
Mereka bukan sekadar kreatif malah, berusaha membantu orang ramai dengan hasil ciptaan mereka.
Ikram Shahidi Mat Kail, 25, dan Muhammad Zakaria, 23, dua beradik kreatif mencipta motosikal yang boleh bergerak di dalam banjir.
Dua pemuda ini yang berasal dari Kampung Banggol, Setiu mencipta motosikal tersebut bukan setakat suka-suka tetapi dengan misi untuk membantu penduduk kampung mereka yang terjejas akibat banjir.
Kisah dua anak muda ini pernah tular tahun lepas dan ketika itu mereka menunggang motosikal tersebut untuk bermain air banjir.
“Tahun lepas, selepas kisah kami tular, ramai yang hubungi menerusi Facebook untuk ucap tahniah. Ada juga dari Thailand, Jepun, Amerika Syarikat dan China. Masa itu kami guna motosikal jenis Modenas Kriss 110 dan Honda C70 tetapi kali ini hanya guna Modenas Kriss 110 dengan ubah suai seperti ‘motorcross’.
Kejayaan meredah banjir sebelum ini buatkan mereka lebih kreatif dan dapat menyiapkan motosikal unik ini dalam tempoh tidak sampai satu jam.
Bagi menyempurnakan misi meredah air, mereka mengubah suai botol plastik bagi menggantikan tangki minyak, karburetor dan saluran udara ke karburetor, hujung paip ekzos yang kesemuanya diletakkan pada kedudukan lebih tinggi daripada badan motosikal biasa bagi membolehkan jentera itu bergerak sekalipun ditenggelami air.
Yang uniknya, motosikal tersebut mampu bergerak laju walaupun sudah tenggelam sepenuhnya dan paras air berada setakat leher penunggangnya.
Apa yang lebih menarik kali ini, misi kedua beradik tersebut adalah menggunakan motosikal unik mereka untuk membantu penternak ikan dengan menangkap semula hasil ternakan ikan yang terlepas dari kolam akibat banjir.
Usaha ini juga dapat mengurangkan kerugian penternak ikan. Mereka akan menahan pukat di lokasi sebelum menangkap ikan.
Kebiasaannya dua beradik itu akan ke kawasan banjir pada waktu pagi dan mula memasang pukat di kawasan yang agak dalam.
Usaha mereka ternyata tidak sia-sia kerana ikan yang terlepas dari kolam berhampiran sering terperangkap termasuklah seekor ikan keli Afrika seberat 4 kilogram berjaya ditangkap semula dalam tempoh 30 minit sahaja.
“Ikan ini akan diserah kembali kepada penternak dan dimasukkan semula ke kolam. Sesetengah penternak di sini adalah saudara kami sendiri dan saling mengenali. Kami tidak meminta sebarang bayaran pun, hanya sekadar membantu tetapi adakala penternak beri sedikit duit sebagai tanda terima kasih.
“Baru-baru ini, ada juga orang kampung minta kami bawa anak-anak mereka keluar dari kawasan banjir dengan menaiki motor ini, ia lebih selamat daripada mengharung sendiri,” kata Ikram.
Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan pada masa hadapan, Ikram Shahidi berkata mereka akan terus membantu penduduk kampung semasa musim tengkujuh ini dan sedia membantu mengubah suai motosikal pihak yang berminat.
Sementara itu, seorang penternak, Muhammad Firdaus Razami, 25, yang mengalami kecacatan fizikal dan sukar berjalan akibat kemalangan sembilan tahun lalu, berkata beliau pernah mendapatkan khidmat dua beradik tersebut menghantar makanan untuk haiwan ternakannya kerana banyak kawasan ditenggelami air.
“Memang mereka akan bantu. Ada tempat yang susah hendak redah sebab air agak dalam. Kadangkala minta tolong mereka pergi jengah untuk pastikan binatang peliharaan saya selamat,” kata Muhammad Firdaus, yang memelihara 25 ekor kambing biri-biri dan beberapa ekor lembu di kampung yang sama.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]