
Malangnya, banyak pusat tutorial terpaksa ditutup kerana ia tidak mampu lagi menampung kos pengurusan. Akibatnya ramai guru yang berdepan dengan pemotongan gaji, terdesak untuk mencari kerja sebagai tutor bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan.
Seorang guru, Kevin Raj, memutuskan untuk menyelesaikan masalah ini sendirian dengan mewujudkan platform bagi membantu guru-guru yang sedang berdepan kesukaran mendapatkan kerja sebagai tutor.
Menerusi pemerhatian Kevin ramai guru yang bergelut untuk meneruskan kehidupan ketika penularan wabak ini. Selepas menerima panggilan dari seorang rakan guru yang menangis di telefon, dia memutuskan untuk melakukan sesuatu untuk membantu.
“Akibat wabak, ramai ejen menaikkan yuran komisen dan ada seorang guru yang pernah menghubungi saya sambil menangis kerana tidak mendapat sebarang kerja tutor kerana bayaran komisen yang tinggi,” jelas Kevin kepada FMT.
Pemuda berusia 33 tahun itu menerima panggilan tersebut pada bulan Mac ketika pandemik pertama kali menyerang dan segera mengatur rancangan untuk membantu tutor dan juga pelajar.
“Saya ingin merapatkan jurang antara guru dan pelajar dengan mewujudkan satu platform yang akan menjadikan proses ini lebih lancar dan mudah bagi kedua belah pihak,” kongsi Kevin.

Ketika itulah tercetusnya idea untuk menubuhkan Sapphire Education, sebuah platform yang diwujudkan untuk membantu guru dan juga ibu bapa mencari tutor buat anak-anak mereka.
Dia memulakan platform itu sendirian dan dibiayai sepenuhnya oleh dirinya. Dia mula mengiklankannya di laman Facebook dan Instagram, selain turut menggunakan iklan tajaan untuk mendekati guru-guru.
Hasilnya, sejumlah guru yang berminat telah menghubunginya dan meminta bimbingan bagaimana untuk mengatur pembelajaran bagi sesi tutor mereka sendiri.
“Saya membantu guru untuk mewujudkan kelas dalam talian mereka dan kami menentukan bayaran yuran berdasarkan saiz kelas,” ujar Kelvin.
Walaupun sebilangan guru berat untuk mengurangkan yuran mereka, Kevin menegaskan bahawa ketika ini adalah penting untuk guru mengenakan bayaran yang berpatutan kerana ibu bapa juga turut terjejas.

“Sehingga kini saya berjaya memberikan lebih 400 guru peluang untuk menjadi tutor dan berharap dapat terus melakukannya,” ujarnya gembira.
Kevin juga menerima permintaan daripada ibu bapa untuk mencari tutor buat anak-anak mereka dan kemudiannya membantu menghubungkan mereka dengan tutor yang sesuai berdasarkan keperluan mereka.
Buat masa ini, Kevin menjalankan Sapphire Education secara bersendirian. Walaupun memenatkan, dia bertekad untuk membantu seberapa ramai guru yang termampu.
“Saya terpaksa membahagikan masa melakukannya sambil mengajar tetapi saya sangat gembira dapat membantu guru-guru yang memerlukan,” katanya.
Malah, Kevin sanggup memberikan pelajarnya sendiri kepada guru lain untuk diajar bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan.
“Kita semua sedang melalui saat yang sukar, jadi penting untuk kita saling membantu agar kita terus kuat bersama,” ujarnya lagi.
Dia turut menegaskan bahawa dia tidak mewakili mana-mana agensi dan tidak mendapat faedah darinya.
“Saya tidak mengenakan bayaran kepada guru untuk perkhidmatan saya, semua yang saya lakukan dibiayai sendiri.
“Satu-satunya sasaran saya adalah agar kedua-dua guru dan ibu bapa dapat meraih manfaat dari khidmat ini,” jelas Kelvin.

Malangnya, sepanjang perjalanannya, Kevin berdepan pelbagai dugaan dan reaksi negatif. Namun dia terus bertahan dengan sasaran untuk membantu guru dan pelajar.
“Akan ada orang yang tidak akan menyukai apa yang anda lakukan tetapi penting untuk kita kekal positif dan terus berusaha,” tambahnya.
Mengenai rancangan masa depannya, Kevin sedang berusaha untuk menyediakan platform bimbingan percuma untuk pelajar.
“Saya perhatikan kadar kemurungan dalam kalangan pelajar meningkat sejak tahun lalu dan ramai yang menghubungi hotline untuk bercakap dengan seseorang,” kata Kevin yang berharap melalui platform ini dia dapat mendekati pelajar yang sedang bergelut untuk membantu mereka.
“Saya berharap dapat menubuhkannya seberapa segera setelah keadaan kembali seperti sediakala,” tambahnya.
Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Sapphire Education, sila ke laman Facebook dan Instagram mereka.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]