Jangan makan ‘sandwic kanibal’

Jangan makan ‘sandwic kanibal’

Pihak berkuasa Wisconsin menggesa orang ramai agar tidak makan hidangan tradisi, daging mentah untuk mengelakkan sebarang penyakit.

Sandwic kanibal dianggap makanan tradisi Krismas di Midwest Amerika Syarikat. (Gambar Twitter)

Sudah menjadi tradisi Krismas di Wisconsin, Amerika Syarikat, untuk menjamah hidangan digelar ‘sandwic kanibal’.

Namun, pakar kesihatan baru-baru ini mengeluarkan amaran supaya dihentikan amalan ini kerana ia menggunakan daging mentah yang mungkin membahayakan kesihatan.

Amaran pihak berkuasa kesihatan Wisconsin di Twitter itu cukup ringkas – ‘Tolong jangan makan sandwic daging mentah’.

Ianya mendapat perhatian selepas dikeluarkan kira-kira seminggu lalu, dalam pada orang ramai sibuk mendapatkan berita terkini dan panduan keselamatan berkaitan virus COVID-19.

“Bagi ramai keluarga #Wisconsin, sandwich daging mentah adalah tradisi #percutian, namun makan daging mentah TIDAK SAMA SEKALI digalakkan,” katanya di Twitter.

Ianya kemudian mencetuskan pelbagai persoalan di luar kawasan Midwest di mana sandwic kanibal biasa dimakan ketika Krismas.

Sandwic daging mentah yang turut digelar ‘daging harimau’ atau ‘kucing liar’ itu sekadar daging kisar yang dicampurkan rempah ratus dan bawang sebelum dihidangkan dengan roti. Lazimnya sebagai pembuka selera ketika percutian Krismas.

“Nampaknya rahsia kami sudah terbongkar. Memang betul apa dikatakan oleh jabatan kesihatan, namun orang ramai pasti tidak akan mengendahkannya,” kata Anna Altschwager, penolong pengarah pengalaman pengunjung di Persatuan Sejarah Wisconsin kepada New York Times.

Walaupun makan daging mentah menjadi perkara biasa di seluruh dunia namun, pendedahan penggunaannya sebagai pelengkap sandwic tiba-tiba menarik perhatian penduduk di luar Midwest termasuk rancangan The Daily Show.

The Guardian melaporkan, tradisi itu berkemungkinan dibawa ke Amerika oleh pendatang Eropah Utara.

Sementara itu, Elsa Murano, saintis makanan dan bekas setiausaha rendah di Jabatan Pertanian berkata, daging mentah memang berkemungkinan tercemar namun, risiko terdedah kepada salmonella, E. coli atau bakteria lain lebih tinggi bagi daging kisar mentah terutama jika ia dikisar sendiri di rumah.

“Bayangkan seekor lembu disembelih dan dagingnya dipotong-potong. Bahagian permukaannya mengandungi bahan pencemar. Jika dimasak, organisma padanya akan dibunuh, namun jika dikisarkan pula, bahan yang mencemar akan merebak ke seluruhnya,” katanya.

Menurut Jabatan Kesihatan Wisconsin, ratusan orang di Midwest jatuh sakit akibat makan sandwic kanibal setiap kali perayaan Krismas dengan lapan kejadian di Wisconsin yang dikaitkan dengan amalan berkenaan sejak 1986.

Bagaimana pun, tidak semua orang risau dengan amaran itu, malah seorang pengguna Facebook berkata, “Jadi daun salad pun tidak boleh dimakanlah? Setiap tahun ada saja makanan ditarik balik kerana mengakibatkan kematian tetapi tiada pula amaran supaya tidak memakannya.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.