
Kebiasaannya, biji durian hanya dibuang begitu saja namun ia dianggap berharga bagi pengusaha benih durian apabila menjadi sumber utama menghasilkan benih raja buah berkualiti.
Ia akan disemai menjadi Pokok Penanti sebelum dikahwinkan dengan benih durian lain termasuk Musang King, Tembaga dan D24.
Donny Len, 39, dari Kampung Rangalau berkata, biasanya dia mendapatkan biji daripada penjual buah pada harga sekitar RM3 hingga RM4 sekilogram.
“Idea memulakan perniagaan menyemai benih durian timbul apabila melihat harga sebiji durian Musang King di Pulau Pinang mencecah sehingga RM100 sekilogram ketika di sana pada 2013.
“Dari situ saya berfikir memang lumayan pendapatan menjual durian dan saya bersama isteri mengambil keputusan pulang ke Sabah untuk belajar sendiri bagaimana cara menyemai benih durian.
“Saya tidak mengikuti mana-mana kursus tetapi disebabkan minat saya teruskan belajar sendiri selain belajar daripada seorang rakan yang juga berpengalaman menghasilkan durian kahwin,” kata bapa kepada dua anak itu.

Mengenai proses mengahwinkan pokok durian, dia berkata biji durian perlu direndam semalaman sebelum ditanam dalam beg poli yang diisi dengan tanah kuning dan hitam.
Selepas sebulan, biji itu akan tumbuh menjadi pokok penanti setinggi kira-kira setengah meter.
Pokok penanti itulah yang akan dicantumkan dengan mata tunas daripada batang durian Musang King, diambil daripada pokok asal sebelum diikat dengan pita khas dengan kaedah cantuman mata tunas.
Donny yang juga suku kaum Dusun, mendapatkan tunas mata durian Musang King di kebun ibu saudaranya yang terletak berhampiran tempat tinggalnya.
“Proses cantuman perlu dibuat dengan berhati-hati supaya ia mudah bercantum. Semasa proses cantuman dilakukan jangan tutup mata tunas dan kawasan cantuman perlu ditutup rapi supaya tidak dimasuki air ketika menyiram.
“Selepas tamat tempoh 21 hari, pita pada cantuman perlu dibuka bagi membolehkan tunas itu membesar sehingga mengeluarkan hasil dalam tempoh empat hingga lima tahun,” katanya yang membuka tapak semaian ‘Don Nursery’ sejak 2017.
Mengimbau detik awal percubaan menyemai biji durian, katanya ia agak sukar kerana hampir semua pokok cantumannya tidak menjadi namun dia tidak putus asa apabila kini mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.
Permintaan yang semakin meningkat menjadikannya gigih membuka tapak semaian dengan menyewa tiga lot tanah yang berlatarbelakang Gunung Kinabalu.
”Selain cantuman mata tunas, saya turut menggunakan kaedah cantuman baji kerana ia lebih cepat membesar. Dalam sehari saya boleh membuat cantuman antara 200 hingga 300 pokok dibantu tiga orang pekerja yang juga penduduk kampung ini,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menjual benih durian Musang King pada harga antara RM38 hingga RM150 sepokok (mengikut saiz) kepada pelanggan yang lazimnya datang dari sekitar Kota Belud termasuk Tawau.
Katanya, walaupun pandemik, dia masih mendapat permintaan daripada pelanggan namun kebanyakannya tidak dapat merentas daerah.
“Biasanya pelanggan akan datang ke sini dan perkhidmatan pos digunakan untuk pelanggan di daerah lain,” katanya.
Bersyukur kerana pada peringkat awal menceburi bidang itu ia tidak memerlukan modal besar berbanding perniagaan lain, Donny berkata, beliau hanya menggunakan batang buluh dan beberapa gulung jaring untuk menutup tapak semaian yang dianggarkan mempunyai lebih 1,000 pokok.
Untuk penjagaan benih, dia menggunakan sekam padi bagi mengelak tumbuhan lain tumbuh dalam beg poli di samping bertindak sebagai baja kepada pokok durian.
“Biji durian lebih mudah diperolehi ketika musim durian bermula Julai hingga Disember setiap tahun dan kadangkala saya menggunakan sistem barter dengan penjual durian.
Selain benih pokok durian Musang King, Donny turut menyemai benih pokok durian Dalit yang berwarna oren, durian Bunga Merah, pulasan, manggis, avocado dan kelapa pandan.
Mengulas mengenai cabaran yang perlu dihadapi termasuk penyakit hawar daun terutamanya pada musim hujan, serangan serangga seperti belalang dan siput yang merosakkan benih yang sedang membesar.
Antara petua yang dikongsi bagi menyuburkan tanaman pokok durian, Donny berkata kedalaman lubang untuk menanam dianggarkan sedalam 0.30 meter dan menggunakan campuran tiga jenis baja iaitu baja subur, buah dan dolomite yang dimasukkan ke dalam lubang sebelum ditutup.
“Selepas tiga minggu lubang itu dibuka semula untuk ditanam pokok durian kerana bajanya sudah sebati dengan tanah. Setiap tiga bulan sekali perlu ditabur dengan baja subur sebelum menghasilkan buah dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.
“Bagi mengelak buah durian diganggu tupai dan monyet, saya menjarakkan tanaman kira-kira 12 meter antara satu pokok dengan pokok lain supaya dahannya tidak berdekatan apabila ia membesar.
Selain itu, dia juga kini berjinak-jinak dengan dunia penulisan mengenai pertanian dan mengeluarkan majalah di atas talian sejak empat bulan lalu.

Majalah yang memaparkan pelbagai jenis pertanian yang diusahakan golongan belia tempatan khususnya di Sabah itu boleh dilayari di https://penjanahijau.com dengan yuran langganan serendah RM3 sebulah atau RM36 setahun.
“Idea menghasilkan majalah ini adalah untuk memberi semangat kepada golongan belia yang mengusahakan pertanian sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa pertanian juga mampu mengubah hidup menjadi lebih baik.
Majalah dikenali sebagai E-Mag dikeluarkan sebulan sekali itu sudah masuk edisi keempat dengan lebih banyak maklumat mengenai tanaman bunga, ternakan lembu, arnab dan ikan.