Wendy Grey dan kehidupan sebagai bidan di Borneo pada 1960an

Wendy Grey dan kehidupan sebagai bidan di Borneo pada 1960an

Jururawat berusia 91 tahun itu mengimbau pengalaman bertugas di kawasan hutan terpencil di Kuching, Tongud dan Sandakan ketika tahun terakhir zaman colonial.

Wendy (tengah), Arnold (bertopi) dan murid sekolah di Tongud yang mengikuti misi Malaikat. (Gambar Wendy)

Segalanya bermula pada 1959 apabila seorang jururawat muda bersiap sedia untuk berlepas dari Pelabuhan Tilbury, London ke sebuah tempat dikenali sebagai Kuching, di pantai barat Borneo.

Perjalanan itu katanya mengambil masa kira-kira sebulan.

Wendy Grey adalah anak seorang paderi Anglican yang dilahirkan di bandar Newcastle upon Tyne, timur laut England dan membesar di Amble.

Dia mencintai buku dan gemar membaca selain berangan untuk mengembara ke negara lain serta berharap mimpi itu menjadi kenyataan.

Akhirnya impian jururawat daerah terlatih itu benar-benar tercapai.

“Ketika berusia lewat 20an, saya menghadiri satu ceramah yang mengatakan ada beberapa tempat di dunia tidak mempunyai doktor atau jururawat.

“Saya juga membawa salinan ‘Borneo Chronicle’ mengenai satu misi baru yang pertama di Borneo Utara. Mereka amat memerlukan doktor atau jururawat untuk membuka klinik di sana,” kata Wendy kepada FMT.

Dia akhirnya tiba di Kuching dan pengalaman pertama yang masih diingatinya ialah cuaca panas dan lembap di sana.

Jururawat Grey melakukan pembedahan. (Gambar Wendy)

“Saya menghabiskan masa beberapa minggu sekitar Kuching dan mempelajari selok belok tugasan daripada dua jururawat warga Britain yang menjadi sukarelawan seperti saya.

“Saya mendapat pengalaman pertama ketika menemani salah seorang jururawat tersebut, Gwynnedd untuk melihat seorang lelaki yang patah kaki,” kata Wendy.

Katanya, mereka berjalan kaki selama beberapa jam, memanjat dan menuruni gunung, mengharungi air sungai dan menyeberangi jambatan kecil dalam keadaan panas dan hujan sebelum berjaya tiba ke rumah panjang yang didiami pesakit tersebut.

Bagaimana pun, Wendy hanya dibenarkan untuk melihat pesakit pada keesokan harinya sebaik bomoh kampung selesai merawat.

Penduduk begitu ramah dan mengalu-alukan kehadirannya namun bimbang dengan ancaman roh jahat dan cuba menghalaunya dengan pelbagai amalan ritual.

“Kami tidak berniat untuk cuba mengubah budaya mereka kecuali hal kebersihan. Penyakit malaria sedang merebak begitu juga tuberculosis, kekurangan nutrisi dan jangkitan kulit,” katanya.

Selain itu, Wendy juga bertanggung jawab menyambut kelahiran bayi, mencabut gigi dan melakukan pembedahan.

Dia pernah melakukan jahitan luka seorang lelaki yang dibaham beruang ketika memanjat pokok untuk mengambil madu.

Biarpun mempunyai latar belakang yang berbeza, Wendy berkata mereka mendapat kepercayaan penduduk selain menekankan sikap saling menghormati.

Bangunan misi di Tongud. (Gambar Wendy)

Wendy kemudiannya mengharungi Sungai Kinabatangan untuk ke misi Anglican di Tongud dan tinggal selama dua tahun setengah di situ.

“Tempatnya sungguh cantik sekali dan hari ini anda boleh ke Tongud dengan jalan darat. Ketika saya di sana, ia hanya boleh diakses melalui bot.

“Masa itu baru saya terfikir begitu terasingnya hidup di sana. Perjalanan sejauh 560 kilometer mengambil masa lima hari dan kami langsung tidak nampak kawasan penduduk sebaliknya cuma kem balak,” katanya.

Wendy hanya berhubung dengan dunia luar menggunakan teleradio sebanyak dua kali seminggu atau surat yang kadangkala tiba ketika seseorang bergerak ke arah hulu.

“Namun, kadang-kadang ia tidak sampai. Ada sekali, sebuah sampan menghantar surat dan hadiah Krismas namun semuanya tenggelam,” katanya.

Wendy berhubung menerusi teleradio ke Sandakan. (Gambar Wendy)

Dulu, sebuah pondok dalam hutan yang sudah dibersihkan, menjadi tempat berteduh wanita terbabit dan ia turut dikongsi bersama seorang guru warga Australia, Joan yang melakukan perjalanan bersamanya.

“Kami hidup di Tongud tanpa bekalan elektrik dan air sebaliknya hanya menggunakan lampu minyak tanah dan dapur kecil.

“Air pula diambil daripada bumbung menerusi saluran diperbuat daripada buluh. Kami memasak dan menapisnya. Kami hanya mandi di sungai,” kata Wendy.

Biarpun keadaan pondok mereka agak tinggi namun mereka tetap menerima ‘tetamu’ tidak diundang seperti kala jengking dan ular.

Wendy dan pembantunya yang melakukan ekspedisi biasa menyediakan bantuan perubahan di kawasan yang sukar diakses. (Gambar Wendy)

Walaupun begitu, bukan semua pengalaman dilalui Wendy menyukarkannya kerana dia juga sering ke Sandakan dan tinggal di rumah asrama di Sekolah St Monica.

“Saya menjadi peramah dengan semua guru di sana dan sesetengah mereka adalah rahib. Saya menikmati saat itu yang tidak ada di Tongud,” katanya yang gemar bermain tenis, berkelah di tepi pantai, menikmati kopi bersama rakan, membeli-belah serta menonton wayang.

Ketika waktu senggang, Wendy banyak menghabiskan masa di waktu petang bermain Scrabble dengan beberapa rahib sekolah itu selain berkawan dengan lelaki tempatan bernama Samuel yang akhirnya menjadi pembantu klinik.

“Biasanya saya memperuntukkan masa seminggu pada setiap bulan untuk ke kawasan pedalaman untuk membuka klinik. Saya ke sana sama ada menaiki sampan atau berjalan kaki dan perjalanannya agak sukar serta bahaya,” katanya.

Salah satu pengalaman cemas yang masih diingatinya ialah ketika sampan penuh dinaiki bersama pesakit tiba-tiba terbalik.

“Keadaan agak cemas ketika itu dan kami perlu membuat keputusan sama ada untuk terus berada di situ dan hanyut atau cuba memanggil bot yang mungkin lalu di kawasan berkenaan,” katanya.

Dari kiri: Pekerja misi Joan dan abangnya, John, Arnold, Julius dan Wendy. (Gambar Wendy)

Tahun terakhir Wendy di Borneo ialah pada 1962 iaitu tahun sebelum ia bukan lagi di bawah naungan British.

“Saya teringin untuk terus tinggal di sini. Saya sukakan sikap penduduknya dan bertugas di sini.

“Namun, saya dapati iklim di sini melemahkan badan dan hampir sakit akibat terkena pelbagai jangkitan. Saya menangis ketika meninggalkan tempat ini dan Samuel merayu saya kembali,” katanya.

Kini, Wendy berusia 91 tahun yang masih berhubung dengan beberapa rakan misi dan kenalan dari Sandakan walaupun ramai di antaranya sudah meninggal dunia.

Barbara Fox, (tengah), dan Wendy, yang memegang buku “Midwife of Borneo” ketika majlis menandatanganinya. (Gambar Wendy)

Namun, segala kenangan yang dilalui ketika berada di Borneo masih segar dalam ingatannya.

Semua itu dimuatkan dalam sebuah buku yang ditulis bersama Barbara Fox sebelum diterbitkan pada 2018.

Dia pernah kembali ke Sabah sebanyak dua kali iaitu pada 1985 dan 2003.

Menurutnya, banyak yang sudah berubah namun, apa yang masih kekal ialah kepelbagaian serta kehidupan masyarakat yang aman dan harmoni.

“Midwife of Borneo” diterbitkan oleh Persatuan Mempromosikan Pengetahuan Kristian (SPCK) dan boleh juga didapati menerusi ebook.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.