
Kerjaya sebagai penebar roti canai bukanlah pilihan utamanya untuk meraih pendapatan selepas menamatkan pengajian Diploma Vokasional dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Sungai Petani.
Namun, kegagalan dalam enam temu duga kerja tidak memberinya banyak pilihan dan terpaksa membuat keputusan menjadi penebar roti canai di kedai bapanya itu demi membantu keluarga.
Nur Amni ‘Aqilah Ruzaini, 23, cukup berkemahiran melakukan tugas penebar roti canai yang kebiasaannya dimonopoli lelaki, sehingga mencuri tumpuan pengunjung yang datang.
Dia mula menebar roti canai pada 2015 selepas ayahnya terlantar sakit selama sebulan akibat terjatuh longkang.
Sebagai anak sulung daripada tiga beradik Amni menggalas tanggungjawab untuk membantu perniagaan ayahnya membuat roti canai kerana tidak ada pengganti.
“Demi membantu keluarga, saya terpaksa melupakan hasrat untuk makan gaji, sebaliknya menggantikan tempat bapa sebagai penebar roti canai di kedai makan milik keluarga,” jelas Amni.
Sejak kecil lagi Amni selalu melihat cara ayahnya menebar roti di kedai yang sudah beroperasi semenjak 30 tahun lalu.
Bagi meningkatkan kemahirannya, Amni turut menghadiri kursus membuat roti canai dan mempelajari hampir 20 jenis menu roti canai.
“Harapan saya dalam perniagaan roti canai ini adalah supaya saya dapat membuka mata anak muda diluar sana untuk membuat satu perniagaan yang betul-betul komited untuk kita. Sebagai anak muda, nasihat saya jangan lepaskan peluang yang ada.
“Kadang-kadang kita rasa peluang itu tidak ada tetapi sebenarnya kita kena berusaha mencari sebab zaman sekarang ini kita kena berusaha untuk mara ke hadapan,” jelasnya lagi.
Beliau turut menjual roti canai dan murtabak sejuk beku sejak Jun lepas untuk mempelbagaikan pilihan kepada pelanggan sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]