Gadis Pengakap jual biskut guna dron

Gadis Pengakap jual biskut guna dron

Syarikat sekutu Google, Wing bantu Gadis Pengakap tingkatkan jualan biskut ketika pandemik.

Gadis Pengakap kini berpeluang melakukan jualan biskut mereka menggunakan dron. (Gambar AP)

Teknologi masa kini menjadikan segala-galanya begitu mudah termasuk penjualan biskut oleh Gadis Pengakap di Amerika Syarikat yang hanya dihantar menerusi dron saja.

Idea itu dimulakan oleh sebuah syarikat sekutu Google, Wing yang memilih sebuah bandar di Virginia, Christiansburg sebagai kawasan percubaan untuk melakukan penghantaran tersebut.

Jurucakap syarikat terbabit berkata, mereka mengadakan inisiatif itu bagi membantu Gadis Pengakap yang berdepan masalah untuk menjual produk mereka ketika situasi pandemik.

“Saya amat teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Orang ramai mungkin akan sedar bahawa ia lebih baik untuk alam sekitar selain dapat merasai biskut dengan cara lebih murah.

“Penghantarannya sangat lancar dan ia tidak bergoyang. Ia seakan helikopter dan nampak seperti pesawat juga,” kata anggota Gadis Pengakap, Gracie Walker yang berusia 11 tahun.

Ia adalah percubaan terbaru yang dilakukan syarikat itu untuk memperluaskan lagi penggunaan dron secara komersil ketika ia bersaing dengan Amazon, Walmart, UPS serta beberapa syarikat lain.

Mereka bersaing untuk mengatasi pelbagai cabaran teknikal dan garis panduan mengenai perkhidmatan penghantaran yang ditawarkan ke kawasan kediaman.

Pihak berkuasa mula menguatkuasakan peraturan baru pertengahan bulan ini yang membenarkan operator menerbangkan dron kecil sekali gus dilihat dapat meningkatkan penggunaannya secara komersil.

Kebanyakan dron terbabit perlu dipasang kelengkapan secukupnya bagi memudahkan ia dikenal pasti oleh anggota penguatkuasa undang-undang.

Sebelum ini, dron milik Wing seberat 4.5 kilogram yang berjaya melakukan penghantaran kali pertama di bandar itu pada musim luruh 2019 sudah pun menjadi bahan pameran di Muzium Udara dan Angkasa Negara Smithsonian.

Sementara itu, Amazon juga berusaha untuk melakukan penghantaran menggunakan dron sejak beberapa tahun lalu dan Jeff Bezos pernah memberitahu ia akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun namun kini masih sepi.

Syarikat terbabit sudah mendapat kebenaran kerajaan untuk menghantar bungkusan kepada pelanggannya namun mereka dikatakan masih lagi menguji khidmat terbabit.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.