Hikmah banjir: Ikan tilapia satukan mangsa & akhirnya jadi “group WhatsApp ahli ikan tilapia”

Hikmah banjir: Ikan tilapia satukan mangsa & akhirnya jadi “group WhatsApp ahli ikan tilapia”

Mangsa-mangsa yang terkandas lebih 12 jam di Jalan Gua Musang-Raub akibat banjir, mengalas perut dengan ikan tilapia.

Mangsa-mangsa yang terkandas akibat banjir menjamah ikan tilapia bakar di tepi jalan. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Ikan tilapia Tasik Kenyir, Terengganu membantu lebih 100 pengguna jalan raya di Jalan Gua Musang-Raub, berhampiran Jeram Besu, kira-kira 233 kilometer dari sini, untuk mengalas perut selepas lebih 12 jam terkandas, apabila laluan itu terputus akibat banjir.

Pemilik resort di Tasik Keyir Terengganu Sazureen Abu Hasan, 47, berkata, beliau membawa pulang hampir 70 ekor ikan itu, yang dipesan oleh jiran dan rakan, selepas mengetahui beliau akan ke resort pada hujung mingggu bagi melayan tetamu.

Sazureen berkata beliau bertolak pulang ke Seremban, Negeri Sembilan pada pagi Ahad, dan memilih untuk menggunakan laluan Gua Musang-Kuala Lumpur selepas mengetahui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan laluan alternatif melalui Muadzam Shah, Rompin dinaiki air.

“Bagaimanapun, kami sangkut juga akibat banjir di Raub sekitar jam 4 petang dan terpaksa bermalam dalam kereta. Esoknya, saya lihat ada banyak kereta dan bas yang mengalami nasib sama dan sudah tentu, mereka juga seperti saya, tidak makan kerana tiada kedai di situ.

“Jadi, saya beritahu suami lebih baik kita masak dan sedekahkan ikan yang ada. Lagipun, kami tidak tahu bila akan sampai ke rumah. Bimbang jika ikan rosak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sazureen berkata ikan tersebut juga sudah siap dicuci, dan bagi mendapatkan garam dan kunyit, beliau serta suami meredah banjir sebelum dapat menumpang bot orang kampung yang hendak ke kampung sebelah.

Dalam keadaan itu, Sazureen berkata mereka tidak mempunyai pilihan lain selain membakar ikan tersebut, yang dilakukan dengan pertolongan beberapa remaja daripada sebuah bas persiaran yang turut terkandas di situ.

Sementara itu, Nur Anis A’dila Nor A’dlisham, 24, berkata pengalaman terkandas membantu beliau mengasah kembali kemahiran semasa bergelar ahli pengakap, kerana mereka terpaksa bijak menggunakan bahan persekitaran untuk bertahan.

“Kami menggunakan besi payung yang dipatahkan dan diikat untuk menjadi pemanggang ikan. Semua orang begitu membantu, yang muda semasa aunty (Sazureen) keluar mencari garam kunyit, mencari ranting kayu dan daun pisang untuk dijadikan pinggan.

“Selepas siap dibakar, kami bergerak pula mengagihkan ikan dari kereta ke kereta, dalam keadaan itu, yang tidak makan ikan air tawar pun tiada pilihan kerana perlu mengalas perut. Daripada sedih kerana terkandas, kami seronok pula membuat akiviti barbeku di tepi jalan,” katanya.

Nur Anis A’dila yang semasa itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Putrajaya mengakui, turut terharu dengan kemurahan hati individu yang tidak pernah dikenalinya, kerana mereka mengumpulkan makanan yang ada seperti keropok, asam, roti, air mineral dan berkongsi.

Kakitangan kerajaan itu berkata walaupun berpisah pada Selasa, mereka kini sudah mempunyai kumpulan WhatsApp dan bercadang untuk mengadakan pertemuan semula ‘ahli ikan tilapia’ di resort milik Sazureen pada masa akan datang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.