
Selain itu, terdapat lambakan rangkaian produk yang cuba ditawarkan kepada pengguna termasuk produk pengelupasan, pati, serum, perangsang kulit, retinol serta pelbagai lagi.
Tahukah anda penjagaan kulit dari Korea menggunakan sekurang-kurangnya 11 hingga 40 produk dalam satu rutin? Begitulah modennya industri kecantikan dan penjagaan kulit ketika ini.
Namun, satu ketika dulu, wanita Malaysia hanya menggunakan satu produk tradisional mampu milik iaitu bahan berwarna putih yang disapu pada muka sebelum tidur sebagai cara untuk mendapatkan kulit halus.
Ia diperbuat daripada beras yang direndam lama.
Tidak ramai generasi muda masa kini yang menyedari kewujudan bedak sejuk kerana ia lazimnya digunakan oleh ‘orang lama’ sebagai rutin penjagaan kulit pada waktu malam.

Lain ceritanya di Balik Pulau apabila dua beradik, Yeoh Seong Huat, 44 dan Yeoh Seong Chin, 42, berharap mereka dapat meneruskan perusahaan bedak sejuk buatan tangan secara turun temurun.
“Perniagaan Bedak Sejuk Lean Seng sebenarnya dimulakan oleh mendiang ayah, Yeoh Keng Beng pada 1975,” kata Seong Chin menceritakan kisah zaman kanak-kanaknya yang sering membantu bapa di kilang.
“Dia melakukan banyak kerja sebelum itu malah pernah menjadi nelayan dan membuat belacan dan akhirnya memulakan perniagaan bedak sejuk,” katanya.
Menurutnya, jika dulu ramai yang menghasilkan sendiri bedak sejuk mereka namun, kini ia semakin dilupakan memandangkan proses membuatnya agak rumit dan panjang.
Bagaimanapun, Seong Chin dan abangnya percaya mereka adalah pembuat bedak sejuk terakhir yang masih gigih menghasilkannya dengan tangan berbanding mesin.
Bedak sejuk sebenarnya bahan paling mudah iaitu beras yang dicuci sebanyak lima hingga enam kali sebelum direndam dalam air selama sebulan supaya ia benar-benar hancur melalui proses penapaian.

“Jika dibandingkan semua bedak sejuk di pasaran, anda dapat membezakan keluaran kami mempunyai bau yang berbeza.
“Bau ini datang daripada proses penapaian untuk mengeluarkan yis. Yis ini penting untuk membaiki dan menyejukkan kulit seseorang,” kata Seong Chin.
Selepas sebulan direndam, beras terbabit dicuci semula beberapa kali untuk mengurangkan bau sulfur yang biasanya terhasil akibat proses penapaian sebelum ia dikisar menjadi likat.
Ia kemudiannya ditapis dan dijemur sehingga kering.

Bahan yang sudah dikeringkan itu akan dicampur dengan air sebelum dituang ke dalam acuan buatan tangan dan akhirnya dikeluarkan dalam bentuk kecil yang unik.
Ia kemudian dijemur hingga kering sekitar satu atau dua jam dan disimpan semalaman.
“Keesokan harinya pula, kami jemur lagi sekitar empat hingga lima jam,” jelas Seong Chin yang memberitahu proses ini paling penting kerana jika tidak ketulan kecil bedak sejuk itu mengandungi air.
Jika ia berlaku, bedak sejuk berkenaan akan berair dan tidak boleh digunakan oleh pelanggan.

Memandangkan prosesnya agak panjang, ia mungkin faktor mengapa ramai yang tidak sanggup untuk menghasilkannya dengan tangan apabila ia memakan masa kira-kira enam minggu selepas sebulan direndam dan dijemur.
Perniagaan dua beradik itu bagaimanapun turut terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu apabila Seong Chin tidak menerima sebarang tempahan akibat penutupan semua kedai.

Tidak lama selepas itu, mereka mula menerima kembali tempahan bedak sejuk pada Jun namun berdepan masalah bekalan agak terhad untuk memenuhi permintaan.
“Pemilik kedai menempah 100 hingga 200 kilogram bedak sejuk namun kami hanya mampu menghasilkan sekitar 10 hingga 20 kilogram saja,” kata Seong Chin yang memberitahu cuaca hujan menjejaskan proses menjemur bedak sejuk.
“Ironinya, sepanjang PKP cuaca agak panas tetapi kami tidak menambah bekalan kerana risau perniagaan ini tidak dapat bertahan,” katanya.

Namun, Seong Chin masih bersyukur biarpun PKP kedua dilaksanakan, mereka masih menerima tempahan kerana kedai dibenarkan beroperasi tetapi tidak pasti sama ada perniagaan itu masih boleh bertahan atau sebaliknya.
“Buat masa ini, kami merasakan bedak sejuk masih mempunyai permintaan tetapi tidak tahulah apa yang akan berlaku dalam tempoh sedekad atau dua dekad lagi. Kami akan terus menghasilkan hingga tiada siapa lagi yang mahu membelinya,” katanya.
Bedak sejuk yang dianggap sebagai bahan perawatan kecantikan sejak turun temurun diharap terus menjadi pilihan penjagaan kulit masa kini supaya ia tidak terus dilupakan oleh generasi baru.
Perniagaan Bedak Sejuk Lean Seng
160 Mukim D
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]