Rafidah tidak pernah mengaku kalah

Rafidah tidak pernah mengaku kalah

Dia tidak gentar walau tahu bukan mudah mencari pekerjaan semula. Baginya rezeki ada di mana-mana. Lagi pula niat untuk berhenti adalah untuk menjaga ibu kesayangan yang mengidap penyakit stok.

Wanita cekal yang tidak pernah mengaku kalah.

Bukan mudah membuat keputusan, 22 tahun berada dalam bidang perbankan, dia mewah pengalaman bekerja di bidang korporat.

Diarah bertukar ke Kuala Lumpur, hatinya berat memandang ibu yang tidak sihat pasti masanya tidak cukup untuk menjaga apatah lagi memberi perhatian.

Akhirnya dia akur, keputusan harus dibuat. Dia kemudian menerima MSS atau Skim Pemberhentian Bersama yang ditawar syarikat pada 2012.

Wan Rafidah Bt Wan Abdul Rahim, 48, tidak gentar walau tahu bukan mudah mencari pekerjaan semula. Baginya rezeki ada di mana-mana. Lagi pula niat untuk berhenti adalah untuk menjaga ibu kesayangan yang mengidap penyakit “strok”.

Nasi lemak RM1 dan juadah lain yang dijual di gerainya.

“Saya rasa rezeki saya di bidang perbankan setakat di situ dan rezeki di bidang lain mungkin sedang menanti. Saya tidak pernah takut kerana tahu doa ibu sentiasa mengiringi setiap langkah saya,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata ini.

Bertolak dari situ, dia mencuba pelbagai jenis perniagaan makanan kerana baginya bidang makanan amat luas dan sentiasa menjadi permintaan ramai.

Antara kuih muih yang sering mendapat pujian pelanggan.

“Saya bermula dengan berniaga kuih muih. Setakat suka-suka dan untuk membantu suami selain memang saya tidak boleh duduk diam. Itu pun saya belajar dari YouTube. Setiap hari saya berlatih sehinggalah saya berjaya. Kuih tersebut saya hantar ke gerai rakan-rakan yang berniaga.

“Ibu juga puji kuih saya sedap malah dia gembira melihat saya berniaga kecil-kecilan. Inilah semangat dan pendorong untuk saya teruskan berusaha,” ujarnya.

Kuih kaswi Rafidah, antara yang menjadi kegemaran pelanggan.

Setiap hari permintaan kuihnya semakin meningkat hingga dia terpaksa membuat 500 keping kuih untuk 26 jenis setiap hari. Kuih yang menjadi pilihan pelanggan adalah kuih kaswi, karipap, seri muka, apam, kuih badak, popia dan banyak lagi.

“Setelah enam bulan berniaga kuih, saya kemudian membuka gerai di Kota Panamar di Pelabuhan Klang dengan menjual nasi kukus. Hari ketiga orang mula datang dan jualan saya habis dalam masa satu setengah jam sahaja,” jelas isteri kepada Khalidi Bin Mohd Din, 50, ini.

Semasa berniaga di Bazaar Ramadhan, kebetulan artis Zarina Zainuddin turut membeli juadahnya.

Mencari lokasi yang agak berdekatan dengan rumahnya, pada 2017, Rafidah kemudiannya membuka gerai di Kampung Raja Uda, dia mula berniaga nasi lemak RM1 bersama kuih muih dan juadah lain.

Dalam masa seminggu pelanggan dari tapak lama mula mencari ditambah dengan pelanggan baharu, nasi lemak RM1 menjadi bualan. Bukan hanya enak tetapi kerana tidak lokek dengan kuantiti yang diberi menjadikan pelanggan sentiasa beratur setiap pagi mencari nasi lemak RM1 Rafidah.

“Saya buka gerai seawal 7 pagi, dan kadang-kadang baru nak susun meja, orang dah mula beratur. Ada yang marah-marah bila saya tidak berniaga. Kelakar pun ada tapi itulah ragam yang sentiasa buat saya seronok untuk berniaga nasi lemak.

“Selalunya sebelum jam 9 pagi jualan saya akan habis. Yang dah biasa akan datang awal, cuma pelanggan baru saja selalu kecewa,” ujarnya.

Selain nasi lemak, Rafidah turut menerima tempahan lauk pauk untuk majlis kenduri atau keraian.

Selain nasi lemak, wanita cekal ini turut menjual kuih muih, lontong, mee goreng, bihun, nasi goreng dan lapan jenis lauk untuk nasi lemak.

Nasi lemak RM1 Rafidah kemudian menjadi viral dan pelanggan mula berkunjung menjadikan dia tidak menang tangan, mujur suaminya turut membantu.

“Berniaga memang mudah tetapi untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan itu sukar. Kerana itu dalam perniagaan saya amalkan sifat jujur dan bersih. Bersih dalam pembuatan dan penampilan. Makanan yang kita nak beri orang makan itulah rezeki kita,” ujarnya.

Pek pesanan makanan yang sedia untuk dihantar.

Bertolak dari situ, dia mendapat tawaran menyediakan makanan untuk pelajar-pelajar tahfiz pada 2018 dan sehingga kini dia masih menjalankan tugasan tersebut.

“Saya juga percaya kepada sedekah, setiap kali menyediakan makanan untuk berniaga atau untuk anak-anak tahfiz, saya sentiasa akan letak lebih. Itu sedekah yang saya lakukan secara diam, setiap hari saya mesti bersedekah. Alhamdulillah, rezeki berniaga tidak pernah putus.

Selain amalan bersedekah, Rafidah turut memberi peluang kepada rakan-rakan untuk meletakkan kuih atau juadah jualan di gerainya. Baginya, hanya inilah cara dia membantu rakan-rakan peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Setiap peniaga yang berniaga pasti akan terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan oleh pandemik Covid-19. Saya juga turut terkena tempiasnya namun cekal itu penting, jangan mengaku kalah. Syukur, pelanggan sentiasa datang ke gerai, mungkin juga itu rezeki saya.

Bersama suami yang banyak memberi sokongan dan membantu perniagaannya.

Malah, di waktu PKP ini, saya juga buat penghantaran makanan ke kawasan berdekatan. Suami yang akan melakukan kerja-kerja penghantaran membantu meringankan tugas saya,” ujarnya.

Bagi meluaskan perniagaannya, Rafidah pernah memohon untuk mendapatkan ‘food truck’ dari badan kerajaan namun gagal.

“Tidak tahu di mana silapnya, saya sudah memenuhi semua syarat yang ditetapkan seperti pergi krusus dan membuat kertas kerja tetapi masih juga permohonan saya ditolak. Mungkin mereka ada alasan tersendiri. Saya hanya berserah dan berdoa agar satu hari nanti impian miliki ‘food truck’ akan terlaksana,” ujarnya.

Bagi mereka yang dibuang kerja akibat pandemik Covid-19, Rafidah menasihatkan agar tidak patah semangat dan terus berusaha menjalankan apa juga pekerjaan kerana baginya rezeki ada di mana-mana, yang penting adalah usaha.

Untuk tempahan nasi lemak atau lauk-pauk anda boleh menghubungi Rafidah di talian: 019-3415647 atau boleh terus ke tempat niaganya di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.