
Kini, tiada siapa yang berani ‘mengusik’ atlit bina badan wanita yang berjaya ini. Dia juga bekas atlit paralimpik di mana kisah inspirasinya semakin tular di China.
Gui, yang menyertai acara lompat jauh di Sukan Paralimpik Athena 2004, masih agak baru dalam sukan bina badan namun, mampu bergelar juara pertama kali menyertai pertandingan itu pada Okt.
Gambarnya ketika berjalan di atas pentas dengan kasut tumit tinggi dan bikini sambil memegang tongkat, tular di media China sekali gus mencetus gelombang pengikut di media sosial.
Berbekal tekad dan sikap positifnya, Gui kini menjadi cetusan inspirasi di negara di mana orang kelainan upaya (OKU) sering kali terpinggir.
“Ada kemungkinan saya memenangi tempat pertama bukan kerana profesionalisma atau otot saya, tetapi kerana keyakinan dan keberanian saya untuk berdiri di atas pentas dan menunjukkan diri saya yang sebenar,” kata Gui.
Gui berkongsi pengalaman itu usai menjalani latihan intensif di sebuah gimnasium di Shanghai, sesi yang sering dikongsi bersama lebih 200,000 pengikutnya di TikTok.
‘Kucing berkaki tiga’
Gui sebenarnya hampir lupa kejadian sebenar ketika dia dilanggar sebuah trak ketika pulang dari sekolah.
Namun, kenangan setiap kali tongkatnya ditendang dan kerusinya ditarik pelajar lain di sekolah masih segar dalam ingatan.
“Mereka memanggil saya kucing cacat atau ‘berkaki tiga’,” kata Gui, yang tidak dapat menahan deraian air mata, walaupun sudah hampir tiga dekad ia berlalu.
“Kali pertama mereka buat saya terjatuh saya menangis, tetapi lama kelamaan saya terbiasa dan berfikir: anda boleh menggertak saya sesuka anda, tetapi saya tidak akan goyah kerana saya seorang yang tabah,” tegasnya.
Gui, yang berasal dari kota selatan Nanning, dibesarkan oleh ibu selepas ayahnya meninggal dunia sebelum dia dilahirkan.
Biar diduga kegagalan demi kegagalan, semangat kesukanan Gui terus membara setara dengan tekadnya yang tidak pernah padam.
Pada 2001 dia terlibat dalam sukan paralimpik, kemudian mewakili China pada 2004, dengan mendapat tempat ketujuh dalam kategori lompat jauh.
Dia turut menyertai acara lompat tinggi dan kemudian memanah, selain mengambil bahagian dalam larian obor sempena acara Sukan Musim Panas dan Paralimpik Beijing 2008.
‘Bersyukur atas kesusahan’
Setelah mengundurkan diri dari arena sukan pada 2017, Gui berdepan lebih banyak diskriminasi ketika cuma memasuki alam pekerjaan apabila sering ditolak oleh majikan dengan alasan dirinya tidak sesuai dengan “imej” yang dibawa syarikat.
“(Mereka) berkata saya akan merosakkan imej syarikat mereka.
“Saya mencuba nasib dihampir di 20 syarikat dan semuanya mengatakan perkara yang sama,” katanya.
Malah, ketika ramai netizen memuji kemunculan sulung Gui di arena sukan bina badan, terutama ketika dia tampil menawan dengan gaun tradisional qipao dan mengalahkan saingan yang lain, masih ada suara-suara yang tidak bersetuju dan menyuruh Gui tinggal di rumah sahaja.
“Ramai orang berpendapat bahawa saya seorang yang malang, tetapi saya tidak fikir begitu,” kata Gui yang kini menjadi rakan kongsi di sebuah syarikat yang khusus dalam perniagaan hiasan dalaman.
“Saya bersyukur kerana diduga dengan kecacatan ini.
“Mengapa saya kata begitu? Kerana kekurangan ini benar-benar mengajar saya menjadi seorang manusia yang mengenal ketabahan selain berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan insan normal lain,” ujar Gui.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]