
Nenek berusia 56 tahun menganggap dirinya masih belum terlewat untuk mencari kehidupan lebih bermakna di luar sana dengan mengembara ke seluruh China sejak enam bulan lalu.
Walaupun berjauhan dengan keluarga, apa yang penting keputusan itu dapat menggembirakan hati Su Min yang sekian lama menjadi mangsa dera suami hingga mengalami masalah kemurungan.
“Saya sudah menjadi isteri, ibu dan nenek. Kali ini saya keluar demi mencari diri saya yang sebenar,” katanya.
Dengan wang simpanannya dan pencen bulanan, dia membeli sebuah kereta kecil berharga AS$300 (RM1,240) untuk mengembara.
Mengembara secara solo langsung tidak menggentarkan Su Min, malah dia kini menjadi dirinya yang baru apabila video penggembaran yang dimuat naik di Douyin ditonton lebih 1.35 juta pengikut.
“Mengapa saya ingin mengembara? Kerana hidup di rumah terlalu mengecewakan,” kata Su Min.
Netizen bukan hanya mengikutinya kerana ingin melihat pemandangan cantik sepanjang penggembaraan itu tetapi tersentuh dengan liku perjalanan hidup wanita itu yang mengalami masalah perkahwinan.
Bekas pekerja kilang itu secara tidak sengaja kini digelar sebagai ikon feminis yang jarang ditemui di China.
Wanita yang lebih berusia daripadanya turut berkongsi pengalaman yang hampir sama dan kadangkala menyambutnya di destinasi tertentu dengan buah tangan dan makanan.
Manakala bagi pengikut wanita muda, dia menjadi rujukan mereka untuk mendapatkan nasihat mengenai anak serta perkahwinan.
“Saya berharap ibu saya dapat menjadi seperti Makcik Su dan mencari kebebasan hidup berbanding terperangkap dalam kehidupan sekarang,” tulis seorang netizen pada videonya.
Su berkata, selepas berkongsi video itu dia mula menyedari sebenarnya terdapat ramai yang melalui situasi perit sepertinya.
“Sebelum ini saya menyangkakan hanya diri saya saja yang tidak gembira. Tidak sangka pula ramai di luar sana seperti saya,” katanya yang turut membawa sebuah khemah kecil dipasang di atas kenderaanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]