Ambillah apa yang perlu, cuma jangan tidur dalam kelaparan

Ambillah apa yang perlu, cuma jangan tidur dalam kelaparan

Inisiatif itu tercetus selepas memikirkan banyak premis perniagaan berhampiran disewakan kepada mereka yang bekerja gaji harian, dan ada yang diberhentikan kerja.

Ahmad Dainey menyusun barang makanan untuk memudahkan golongan yang memerlukan mengambilnya secara percuma. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Melihat ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19 menyebabkan pengusaha sebuah kafe ‘hipster’ di sini, terpanggil untuk menyediakan barangan keperluan bagi memastikan tiada yang tidur dalam kelaparan.

Ahmad Dainey Zainuddin, 37, berkata, dia memperuntukkan sedikit ruang di hadapan kafe yang terletak di Jalan Besar di sini, untuk meletakkan barangan tersebut supaya mudah diambil oleh mereka yang memerlukan.

Inisiatif itu, menurut Ahmad Dainey bermula sebaik sahaja Pahang kembali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 22 Jan, dan dia bersama rakan niaganya Md Syukri Maskur, 38, tidak menyangka inisiatif itu menerima sambutan sangat baik.

“Kami bermula dengan modal permulaan sebanyak RM200 untuk membeli barangan keperluan asas dan barangan penjagaan diri, yang difikirkan agak membebankan kepada mereka yang tersekat punca pendapatan.

“Sejak dimulakan, saya lihat barangan seperti beras, tepung, minyak masak, makanan kering, lampin pakai buang dan tuala wanita, antara yang barangan yang paling banyak diambil,” katanya.

Ahmad Dainey menambah, inisiatif itu tercetus selepas memikirkan terdapat banyak premis perniagaan berhampiran disewakan kepada mereka yang bekerja gaji harian, dengan ada sebilangan mereka mengadu diberhentikan kerja dalam situasi sekarang.

Bapa kepada sepasang cahaya mata berusia 11 dan lapan tahun itu mengakui ada masanya, mereka ‘berjumpa’ penerima berulang, namun dia mengingatkan kakitangan di kafe tersebut untuk tidak menyoal individu tersebut.

“Saya sering berpesan supaya memudahkan urusan mereka yang datang. Jika mereka tidak terdesak, sudah tentu mereka tidak ke sini. Malah ada yang menunggang motosikal sejauh lebih 10 kilometer bersama anak kecil, dalam cuaca hujan.

“Ada juga yang kelihatan malu-malu untuk masuk, namun kami cuba membuat keadaan seselesa yang mungkin. Tiada jumlah barangan yang ditetapkan, sebaliknya ambil sahaja sebanyak mana yang diperlukan, kerana kita tidak tahu apa yang dilalui mereka,” katanya.

Memandangkan konsep kafe yang dijalankan lebih dekat dengan golongan muda, Ahmad Dainey bersyukur kerana inisiatif itu menarik minat golongan terbabit untuk menderma, sama ada menerusi pemberian barangan atau wang ringgit, selepas melihat ‘sudut sumbangan’ tersebut.

Ahmad Dainey berkata mereka memastikan barangan makanan seperti roti dan biskut dibeli dalam jumlah yang kecil namun kerap, supaya makanan itu bertahan lama di rumah penerima.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.