
Masyarakat kini boleh mendapatkan khidmat penghantaran patuh syariah dengan menggunakan perkhidmatan Mautapau Malaysia, sebuah syarikat penghantaran makanan dan barangan yang menyediakan penghantaran produk halal kepada pengguna.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Saidatul Ardeenawatie Awang berkata Mautapau yang memulakan operasi pada 18 Okt lepas memilih model perniagaan itu bagi memastikan pengguna terutama orang Islam dapat menikmati produk halal tanpa rasa was-was.
“Dalam keadaan sekarang, kita lihat memang menjadi keperluan untuk menyediakan perkhidmatan menghantar makanan serta barangan kepada pengguna berikutan berlaku kawalan pergerakan dan sebagainya.
“Bagi yang beragama Islam pula, sudah menjadi kewajipan untuk mencari makanan yang halal, baik dan bersih dan oleh sebab itu, syarikat memastikan semua rakan niaga kita menyediakan makanan dan produk yang halal,” katanya selepas Majlis Perasmian Mautapau di Alor Setar.
Dia berkata buat masa ini, Mautapau menyediakan perkhidmatan di Alor Setar dan Jitra dengan bantuan 35 penghantar untuk tiga jenis perkhidmatannya iaitu ‘Mau Makan’ bagi penghantaran makanan, ‘Mau Mart’ bagi penghantaran barangan runcit dan ‘Maut Ubat’ bagi produk kesihatan.
Dr Saidatul Ardeenawatie berkata pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan itu boleh memuat turun aplikasi Mautapau dan membuat pesanan makanan atau barangan dikehendaki daripada 150 rakan niaga yang terdapat di dalam aplikasi tersebut.
“Kos penghantaran bermula daripada RM3 hingga RM8 tetapi ia bergantung kepada jarak perjalanan penghantaran dan jenis perkhidmatan yang digunakan. Masa penghantaran pula adalah sekitar 25 hingga 40 minit,” katanya.
Mengulas lanjut, dia berkata selepas Alor Setar dan Jitra, Mautapau akan membuka cawangan ketiga di Kangar, Perlis pada bulan depan serta bercadang memperluaskan perkhidmatannya di bandar lain di Kedah dan Pulau Pinang dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat negeri Datuk Siti Ashah Ghazali, yang merasmikan majlis pelancaran Mautapau Alor Setar hari ini, berharap syarikat tersebut menjadi platform untuk usahawan di Kedah mengembangkan perniagaan mereka.
“Selain itu, ia diharap memberi peluang kepada golongan belia dan sebagai pilihan bagi mereka yang hilang pekerjaan menjana pendapatan sebagai penghantar makanan serta barangan di negeri ini,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]