Mayat lelaki dilambung-lambung di dalam laut

Mayat lelaki dilambung-lambung di dalam laut

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tercengang. Seolah-olah seperti ada suatu kuasa dari bawah dasar laut yang menarik dan menolak semula tubuh pemuda malang itu ke atas sebaik jasadnya mencecah air.

Kejadian pelik itu berlaku di atas tapak pembinaan jambatan yang menghubungkan negara jiran. (Gambar Rawpixel)

Jasad pemuda India itu melambung-lambung di atas permukaan air. Keadaannya tidak ubah seperti sebiji bola yang dilontar dengan cukup kuat ke tengah padang. Melantun-lantung ringan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tercengang. Seolah-olah seperti ada suatu kuasa dari bawah dasar laut yang menarik dan menolak semula tubuh pemuda malang itu ke atas sebaik jasadnya mencecah air.

Selepas beberapa saat, barulah tubuh lelaki berusia awal 30-an itu lenyap dari pandangan mereka.

Itu pun seperti ada tenaga yang luar biasa kekuatannya secara tiba-tiba ‘menyedut’ jasad yang dipercayai tidak bernyawa itu terus ke dasar selat.

“Memang aneh kejadian itu,” kata Imam Besar di sebuah masjid berdekatan, Ustaz Abdul Rahman.

Dia menceritakan kejadian misteri yang meragut nyawa seorang pemandu lori berketurunan India di tapak pembinaan jambatan yang menghubungkan negara jiran itu tidak lama dahulu.

Menceritakan lebih lanjut mengenai kejadian itu, Abdul Rahman berkata ianya membabitkan dua pekerja yang sedang memunggah muatan yang terdiri daripada bahan binaan di atas jambatan itu.

“Lori yang mereka naiki tiba-tiba terbabas menyebabkan separuh badan lelaki India itu berada di atas jambatan dan separuh lagi terawang-awangan di udara, hampir menjunam ke laut.

“Mungkin kerana panik, pemandu berketurunan India itu bertindak nekad terjun ke laut sementara kelindannya, seorang lelaki Indonesia bertindak lebih bijak dengan memecahkan tingkap belakang lori berkenaan dan keluar menerusinya,” katanya.

Pemuda Indonesia itu, menurut kata Abdul Rahman, terselamat manakala lori itu pula terus tergantung dan tidak pula jatuh ke dalam laut.

“Bagaimana pun keadaan lelaki India itu sangat pelik. Tubuhnya melambung-lambung di atas permukaan air selama beberapa saat sebelum hilang ke dalam laut,” katanya lagi.

Selepas tiga hari barulah mayatnya berjaya ditemui di dasar laut. Keadaanya ketika itu sudah terlalu busuk.

Selain itu, kata Abdul Rahman, beberapa kejadian aneh lain di atas jambatan itu pernah dialaminya sendiri.

“Ada satu ketika saya bersama lima imam lain dari sekitar sini telah diminta bantuan oleh kontraktor mengatasi beberapa masalah yang berlaku di situ.

“Antaranya, mereka mengadu beberapa batang tiang konkrit (cerucuk) yang ditanam di dasar selat itu hilang, seolah-olah seperti disedut terus ke dalam tanah,” katanya.

Sekali pun dicuba beberapa kali, namun masalah yang sama tetap berlaku sehingga pihak berkenaan terpaksa memanggil Abdul Rahman dan rakan-akannya mencuba ikhtiar menerusi cara agama.

Keesokannya, kira-kira jam enam petang, kumpulan ahli agama tempatan itu berkumpul berhampiran kawasan tiang yang dipacakkan itu tenggelam.

“Sebaik saja kami memulakan bacaan surah Yasin, angin tiba-tiba bertiup kencang. Keadaan sebelum itu biasa saja. Beberapa keping papan dan kayu ringan habis berterbangan. Biar pun begitu, saya dan rakan-rakan teruskan juga bacaan,” kata Abdul Rahman.

Selesai mereka membaca ayat-ayat suci itu, angin yang bertiup kencang tadi tiba-tiba terhenti. Abdul Rahman kemudian menyiram air bacaan surah Yasin ke tapak tiang konkrit juga beberapa tiang lain. Dia dan kumpulannya kemudian bersembahyang jemaah Magrib di atas jambatan itu.

“Selepas itu, saya difahamkan usaha menanam cerucuk itu tidak lagi menghadapi masalah sehinggalah kemalangan yang meragut nyawa pemuda India itu,” ulasnya.

Imam lain, Adnan Ehsan, 74 tahun dari masjid lain yang berhampiran dengan tapak laluan itu pula menganggap kesemua kejadian pelik itu sebagai takdir Tuhan semata-mata.

“Kisah pemuda India itu dan yang lain memang ada saya dengar tapi saya tidak berminat untuk mengambil serius mengenainya. Bagi saya itu semua ketentuan Allah,” katanya.

Cerita ini adalah berdasarkan dari kisah benar beberapa tahun yang lalu. Namun, nama dan lokasi kejadian dirahsia bagi tujuan keselamatan. Gambar adalah hiasan semata-mata.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.