
Seorang petani di China yang menjadi popular secara tidak sengaja kerana menjual mi ramen murah kini terkenal sekelip mata.
Petani terbabit, Cheng Yunfu, 39, yang digelar Ramen Brother oleh peminat di internet, terkejut apabila sebuah video dia menjual makanan itu dengan harga tiga yuan (RM1.90) semangkuk, menjadi tular di media sosial, lapor Yahoo News.
Dia pada mulanya rimas dengan gangguan orang ramai yang ingin mendekatinya di kampung mula gembira dan berharap ia boleh mengubah kehidupannya serta penduduk kampung.
Cheng berkata, dia tidak pernah menaikkan harga mi yang dibuat sendiri dan dijual di daerah Feixian, wilayah Shandong itu sejak 15 tahun lalu.
Katanya, jika harga dinaikkan, penduduk tidak mampu membelinya walaupun ada alternatif lain dengan mengurangkan kuantiti mi tetapi ia menyebabkan mereka berasa lapar.
“Apabila mereka semua kaya, baru saya akan menaikkan harga,” katanya dalam klip video yang ditonton 200 juta kali itu.
Ketika orang ramai tersentuh dengan sikap baik hatinya, tempat tinggal lelaki itu, kampung Matihe terus dikerumuni beratus blogger video atau vlogger yang ingin mencari bahan video menarik demi keuntungan sendiri.
Kehadiran ramai orang luar itu menyebabkan keadaan kampung menjadi sesak apabila mereka dikatakan sanggup menceroboh kehidupan peribadi termasuk memanjat pagar untuk merakam aksi Cheng.
Kemasyhuran itu memberi masalah kepada Cheng yang sukar memberi fokus menghasilkan mi, malah terpaksa bersembunyi di rumah saudara mara.
“Saya tidak mahu menjadi popular. Situasi sekarang mendatangkan banyak masalah. Saya cuma petani biasa yang membuat dan menjual mi ramen. Itu saja mengenai saya,” katanya.
Di sebalik kegilaan itu, ramai peminatnya yang sanggup memandu jauh ke pasar untuk merasai keenakan mi ramen disediakannya walaupun terpaksa beratur panjang selama sejam.
Cheng memberitahu sebuah portal berita, pelanggan setianya kini takut dengan kehadiran orang ramai secara tiba-tiba yang menyerbu dan bertanyakan banyak soalan kepadanya.
“Saya agak tertekan kerana semua pengguna internet memberi fokus kepada saya. Ia memberi kesan terhadap kehidupan saya dan berharap ia akan berakhir,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]