Graduan muda harap ‘DIY Playdough Mix’ buatannya mampu tembusi industri mesra ekologi

Graduan muda harap ‘DIY Playdough Mix’ buatannya mampu tembusi industri mesra ekologi

Pavithra Rajendran harap dapat bawa perubahan dengan permainan ciptaannya khas untuk kanak-kanak.

Fresh graduate Pavithra Rajendran, 22, hopes to make the world a better place with her sustainable toys for kids.
PETALING JAYA:
Bilakah kali terakhir anda membeli beg plastik untuk mengisi barangan yang dibeli di pasar raya?

Jika jawapannya ‘sudah terlalu lama,’ baguslah memang wajar diberi pujian.

Namun, jika anda antara yang masih berdegil dan sengaja tidak membawa beg, tidak kisah membayar 20 sen untuk membawa hasil belian, cubalah malu sikit.

Kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) pada 2019 menunjukkan Malaysia berada di tempat kedua di Asia bagi penggunaan plastik per kapita tahunan, dengan 16.78kg seorang.

Namun, seorang graduan Biosains Perubatan, Pavithra Rajendran, 22, berharap membawa perubahan dengan permainan ciptaannya yang tahan lama dan mesra ekologi, khas untuk kanak-kanak.

“Sebenarnya saya pada mulanya mencari kerja dalam bidang embriologi,” jelas Pavithra kepada FMT, sambil menambah beliau sukar mendapat kerja disebabkan kekurangan peluang untuk graduan baru sepertinya yang tiada pengalaman kerja.

Disebabkan mempunyai banyak masa, Pavithra banyak bermain dengan anak saudaranya Cholan, berusia tiga tahun, yang comel selain mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi.

Selepas kerap melayan Cholan bermain, Pavithra mendapati terdapat potensi pasaran bagi permainan yang tahan lama dan mesra ekologi di Malaysia.

Pavithra bersama anak saudaranya berusia tiga tahun, Cholan, membuat campuran tanah liat “playdough” buatan sendiri.

“Berdasarkan kajian saya, sekalipun ada permainan yang mesra ekologi dan tahan lama dalam pasaran, lazimnya harganya terlalu mahal untuk isi rumah biasa, jadi di situlah saya lihat peluang terbuka untuk saya,” ujarnya

Pavithra mencipta pelbagai aktiviti DIY (buatan sendiri) untuk menghiburkan Cholan, dan dalam pada itu dia menemui resipi “playdough” yang mudah dibuat di rumah, seterusnya menghasilkan DIY Playdough Mix.

“Playdoug” memang amat menyeronokkan, namun resipinya bukan mudah malah Pavithra mengaku terpaksa membuatnya berulang kali sebelum akhirnya mendapat hasil yang memuaskan.

“Saya menyedari wujud pasaran untuk campuran “playdough” yang membolehkan ibu bapa menghasilkan tanah liat seperti ini pada bila-bila saja dengan hanya menambahkan air,” kata Pavithra.

Beliau menambah aktiviti itu juga menyeronokkan untuk seisi keluarga kerana kanak-kanak boleh membuat “playdough” itu sendiri dengan dipantau ibu bapa.

Jelasnya, tindakan menguli dan membentuk campuran itu bukan saja baik untuk kemahiran kanak-kanak serta koordinasi mata dan tangan, malah juga satu senaman yang baik.

DIY Playdough Mix terdapat dalam lapan warna dan bau.

“Sebagai bonus, kanak-kanak juga mempelajari sedikit matematik kerana perlu menyukat air yang akan ditambah ke dalam campuran berkenaan.

Aktiviti ini turut memberi rasa pencapaian untuk kanak-kanak kerana mereka dapat bermain dengan sesuatu yang dihasilkan mengguna tangan sendiri,” katanya.

DIY Playdough Mix selamat dan menggunakan bahan-bahan gred makanan selain menggunakan minyak pati sebagai wangian. Ia didapati dalam lapan warna menarik, Whimsical Pink (wangian strawberi), Meadow Green (pandan), Ocean Blue (kamomil), Raspberry Red (raspberi), Coconut Candy (kelapa), Lavender Love (lavender), Mud Earth dan Lemonade (limau).

“Saya mencuba sebaik mungkin untuk menggunakan bau wangian yang lazim diketahui orang Malaysia, seperti pandan. Lagipun, semua bahan digunakan dalam campuran “playdough” ini adalah gred makanan bererti ia selamat sekalipun kanak-kanak termakannya. Ibu bapa tidak perlu risau.

“Setiap campuran seberat 150g dibungkus dalam peket yang boleh ditutup semula, selain dibuat mengikut tempahan dalam kuantiti kecil untuk memastikan ia masih segar apabila sampai ke tangan pelanggan.”

Produk kedua dihasilkan Pavithra adalah kertas mewarna yang boleh digunakan semula, sebenarnya didapati dari India. Produk ini diletakkan pada dinding sebagai alas untuk kanak-kanak melukis padanya.

Gelung mewarna yang boleh dipakai semula.

Satu ciri unik produk ini adalah hasil lukisan kanak-kanak boleh diimbas menggunakan aplikasi dan teknologi realiti terimbuh (AR) untuk ‘menghidupkan’ watak-watak yang diwarnakan padanya.

“Ini berbeza daripada buku mewarna yang hanya boleh digunakan sekali, kerana kertas ini boleh dilap bersih untuk digunakan semula, katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perniagaannya agak lembap disebabkan pandemik Covid-19 seterusnya mencetuskan kebimbangan terhadap masa depannya.

“Ibu bapa saya memang mahukan kerjaya lebih tradisional untuk saya, seperti doktor atau peguam dan sudah pasti pada awalnya mereka kurang menerima apabila saya pertama kali menyatakan hasrat membuat perniagaan permainan tahan lama ini. Mujur mereka semakin menerima, namun saya pula semakin risau perniagaan ini tidak mampu bertahan dalam krisis ini,” ujarnya.

Cholan berseronok dengan “playdough” yang dihasilkannya.

Apapun, Pavithra tetap berterima kasih kepada anak saudaranya kerana sanggup menjadi ‘tikus makmal’ untuk mencuba produk dihasilkan, malah Cholan hanya mahu bermain “playdough” jika dia datang melawat.

Untuk melihat permainan tahan lama dan mesra ekologi dihasilkan Pavithra, layari Instagram dan Facebook miliknya. Anda juga boleh menghubunginya di 017 3929865 untuk maklumat lanjut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.