Dari pereka grafik kini pereka barangan kemas

Dari pereka grafik kini pereka barangan kemas

Walaupun sukar meneruskan perancangan perniagaan di London akibat pandemik Covid-19 namun, Sarla Devi Nadarajan tetap bersikap positif.

Pengasas Sarlaz Fashion, Sarla Devi Nadarajan. (Gambar Moganraj Villavan)
PETALING JAYA:
Biarpun mempunyai pengalaman hampir dua dekad sebagai pereka grafik, namun Sarla Devi Nadarajan, 44, tidak pernah puas dengan pencapaiannya dan ingin menerokai cabaran baru.

Niatnya untuk menceburi dunia fesyen turut diluahkan kepada ibu bapa namun mereka agak ragu-ragu dengan impiannya itu.

Bagaimanapun, dia bijak mengambil peluang dan akhirnya mengikuti hasrat hati dengan mencari ilmu fesyen di IFTC International Academy of Fashion & Design.

Sarla menghasilkan sepasang anting-anting. (Gambar Moganraj Villavan)

Pada 2019, Sarla sekali lagi memberanikan diri dengan menubuhkan Sarlaz Fashion dengan menghasilkan barang kemasnya sendiri.

“Saya mula dengan menghasilkan loket tetapi menyedari pelanggan lebih sukakan anting-anting. Jadi saya cuba menghasilkannya sendiri dan ia mendapat sambutan ramai,” kata Sarla.

Selain minat, Sarla juga ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap barangan kraftangan.

“Biasanya, apabila mereka mendengar perkataan ‘kraftangan’, terdapat persepsi ia mungkin tidak begitu sesuai dan saya ingin memastikan produk yang dihasilkan ini juga mempunyai nilai fesyen dan memberi keyakinan diri kepada pelanggan.

“Kadangkala anda mungkin merasakan ia tidak begitu sesuai tetapi pemakaian aksesori yang betul akan menyerlahkan lagi penampilan diri,” katanya.

Anting-anting berwarna ceria dihasilkan Sarla mendapat sambutan hangat daripada pelanggannya. (Gambar Moganraj Villavan)

Dengan kejayaannya itu, dia kemudiannya menghantar portfolio perniagaan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Sarla terpilih sebagai salah satu daripada 10 jenama Malaysia untuk menyertai pertunjukan perdagangan fesyen UK, Pure London tahun lalu.

Pada awalnya dia berasa gentar namun perasaan itu terus hilang sebaik melihat ramai pengunjung mula mengerumuni gerai pamerannya kerana tertarik dengan barangan dihasilkan.

Salah satu kenangan yang paling diingatinya ketika itu apabila Dame Zandra Rhodes, pereka fesyen ikonik British yang mereka pakaian Puteri Diana, turut singgah melihat anting-antingnya.

“Sokongan yang diterima amat memberangsangkan. Malah saya berkolaborasi dengan satu pasangan yang membuka gerai di Covent Garden dan menjual 12 pasang anting-anting,” katanya.

Anting-anting Sarla mempunyai rekaan yang cantik dan menyerlah. (Gambar Moganraj Villavan)

Sebaik pulang dari UK, dia kemudiannya ke Paris pula untuk sesi fotografi dan pulang ke Malaysia pada 2 Mac.

Dia mempunyai perancangan untuk kembali ke UK pada Jun untuk menyiapkan koleksinya di kedai milik pasangan itu di Covent Garden memandangkan mereka menunjukkan minat untuk menjual barangan kemasnya.

Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) pada 18 Mac merencatkan perancangannya itu.

Sarung telefon bimbit adalah idea yang tercetus ketika pandemik. (Gambar Moganraj Villavan)

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, pandemik Covid-19 yang melanda seolah-olah menghancurkan impiannya untuk memperluaskan perniagaan.

“Saya kecewa kerana itu adalah peluang untuk membuktikan kepada ibu bapa yang ragu-ragu dengan kerjaya baru sebagai pereka fesyen ini,” keluhnya.

Bagaimanapun, hatinya terubat seketika dengan kehadiran seekor anjing berusia 11 tahun, Bhairu.

“Kehidupan saya banyak mendekati haiwan peliharaan ini. Daripada terus kecewa, saya meluahkan perasaan itu secara kreatif hingga terhasil sarung telefon bimbit bertemakan haiwan,” katanya.

Sarla bersama haiwan kesayangannya, Bhairu. (Gambar Moganraj Villavan)

“Saya mengambil seekor lagi anjing dan biasanya anjing jalanan akan datang ke rumah mencari makanan.

Melayan haiwan ini sambil memberi makan boleh menggembirakan saya,” katanya.

Sarla berkata, dia bersyukur kerana haiwan itu memberi inspirasi kepadanya untuk terus mengembangkan kreativiti selain tekad untuk meneruskan perniagaannya.

“Keadaan mungkin tidak menjadi seperti diharapkan di London tetapi saya melakukan sesuatu yang baru,” katanya yang bersiap sedia membuka Sarlaz Fashion di Kedai KL.

Berminat untuk mendapatkan barangan kemas dihasilkan oleh Sarla? Anda boleh ke laman Facebook dan Instagram Sarlaz Fashion atau hubungi menerusi WhatsApp di 018 3175185.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.