Tidak lagi hidup merempat, Uncle Yap dibantu Ebit Lew

Tidak lagi hidup merempat, Uncle Yap dibantu Ebit Lew

Lelaki OKU ditemui hidup di jalanan dalam keadaan tidak terurus sebelum dihantar ke pusat jagaan.

Ebit Lew mendukung Uncle Yap untuk membantunya duduk di kerusi roda. (Gambar Facebook)

Ramadan adalah saat terbaik buat umat Islam untuk mengejar pahala dengan meningkatkan amal dan kebajikan khususnya membantu mereka yang memerlukan.

Selain pertubuhan kebajikan, terdapat ramai individu yang berlumba-lumba mencari keberkatan untuk menghulurkan sumbangan terutama ketika kita diuji dengan pandemik Covid-19.

Ia termasuk Ustaz Ebit Lew yang tetap meneruskan aktiviti kebajikannya tanpa mengenal agama, bangsa dan latar belakang.

Satu kisah yang dikongsi di akaun Facebooknya benar-benar mengundang rasa sebak di kalangan netizen apabila dia membantu seorang Orang Kurang Upaya (OKU) berbangsa Cina bernama Uncle Yap.

Ibarat sentuhan kasih anak kepada bapanya, Ebit Lew menyuapkan makanan kepada Uncle Yap. (Gambar Facebook)

Uncle Yap dikatakan hidup merempat di jalanan seorang diri sejak setahun lalu di Taman Intan Baiduri, Kepong.

Katanya, lelaki terbabit melakukan semua rutin hariannya termasuk mandi, makan dan membuang air besar di kawasan itu.

“Sebak sayu bila jumpa Uncle Yap, seorang OKU yang tidur, mandi, buang air besar, makan di tepi jalan sudah setahun.

“Hujan dan panas cuma di tepi jalan. Ada orang bagi payung di Taman Intan Baiduri Kepong,” tulisnya.

Menurutnya, dia tersentuh dengan keadaan lelaki itu yang hanya tidur di atas kerusi roda dan kadangkala ada insan yang prihatin memberinya makanan serta membantu bangun dan duduk setiap pagi.

“Menangis melihatnya. Dia pula sudah tidak ingat apa-apa dan hanya bercakap ulang benda yang sama,” katanya.

Ebit Lew berkata, dia menghabiskan masa selama empat jam semata-mata untuk memujuk Uncle Yap menerima pertolongannya tetapi lelaki itu enggan kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Uncle Yap kini lebih selamat dan selesa tinggal di Pusat Jagaan Wan Hing Care Centre di Sri Kembangan. (Gambar Facebook)

“Dia tidak mahu susahkan sesiapa. Ada cikgu Cina, Alina tolong pujuk dan beberapa orang datang cuba bantu. Fatin dan Puan Mazlita serta keluarga termasuk penduduk di situ,” katanya.

Bagaimanapun, usahanya akhirnya berjaya apabila Uncle Yap bersetuju untuk dihantar ke Pusat Jagaan Wan Hing Care Centre di Sri Kembangan dan kos bulanan jagaan akan ditanggungnya.

“Saya hantar di Pusat Jagaan Wan Hing Care Centre di Sri Kembangan. Cantik, selesa dan teratur sangat tempat jagaan ini. Saya akan bayar bulanan uncle. Belikan pakaian baru dan kerusi roda baru yang boleh baring dan lebih elok,” tulisnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.