kesedihan atas kehilangan ibunya menjadi salah satu penyebab kepada berat badannya yang meningkat pada 2007.
“Saya melihat cermin dan mula menyedari dengan saiz badan yang terlalu besar. Saya tidak mahu terus dalam keadaan itu dan terus menjadi ahli di sebuah gimnasium,” katanya yang berasal dari Connecticut, Amerika Syarikat.
Katanya, semakin lama bersenam, dia semakin menyukainya dan terus mengamalkan gaya hidup sihat sehingga sekarang.
“Semakin lama bersenam, saya semakin menyukainya. Saya mungkin berusia 71 tahun tetapi ini adalah keadaan saya yang paling sihat, sama seperti ketika berusia 40 tahun.
“Ada juga yang mengatakan saya terlalu tua untuk melakukannya. Saya juga pernah bertanyakan kepada diri sendiri mengapa melakukannya? Namun, komen negatif yang dilemparkan terus hilang apabila ramai yang mengatakan saya menjadi inspirasi mereka.
“Saya bukan wanita biasa yang berusia 70 tahun dan langsung tidak berhasrat untuk berhenti. Ramai yang menasihati, saya tidak sepatutnya mengangkat berat pada usia begini tetapi saya hanya ketawa dan meminta mereka melihat rekod saya,” katanya.
Dia masih aktif menyertai pelbagai pertandingan antara bangsa yang dianjurkan oleh Persatuan Powerlifting Antarabangsa sebanyak dua kali setahun.
Mary kini memegang rekod di lebih 30 negeri serta mencipta banyak rekod dunia dalam kategori usia serta berat disertainya menerusi pertandingan anjuran persatuan itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]