
Semakin didekati, kelihatan susuk kecil seorang wanita yang seolah berkubu disebalik longgokan susunan kuih muih beraneka warna.

Bekas talam kuning berisi kuih angku, kuih huat yang dikukus lembut, bingka ubi kuning keemasan dan rempah udang yang dibungkus kemas dalam daun pisang antara hidangan enak yang tersedia buat pelanggan setianya.
Sambil mengukir senyuman, dia memperkenalkan dirinya kepada FMT sebagai Ooi Lean Leng, generasi keempat pembuat roti dan juga pemilik Tasty Kuih Nyonya, kedai kuih yang menjadi tumpuan warga Klang sejak 41 tahun lalu.
Di kiri dan kanan Ooi, kelihatan deretan kuih muih di dalam bekas talam berisi pelbagai jenis kuih Nyonya, hanya menanti masa untuk dipotong dan dihidangkan kepada pelanggan.

Sedikit tersorok dibelakang, kelihatan seakan sebuah kilang kecil membuat kuih sedang giat menyediakan daun pisang, doh angku dan setong minyak panas untuk menggoreng popiah.
Ooi kemudian mengeluarkan kek span yang baru saja siap dibakar.
“Pernah tak makan Ma Lai Gao (sejenis kek span kukus China)? Anda perlu cuba sepotong, ia sangat enak,” kata wanita berusia 49 tahun itu penuh bangga.

Ia sangat lembut dan tidak terlalu manis, sesuai dimakan bersama secawan kopi panas. “Kami membuatnya setiap hari,” katanya.
“Seluruh keluarga saya sebelum ini tinggal di Pulau Pinang. Keluarga saya memang sejak dulu lagi sudah mahir membuat kuih Nyonya ini. Moyang sayalah yang mula membuat dan menjual kuih muih ini,” cerita Ooi lagi.
Ketika kecil, dia lebih berminat memerhatikan ibu bapanya membuat kuih. Dari situ Ooi menyedari bahawa dia cukup meminati perniagaan kuih muih beraneka warna itu.

“Pada 1979 bapa saya mengambil keputusan untuk memindahkan perniagaan kuih kami ke Klang, ia kerana harga jualan kuih Nyonya di Pulau Pinang ketika itu agak rendah,” ujarnya.
Malangnya, bapa Ooi mengalami serangan jantung menyebabkan dia merasa bertanggungjawab untuk meneruskan perniagaan kuih Nyonya yang diminatinya itu selepas bapanya bersara.
“Suami saya akan datang pada jam 7 pagi untuk membuka kedai dan pekerja saya juga akan masuk untuk menyediakan semua bahan. Saya pula akan datang pada jam 9 pagi untuk menyiapkan bahan kuih muih.

Pelanggan yang melangkah masuk pasti akan menyapa Ooi dengan mesra seolah kenal lama sebelum memilih tempat untuk duduk. Jelas sekali kebanyakan pelanggan Ooi adalah pelanggan tetap yang datang hampir setiap hari semata-mata untuk menikmati hidangan penuh nostalgia.
Antara pelanggan setia kami adalah Dr Parmindar Singh, 58 yang cukup menggemari keenakan kuih Nyonya buatan Ooi.
“Saya cukup menggemari kuih di sini kerana selain dibuat segar ia turut menggunakan daun pandan yang asli dan harum baunya,” katanya tersenyum sambil memesan kuih biasa kegemarannya.
Kuih angku yang berwarna merah dan terkenal enak rasanya antara hidangan istimewa paling laris di sini, jelas Ooi, tidak hairanlah baru sebentar saja dihidang, ia pantas disambar pelanggan yang singgah.

“Semua kuih muih yang anda lihat di sini dibuat menggunakan resipi keluarga,” kata Ooi sambil tersenyum.
Di dapur, kelihatan seorang pekerja sibuk menggoreng popiah. Ooi kemudian mengeluarkan sebalang besar sos cili, pelengkap untuk dimakan bersama kuih popiah.
“Ya, sos cili pun kami buat sendiri,” katanya.

Walaupun sibuk melayan pelanggan yang tidak putus-putus datang ke kedainya, Ooi ternyata cekap dan pantas dalam memenuhi permintaan setiap pelanggannya.
“Sebelum pandemik menular, saya mempunyai lima pekerja untuk membantu, malangnya kini kami terpaksa mengurangkan kepada tiga saja.
“Kerana itu juga saya terpaksa mengurangkan jenis kuih yang dijual di sini. Sebelum ini kami menjual 24 jenis kuih Nyonya tetapi terpaksa dikurangkan kerana kekangan tenaga kerja,” ujar Ooi.
Tambahnya, seperti perniagaan lain, wabak COVID-19 turut menjejaskan mata pencariannya. Kini, mereka tidak dapat menjual kepada pembekal yang berniaga di pasar malam. Apapun dia bersyukur dengan sokongan pelanggan setia yang sanggup datang ke kedainya dari jauh.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami terpaksa tutup kedai selama 55 hari,” jelasnya.
Jam baru saja menunjukkan hampir 5 petang, walau cuaca agak mendung, pelanggan masih sabar beratur dan setia menanti giliran untuk membeli dan menikmati kuih kegemaran mereka.
Malah, ada yang datang berkali-kali sehari dan mungkin, Tasty Nyonya Kuih sebenarnya tidak perlukan sebarang papan tanda.
Tasty Nyonya Kuih
80, Jalan Rengas,
Southern Park,
41200 Klang,
Selangor.
Waktu perniagaan: 1.30petang – 6petang (Isnin hingga Sabtu)
Hubungi: 03-3371 2845
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]