6 puteri cerita rakyat yang menjadi lagenda kita

6 puteri cerita rakyat yang menjadi lagenda kita

Daripada Puteri Gunung Ledang hingga Puteri Walinong Sari, Malaysia mempunyai kisah puteri legenda yang menjadi sebutan kerana kecantikan dan keberanian mereka.

Puteri Gunung Ledang diolah menjadi filem pada 2004. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Ketika zaman kanak-kanak kita banyak didedahkan dengan watak puteri Disney, epal beracun dan kisah pari-pari.

Tetapi, di Malaysia sendiri kaya dengan cerita rakyat mengenai puteri, boleh dibaca dari buku malah ada yang sudah difilemkan.

Berikut adalah enam puteri lagenda Malaysia yang sama cantik dengan watak Disney seperti Belle, Elsa dan Mulan.

1. Puteri Gunung Ledang

Pelakon M. Nasir dan Tiara Jacquelina. (Gambar Netflix)

Setiap orang yang membesar di Malaysia pasti pernah mendengar dan membaca kisah Puteri Gunung Ledang dan tujuh permintaan yang tidak masuk akalnya untuk menerima pinangan dari Sultan Melaka.

Satu jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka, satu jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati hama, tujuh tempayan air mata anak dara, tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Sultan Ahmad Shah, anak Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak.

Malah, kisah ini sangat popular hingga dijadikan filem pada 2004 yang dibintangi M. Nasir dan Tiara Jacquelina.

Dengan kos produksi sebanyak US$4 juta (RM16.1 juta), Puteri Gunung Ledang adalah filem bajet besar pertama pernah dihasilkan di Malaysia.

2. Puteri Hang Li Po

Perigi Hang Li Po di Melaka (Gambar Wikipedia)

Sehingga kini, Puteri Hang Li Po adalah figura terkenal di Melaka yang turut disebut dalam buku sejarah sebagai anak perempuan kepada maharaja Dinasti Ming.

Beliau dihantar untuk berkahwin dengan sultan Melaka, Sultan Mansur Shah bagi tujuan diplomatik.

Atas arahan Sultan Mansur Shah, sebuah perigi dibina di kaki bukit Bukit China untuk Hang Li Po sebagai hadiah.

Jika anda melawat Melaka hari ini, anda berpeluang melihat perigi tersebut namun, kini ia tidak lagi digunakan sebagai sumber air tetapi menjadi perigi meminta hajat.

Ada yang mengatakan sekiranya anda minum air dari perigi Hang Li Po itu atau melempar wang syiling ke dalamnya, anda akan kembali ke Melaka.

3. Puteri Zaleha

Puteri Zaleha atau dikenali sebagai Puteri Lindungan Bulan berasal dari Kedah yang mempunyai kisah tragik.

Anak perempuan Sultan Sulaiman Shah yang terkenal dengan kecantikan berbanding kekanda, Puteri Mariam ini dikatakan mempunyai darah berwarna putih.

Putera dari Acheh tertarik dengan dua beradik itu tetapi memilih Zaleha kerana darahnya berwarna putih. Sultan bagaimanapun memperdayakan putera tersebut dan mengahwinkannya dengan Mariam.

Muslihat itu diketahui apabila Mariam secara tidak sengaja terluka akibat kacip pinang dan mengeluarkan darah merah. Putera menjadi sangat marah dan mengisytiharkan perang dengan Kedah.

Sultan kemudian menyembunyikan Zaleha di bilik bawah tanah yang gelap. Dikatakan sultan kalah dalam peperangan tersebut dan Zaleha tidak pernah ditemui serta dikhuatiri mati dalam bilik tersebut.

Kerana itulah, dia dikenali sebagai Puteri Lindungan Bulan kerana bulan juga tidak dapat menemui tempat persembunyiannya.

4. Puteri Walinong Sari

Tahukah anda Pahang mempunyai versi Mulannya sendiri?

Puteri Walinong Sari bukan saja terkenal dengan kecantikannnya tetapi paling penting kemahiran bermain pedang dan seni silat.

Berita mengenai kecantikannya sampai kepada Raja Cakerawala, Raja Mambang Segara yang menyamar sebagai lelaki hodoh untuk bertemunya. Dia begitu kagum dengan kecantikan Walinong biarpun wajahnya ditutup hanya menampakkan matanya saja.

Baginda mencabar puteri dalam perlawanan silat dan diterima oleh Walinong. Maka, terjadilah perlawanan silat yang berlarutan selama tiga hari tiga malam kerana kedua-duanya mempunyai kemahiran yang tinggi.

Pada hari terakhir, tudung Walinong tertanggal lalu memperlihatkan wajah sebenarnya. Dalam keadaan penat dan kagum dengan kecantikan sang puteri, Raja Mambang pengsan. Ketika dibantu, penyamarannya juga terbongkar dan identiti sebenar diketahui sebelum puteri jatuh cinta.

Tetapi ketika ayah raja cakerawala, Raja Laksamana Petir, melihat peristiwa yang berlaku dari puncak Gunung Tahan, dia menjadi sangat marah, kerana tidak ada yang boleh pengsan atau kalah dalam pertarungan sebelum membaling petir.

Pada malam itu, Puteri Walinong bermimpi, di mana seorang lelaki bijak mengatakan kepadanya bahawa Raja Mambang Segara adalah Raja Langit Gunung Tahan.

Kisah lagenda turut mengatakan puteri telah ke Gunung Tahan untuk mencari Raja Mambang.

5. Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang

Gunung Santubong. (Gambar Matthew Anderson Lockhart)

Kisah lagenda dua puteri, Santubong dan Sejinjang yang dihantar dari kerajaan cakerawala untuk membawa keamanan di dua kampung yang bertelagah di bumi.

Sebelum tiba ke bumi, mereka perlu patuh kepada satu syarat iaitu tidak boleh bertengkar.

Bagaimanapun, konflik muncul apabila mereka jatuh cinta kepada Putera Serapi yang tampan. Murka dengan kejadian tersebut, dewa menukar mereka menjadi gunung.

Sesetengah pendapat mengatakan Gunung Santubong kelihatan seperti wanita berbaring di atas tanah manakala ada pula mengatakan Gunung Sejinjang dikeliling tiga pulau kerana kepala puteri telah dipukul dengan ganas menggunakan tiang.

6. Naga Bari

Di kalangan masyarakat setempat khususnya komuniti Iban, Bukit Aup yang terletak di Sibu dianggap suci kerana terdapat tempat tinggal roh pemurah dikenali sebagai Naga Bari.

Lagenda mengatakan Naga Bari ialah puteri Iban yang cantik dan dia sering membantu terutama pasangan yang tidak mempunyai anak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.