
Kuala Lumpur: Bront Palarae, 42, bersyukur dicalonkan untuk dua kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Digital) menerusi lakonannya dalam siri The Bridge 2 di Anugerah Televisyen Asia (ATA) ke-25.
“Ini kali kedua saya dicalonkan di ATA selepas Eropah, Here I Come arahan Bernard Chauly. Pencapaian ini adalah hasil usaha semua produksi dan mewakili penerbit, pengarah dan keseluruhan produksi, saya berasa sangat bersyukur.
“Kami hanya menjadi wakil buat seluruh warga kerja serta karyawan yang terbabit. Jumlah pencalonan banyak itu adalah hasil kerja keras seluruh pasukan dan diakui di peringkat Asia. Kita punya bakat yang hebat dan hanya kekurangan peluang sahaja,” katanya.
Pelakon ini juga tidak menafikan pengalaman bekerja dengan karyawan luar Malaysia menjadikan siri itu lebih bermakna dan dia hargai peluang diberikan platform penstriman Viu yang mengangkat siri itu dengan jayanya.
“Kerjasama dengan karyawan Indonesia juga memberi satu tenaga dan dinamik. Ia sangat membantu mengangkat kualiti kerja buat semua yang terbabit dalam siri ini.
“Semua ini tidak akan berhasil tanpa kepercayaan dan sokongan Viu. Semoga kerjasama ini berterusan dan membuka peluang untuk lebih ramai lagi bakat tempatan kita yang lain,” katanya.
The Bridge 2 arahan TJ Lee, Jason Chong dan Zahir Omar berjaya mendapat 11 pencalonan di Anugerah Televisyen Asia (ATA) ke-25 yang akan berlangsung pada 15 Januari, tahun hadapan.
Selain dua kategori membabitkan Bront, kategori lain ialah Siri Terbaik, Adaptasi Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Wan Hanafi Su dan Miller Khan), Fiksyen Digital Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Digital (Rebecca Lim) dan Pelakon Lelaki Terbaik Digital (Ario Bayu).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]