Hafidz sumbang sushi setiap Jumaat secara Percuma

Hafidz sumbang sushi setiap Jumaat secara Percuma

Selain menjual pada harga RM1, Hafidz turut menyumbang sushi setiap hari Jumaat.

Hafidz menjual sushi hanya RM1 dari “boot” keretanya. (Gambar Hafidz)
PETALING JAYA:
Bercakap tentang sushi, mungkin bukan kegemaran kebanyakan masyarakat Melayu. Malah, jauh sekali menjadi pilihan untuk dijual di tepi jalan. Tetapi pemuda ini, lain pula caranya. Dia mahu sushi dirasa oleh semua. Mungkin ada yang berkehendak tetapi tidak mampu kerana dilihat pada harganya.

Said Muhammad Hafidz Addha Said Umar, 25, menjual sushi di ‘boot’ keretanya dengan harga RM1 di hadapan Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat. Menurut Hafidz, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana awal tahun lalu, dia menjual sushi pada harga biasa tetapi apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, perniagaannya merundum sedikit.

Berikutan dengan itu, Hafidz meminta pembekal kilang sushi tersebut membuatkan menu pada harga berpatutan yang boleh dinikmati oleh semua orang.

Antara pilihan jenis-jenis sushi RM1 Hafidz yang dijual di hadapan Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat. (Gambar Hafidz)

“Sushi ini tidaklah berasa seperti makanan Jepun sangat. Rasanya diolah agar menepati citarasa masyarakat Malaysia. Ada pelbagai perasa seperti Ketam Mayo, Ebiko, Udang Keju dan banyak lagi. Tetapi yang paling laris jualannya ialah sushi “Spicy Korean Fried Chicken”. jelas ayah kepada dua orang cahaya mata ini.

Dalam menjual sushi setiap hari, Hafidz selalu terfikir, alangkah baiknya jika sushi dapat dirasa oleh semua penduduk di Lembah Keramat. Walau dia sedar ramai yang tidak berkemampuan tetapi itulah yang mencetuskan idea kepadanya.

Pilihan sushinya mengikut citarasa rakyat Malaysia. (Gambar Hafidz)

“Apabila saya membuka ‘kedai sushi’ di “boot” kereta ini, saya perasan ramai juga yang kurang berkemampuan duduk di situ. Mereka jarang makan sushi dan ada yang langsung tidak tahu bagaimana rasanya. Jadi, saya mula terfikir untuk mendermakan 50 keping sushi setiap hari Jumaat untuk mereka cuba,” jelasnya.

Hantaran tweet Hafidz yang menjadi viral. (Gambar Hafidz)

Pada 22 Oktober lepas, Hafidz telah berkongsi rancangannya di Twitter untuk menderma 50 keping sushi kepada mereka yang memerlukan setiap minggu. Pengguna Twitter menyambut baik rancangan Hafidz dan perkongsian itu menjadi viral sehingga mendapat 6,689 ciapan.

Menurut Hafidz, ramai rakyat Malaysia telah menyumbang dana untuk membantunya merealisasikan rancangan tersebut. Sehinggalah dia berjaya menderma sebanyak 350 keping sushi kepada orang ramai.

“Saya tidak pernah menyangka tweet tersebut akan menjadi viral dan saya sangat-sangat bersyukur atas sokongan yang diterima,” jelasnya.

Menurut Hafidz kebiasaannya dia mengambil 500 keping sushi untuk dijual setiap hari. Namun, baru-baru ini berikutan dengan sokongan dari rakyat Malaysia, dia berjaya menjual 1,000 keping sushi dalam masa dua jam.

“Sekarang ini, saya dalam minggu ketiga menjual sushi. Semasa minggu pertama dahulu, saya hanya berjaya menjual 50 keping sushi. Selalunya saya akan mula menjual dari jam 11.30 pagi hingga 7 petang setiap hari tetapi selepas viral tentang sumbangan sushi tersebut, saya terpaksa menutup kedai lebih awal iaitu pada pukul 2 petang sejak kebelakangan ini. Saya sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan kepada saya,” ujarnya.

Hafidz bercita-cita ingin mendermakan sendiri sushi tanpa perlu menjualnya lagi. (Gambar Hafidz)

Hafidz juga sering diajukan soalan mengapa dia menderma sushi dan bukannya beras, minyak dan sardin seperti mana yang sering dilakukan orang lain.

“Jawapan saya mudah saja. Menyumbang bahan-bahan mentah seperti itu sudah banyak dilakukan oleh orang lain. Tetapi makanan seperti sushi memang jarang dan saya mahu semua orang dapat merasa makanan ini terutama mereka yang kurang berkemampuan. Semua orang sepatutnya boleh menikmati sushi,” jelas Hafidz yang memanjangkan bantuannya itu kepada ketua komuniti untuk mengagihkan sumbangan tersebut kepada penduduk.

Impian Hafidz satu hari nanti, dia mahu berhenti menjual sushi dan ingin membeli dan menyumbangnya sendiri kepada mereka yang memerlukan.

Kepada mereka yang ingin menyumbang atau membeli sushi RM1 Hafidz, anda boleh mengikut Twitternya di sini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.